Thursday, July 9, 2009

Jenayah pelajar IPTS makin serius

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pembabitan pelajar terutama dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam kegiatan jenayah di sekitar ibu negara semakin serius terutama membabitkan pelajar warga asing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata jenayah dadah mencatatkan statistik paling tinggi selain kes penipuan dan ‘black money’.

“Pihak polis melakukan pemantauan ketat terhadap kumpulan terbabit berikutan kegiatan jenayah oleh pelajar warga asing semakin membimbangkan.

“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, 31 pelajar IPT ditahan membabitkan enam pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 25 pelajar IPTS kerana terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Unit Sukarelawan Pencegahan Jenayah dan Rakan Cop di Universiti UCSI di Cheras, semalam.

Menurut Muhammad Sabtu, semua pelajar IPTA yang ditahan adalah rakyat tempatan, manakala tujuh daripada 25 pelajar IPTS berkenaan adalah warga asing.

“Tiga dari mereka ialah warga Kazakhstan dan empat dari Nigeria. Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung mandatori.

“Setiap kali tangkapan dilakukan, polis akan memaklumkan kepada pihak IPT untuk sama-sama menangani masalah serta memantau pelajar mereka,” katanya yang menjalinkan kerjasama dengan Universiti UCSI sebagai langkah permulaan.

Kerjasama itu bagi memberi kesedaran mengenai aspek pencegahan jenayah dan Rakan Cop.

Universiti ini dipilih kerana pelajarnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan negara dengan 38 peratus dari luar negara.

“UCSI adalah IPTS pertama terbabit secara serius membantu membanteras jenayah dan sejak dua bulan lalu seramai 240 pelajar menyertainya.

“Jika sebelum ini, terdapat pelajar universiti ini menjadi mangsa jenayah terutama kes ragut namun sejak sebulan lalu selepas penubuhan unit ini, tiada kes dilaporkan,” katanya.

0 comments: