Friday, February 26, 2010

Anak mati didera kekasih ibu



SYAFIA


KUALA KUBU BARU - Polis menahan seorang pemandu teksi bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali semalam.

Kejadian pukul 8.30 malam itu terbongkar selepas lelaki berusia 28 tahun terbabit membawa mayat kanak-kanak itu, Syafia Humairah Sahari ke Hospital Kuala Kubu Baru dengan mendakwa mangsa terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, selepas diteliti, pihak hospital mendapati terdapat kesan lebam di seluruh badan kanak-kanak tersebut termasuk di perut dan bawah telinga selain luka di dagu yang tidak selari dengan cerita kemalangan.

Monday, July 20, 2009

Wanita tikam suami direman

Sumber Harian Metro


AMPANG: Wanita yang menikam suami hingga parah selepas berang dengan janji lelaki terbabit yang mahu pulang sejurus perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia menentang Manchester United kini direman empat hari bermula semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara pasangan terbabit sehari sebelum kejadian itu.

“Mereka mempunyai masalah peribadi dan kemuncaknya berlaku apabila lelaki terbabit memungkir janji, Sabtu lalu menyebabkan isterinya naik angin.

“Isterinya yang hilang kawalan itu menikam suaminya. Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.

Menurut Abd Jalil, suami wanita itu kini dilaporkan stabil dan akan dibenarkan pulang bila-bila masa selepas mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki menjadi mangsa apabila ditikam isterinya selepas dia memungkiri janji.

Wanita terbabit dikatakan berang dan menikam suaminya di dada sejurus dia pulang dari menonton perlawanan bola sepak berkenaan, kira-kira enam jam selepas itu.

Panik melihat keadaan suaminya yang dipenuhi darah, wanita itu menghantarnya ke hospital.

Polis menahan wanita terbabit di rumahnya di Kondominium Pandan Height dan turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu.

Wednesday, July 15, 2009

Dendam cinta OKU

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


BAHAU: Akibat tidak dapat menerima hakikat cintanya putus di tengah jalan, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai sanggup bertindak menyiarkan gambar ghairah teman wanitanya di dalam Internet.

Lelaki berusia 30-an terbabit berkenalan dengan teman wanitanya melalui internet hampir tiga tahun lalu dan sejak itu, mereka mula menjalinkan hubungan cinta.

Wanita berusia awal 30-an itu juga pernah berkunjung ke rumah suspek di Kampung Baru Mahsan, dekat sini, pada tahun lalu dan tinggal di situ selama beberapa hari.

Harian Metro difahamkan, ketika berada di rumah lelaki terbabit, pasangan itu ada merakamkan beberapa gambar untuk disimpan sebagai koleksi kenangan.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, mangsa mula melahirkan hasrat untuk memutuskan hubungan cinta dengan teman lelakinya atas sebab tertentu.

kibat tindakan terbabit, teman lelaki mangsa begitu marah, lalu mengugut untuk menyebarkan gambar bogel wanita berkenaan di dalam Internet.

Difahamkan, lelaki itu mengalami lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, beberapa tahun lalu.

Sumber berkata, wanita berkenaan bagaimanapun akur dengan amaran teman lelakinya dan meneruskan semula hubungan cinta dengan suspek.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terkejut selepas rakannya memberitahu melihat gambar bogelnya dalam Internet.

“Suspek dipercayai masih berang dengan tindakan wanita berkenaan lalu menyebarkan gambar bogel mangsa di dalam internet,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, berikutan itu, wanita malang berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin supaya siasatan dapat dilakukan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Ramli Mohd Nor, berkata bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota JSJK negeri menyerbu rumah lelaki terbabit beberapa jam selepas laporan dibuat.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan lelaki terbabit untuk membantu siasatan berhubung pengedaran gambar lucah terbabit.

“Polis turut merampas satu set komputer di rumah suspek untuk tujuan siasatan mengenai kejadian itu,” katanya memaklumkan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Katanya, lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan dan siasatan ke atasnya dilakukan.

Campak mayat dari tingkat 25

Mymetro


KUALA LUMPUR: Kejam apabila seorang lelaki warga Myanmar dibunuh sebelum mayatnya yang dicampak dari tingkat 25 ditemui dalam keadaan mengerikan di tapak pembinaan sebuah kondominium mewah di Pusat Bandar Damansara, di sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Baultlung, 38, ditemui di lantai tingkat bawah tapak pembinaan itu dalam keadaan ngeri dengan badannya berlumuran darah manakala kepalanya pecah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid, berkata polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa daripada pengurusan tapak pembinaan terbabit kira-kira jam 1.15 petang.

Katanya, siasatan mendapati mangsa kemungkinan dibunuh di tingkat 25 kondominium yang sedang dalam pembinaan itu sebelum mayatnya dicampak.

“Mangsa kemungkinan dibunuh penyerangnya berdasarkan kecederaan di badan selain kesan darah yang ditemui di lantai dipercayai diheret sebelum dia dicampak.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian terbabit dan tiada tangkapan dilakukan,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

‘Siasat bos, saya dipukul’

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Matanya ditutup dengan tali leher sebelum ditumbuk, disepak dan dibogelkan. Itulah keadaan terpaksa dilalui seorang pembantu tadbir sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini, di dalam sebuah bilik gelap di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, kelmarin.

Mangsa tidak menyangka kehadiran dua pegawai SPRM yang menjemputnya di tempat kerja pada 7 Julai lalu untuk ke pejabat mereka bagi dirakam keterangan sebagai membantu siasatan satu kes rasuah membabitkan pegawai tertinggi PBT terbabit berakhir dengan penderaan.

Selain penderaan fizikal, mangsa yang berusia 29 tahun itu turut mendakwa sekumpulan tiga lelaki berada di dalam bilik soal siasat mengeluarkan kata-kata kesat berbaur penghinaan seperti bodoh dan sial apabila tidak berpuas hati dengan jawapan diberikannya.

Malah, detik yang amat perit dan meninggalkan kesan trauma dalam hidup lelaki berkenaan tidak berlaku sekadar dua atau tiga jam, tetapi terpaksa melaluinya lebih 12 jam.

Semuanya bermula apabila lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Zul itu dikunjungi dua pegawai SPRM Johor di pejabatnya di sebuah PBT di Simpang Renggam dekat sini, kira-kira 8.30 pagi 7 Julai lalu, yang mengkehendaki dia dan seorang lagi kakitangan memberi keterangan berhubung kes rasuah di pejabat agensi itu di sini.

Katanya, sebaik tiba di pejabat SPRM, dia diarahkan menanggalkan jam tangan, cincin dan menyerahkan semua barangan di dalam kocek seluarnya sebelum dibawa seorang pegawai memasuki sebuah bilik gelap.

“Seterusnya mata saya ditutup dengan tali leher dan diarahkan duduk ke atas kerusi sebelum tiga lelaki yang mula menyoal dengan nada serius.

“Mereka juga menyuruh saya mendedahkan berapa jumlah wang yang diterima seorang pegawai tertinggi tempat saya bekerja daripada beberapa orang kontraktor bagi menjayakan satu aktiviti lawatan sambil belajar ke Bandung, Indonesia pada 23 hingga 26 April lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurut Zul, dia menerima pukulan sulung di kepala dipercayai menggunakan satu objek keras oleh seorang pegawai yang membuat soal siasat itu apabila dia memberikan jawapan tidak tahu menahu dan tidak menerima wang yang dimaksudkan itu.

Zul berkata, oleh kerana tidak berdaya untuk mempertahankan dirinya, dia terpaksa merayu kepada pegawai terbabit sambil bertanya kenapa dia diperlakukan sedemikian, tetapi rayuannya disambut dengan kata-kata kesat dan maki hamun pegawai terbabit.

“Saya kemudiannya diarahkan ke bilik seorang lagi pegawai di mana di situ, saya diberitahu bahawa saya adalah saksi kepada kes yang sedang disiasat SPRM itu.

“Malah pegawai berkenaan turut mengingatkan saya supaya tidak membongkarkan apa yang berlaku di dalam bilik gelap itu jika tidak mahu memalukan diri sendiri.

“Ketika itu jam 9 pagi dan saya melalui proses merakam keterangan sehingga jam 11 pagi sebelum dihantar semula ke pejabat oleh pegawai SPRM,” katanya.

Zul berkata, ketika di pejabat dia menemui rakannya yang turut dipanggil untuk memberi keterangan itu dan dimaklumkan dia tidak mengalami situasi penderaan di dalam bilik gelap itu.

“Oleh kerana berasakan diri saya diperlakukan dengan cara kejam oleh pegawai SPRM yang menyalahgunakan kuasa, saya membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Kluang tidak lama kemudian sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, oleh kerana kesal dengan insiden yang dilaluinya itu, keluarganya sudah melantik seorang peguam untuk membawa perkara yang memalukan serta melampaui batas itu ke peringkat mahkamah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani yang dimaklumkan berhubung insiden yang menimpa Zul itu berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan selanjutnya.

Katanya, pengadu mempunyai hak untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dan siasatan sewajarnya dilakukan jika terbukti dakwaan itu adalah benar dan telus.

“Pengadu berkenaan sudah membuat laporan polis, jadi kami serahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menjalankan siasatannya dan jika terbukti dakwaan itu benar, biar pegawai yang terbabit dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.

Penyelia mati dikerambit pekerja

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Akibat selisih faham, seorang penyelia kabel elektrik maut akibat dilibas dengan kerambit di tapak projek kondominium mewah di Mont Kiara di sini, semalam.

Mangsa See Chew Hwa, 39, yang berasal dari Puchong Jaya dipercayai dibunuh seorang buruh warga Indonesia.

Mangsa ditemui mati dengan kesan kelar di leher dan tangan di tempat letak kereta di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang dipercayai berpunca apabila mangsa menegur hasil kerja suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek melahirkan rasa tidak puas hati terhadap mangsa dua jam sebelum tragedi itu berlaku.

“Namun, perselisihan faham itu berpanjangan sehingga berakhir dengan pembunuhan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian Jalan Kiara 1 di sini, petang semalam.

Katanya, mangsa dibunuh dengan kerambit oleh suspek berumur 25 tahun yang baru bekerja di tapak itu sejak seminggu lalu.

“Polis yang bergegas ke tempat kejadian menahan seorang rakan suspek yang dipercayai melihat kejadian itu manakala suspek utama menghilangkan diri.

“Susulan itu, pemeriksaan ketat dijalankan terhadap 400 pekerja di tapak pembinaan itu bagi memburu suspek,” katanya yang tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Amuk nak kahwin lagi

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


AMPANG: Merajuk selepas permintaannya untuk beristeri dua ditolak, seorang lelaki mengamuk dan berkurung dalam rumahnya hampir lima jam sebelum diberkas polis di Kampung Indah Permai di sini, Isnin lalu.

Lelaki terbabit yang bersenjatakan dua parang panjang mengugut untuk mencederakan anggota polis yang cuba memasuki rumahnya selain turut mengancam meletupkan dirinya dengan tong gas memasak.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, polis yang menerima maklumat daripada orang awam bergegas ke lokasi kejadian tetapi cubaan memujuk lelaki terbabit menemui kegagalan.

Menurut sumber polis, lelaki itu bertindak agresif setiap kali polis cuba memasuki rumahnya dengan mengugut hendak menyalakan api sambil memegang tong gas memasak.

“Selain itu, dia mengugut mencederakan polis menggunakan dua parang panjang yang dibawanya dan juga pisau yang diselitkan di pinggang.

“Hampir lima jam cuba memujuk namun lelaki terbabit tetap berkeras enggan membuka pintu dan memberi amaran akan mencederakan sesiapa yang cuba masuk ke rumahnya,” katanya.

Sumber terbabit berkata, keadaan ketika itu kecoh kerana ramai penduduk sekitar kawasan berkenaan turut berkumpul di perkarangan rumah lelaki itu untuk mengetahui kejadian sebenar selain cuba memujuknya menyerah diri.

“Keluarga lelaki terbabit dan rakannya turut cuba membantu memujuk dia keluar dari rumah, namun dia tetap enggan menyerah diri dan mengamuk dalam rumah terbabit.

“Anggota bomba dan penyelamat turut memberi bantuan tetapi setiap kali cuba memasuki rumahnya, lelaki terbabit akan menyerang,” katanya.

Menurutnya, isteri dan dua anak lelaki terbabit bagaimanapun dapat melarikan diri keluar dari rumah sejurus dia mengamuk dan ketiga-tiga mereka dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi berkata, lelaki berkenaan akhirnya berjaya ditahan selepas hampir lima jam usaha memujuknya gagal.

“Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas pelbagai usaha memujuk lelaki terbabit gagal selain dia bertindak agresif.

“Selepas terkena gas pemedih mata, lelaki itu akhirnya pengsan dan mungkin juga kerana kepenatan dan polis akhirnya menahannya,” katanya.

Difahamkan, lelaki berusia 34 tahun itu bekerja sebagai kontraktor elektrik manakala isterinya seorang kakitangan swasta.

Menurut Abd Jalil, siasatan awal mendapati lelaki itu mengalami tekanan selepas permintaannya untuk berkahwin seorang lagi tidak direstui isterinya.

“Mungkin kerana terlalu memikirkan permintaannya yang ditolak isterinya itu membuatkan lelaki terbabit tidak dapat mengawal perasaan.

“Dia kini ditahan dan dihantar ke wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan sama ada mengalami gangguan mental,” katanya.