Tuesday, June 30, 2009

Tukang gunting dakwa ditindas

Sumber Harian Metro


KUALA LUMPUR: Bukan hanya dipukul dengan penyodok sampah dan kasut oleh majikan, malah sekumpulan 16 tukang gunting warga India terpaksa mencatu RM5 dibekalkan untuk membeli tosai dan roti canai bagi mengalas perut setiap hari.

Tidak tahan dengan penderaan itu, tujuh daripada mereka yang berusia antara 22 hingga 30 tahun nekad melarikan diri kira-kira jam 12.30 tengah malam, kelmarin dengan menaiki bas dari Pulau Pinang dan tiba di ibu kota kira-kira jam 5 pagi semalam.

Mereka ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di sini, untuk membuat aduan sebelum dibawa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.

Mangsa, K Chandrasegar, 28, berkata dia sanggup berhutang RM8,500 di negaranya semata-mata untuk bekerja di negara ini dua tahun lalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di negara ini, dia dan rakan dilayan seperti hamba. Malah, seorang rakannya yang berusia 50 tahun hampir gila akibat dipukul setiap hari.

“Kami dipukul selain dipaksa bekerja 12 jam sehari bermula jam 8 pagi,” katanya.

Jaga dibelasah penduduk

Sumber Harian Metro

GOMBAK: Niat murni penjaga keselamatan mengawasi kawasan perumahan di Flet Sri Gotong di sini, bertukar tragedi apabila dia dibelasah seorang penduduk di kawasan berkenaan, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Vimmal Sekaran, 25, mendakwa ditumbuk lebih lima kali pada muka oleh seorang lelaki berusia 40-an selepas masalah penukaran pelekat kenderaan baru penghuni di kawasan itu tercetus.

“Sebaik turun dari kenderaan, dia terus menuju ke arah saya sebelum memukul berulang kali. Saya bernasib baik kerana diselamatkan beberapa rakan setugas lain.

“Lelaki itu bagaimanapun masih tidak berpuas hati. Dia berlari ke arah keretanya sebelum mengeluarkan sebatang rotan kira-kira satu meter untuk memukul saya.


“Dia bagaikan dirasuk hantu mengamuk tanpa sebarang sebab,” katanya

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan mengenai dakwaan seorang lelaki dilontar botol arak oleh pengawal keselamatan yang enggan membenarkan dia memasuki kawasan rumahnya di Pangsapuri Sri Gotong.

Dia mendakwa hampir dibelasah sekumpulan 20 samseng yang ‘mengawal’ kawasan itu yang juga rakan kepada tiga pengawal keselamatan bertugas menjaga kawasan pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Keselamatan Flet Sri Gotong, Faisal Kamal Afendi, berkata dakwaan pihaknya melakukan kekasaran selain mengupah 20 pengawal menjaga kawasan kediaman itu tidak berasas.

“Kita tidak tahu apa motif penduduk terbabit membuat kenyataan seumpama itu. Malah, dakwaannya pihak keselamatan tidak membenarkan penduduk masuk ke kawasan itu juga mengarut.

“Kita hanya melarang kenderaan tanpa pelekat memasuki kawasan kediaman ini,” katanya.

20 ‘samseng tahi kucing’ kepung wanita minta wang

Sumber Harian Metro


KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 40-an mengalami detik mencemaskan apabila didatangi lebih 20 lelaki bersenjatakan besi panjang, tukul besi dan topi keledar sebelum mengarahkannya menyerahkan sejumlah wang perlindungan kepada mereka.

Mangsa yang baru membuka kedai runcitnya di Tasik Permai, Ampang di sini, turut dipukul seorang daripada suspek selepas enggan membayar wang perlindungan itu.

Difahamkan, kumpulan terbabit berusia lingkungan 20-an meminta mangsa membayar wang RM500 setiap bulan bagi mengelak perniagaannya diganggu.

Mereka turut mendakwa akan menjaga kawasan kedainya itu daripada diganggu kumpulan lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, mangsa dan anak saudaranya berusia 20-an, yang sedang menjalankan perniagaannya tiba-tiba didatangi sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan besi panjang, tukul besi dan topi keledar untuk mengugutnya.

Menurut sumber, mangsa yang enggan membayar wang perlindungan kepada kumpulan itu melarikan diri, namun ditahan ahli kumpulan terbabit manakala anak saudaranya terlepas.

“Dia dibelasah seorang daripada suspek manakala beberapa ahli kumpulan itu pula merosakkan semua barangan dalam kedainya.

“Bagi mengelak perbuatan mereka itu dilihat orang ramai, ahli kumpulan terbabit mengelilingi mangsa,” katanya.

Mereka turut mendakwa akan menjaga kawasan kedainya itu daripada diganggu kumpulan lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, mangsa dan anak saudaranya berusia 20-an, yang sedang menjalankan perniagaannya tiba-tiba didatangi sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan besi panjang, tukul besi dan topi keledar untuk mengugutnya.

Menurut sumber, mangsa yang enggan membayar wang perlindungan kepada kumpulan itu melarikan diri, namun ditahan ahli kumpulan terbabit manakala anak saudaranya terlepas.

“Dia dibelasah seorang daripada suspek manakala beberapa ahli kumpulan itu pula merosakkan semua barangan dalam kedainya.

“Bagi mengelak perbuatan mereka itu dilihat orang ramai, ahli kumpulan terbabit mengelilingi mangsa,” katanya.

Anak atau cucu bapa?

Oleh Salman Hamat dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Anak atau cucu bapa? Itulah hasil perlakuan keji seorang lelaki dipanggil ‘papa’ yang menjadikan anak sendiri tempat melampiaskan nafsu hingga anaknya yang berusia 16 tahun kini sarat mengandung tujuh bulan.

Difahamkan, bapa ‘iblis’ berusia 30-an itu dikatakan mula meratah tubuh anaknya sendiri sejak empat tahun lalu ketika mangsa sedang belajar di tahun enam.

Mangsa yang mula menunjukkan ciri gadis dewasa itu dikatakan menarik minat bapa sendiri dan diibaratkan sebagai ‘isteri’ kedua apabila sering menidurinya setiap kali ibunya tiada di rumah.

Lebih malang apabila aduan mangsa kepada ibunya sebelum ini tidak diendahkan, sebaliknya bapanya bertindak lebih agresif dengan menodainya di rumah mereka di Rawang, dekat sini, setiap malam selain memukulnya jika kemahuannya tidak dipenuhi.

Ibu mangsa dikatakan tidak menghiraukan keluhan mangsa seolah-olah merelakan perbuatan keji suaminya apabila dikatakan masih bersikap berdiam diri walaupun pernah terserempak suspek menyelinap masuk ke bilik gadis terbabit.

Menurut sumber, biarpun selepas menyedari mengenai perbuatan keji suaminya, ibu kepada tiga anak itu masih mendiamkan diri dipercayai kerana takut dipukul suaminya.

“Apabila tubuh anaknya sudah berubah selepas mengandung, remaja malang itu tidak dibenarkan keluar rumah.

“Tindakan itu dilakukan bertujuan menjaga maruah keluarga selain mengelakkan dipandang seorang masyarakat,” katanya.

Akibat tidak tahan menjadi hamba seks bapanya, mangsa melarikan diri sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Rawang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

“Kita sudah menahan lelaki terbabit dan dia akan direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam).

“Remaja terbabit diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan,” katanya.

Padah tegur

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur rakan serumahnya yang pengotor dan gemar membuang air basuhan pakaian di lantai, seorang pekerja warga Bangladesh dibelasah beramai-ramai hingga lembik.

Lebih malang apabila mangsa dirompak rakan serumahnya yang merampas dan melarikan wang RM2,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu, mangsa berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang dikatakan menegur tiga rakan serumahnya warga Myanmar yang bersikap pengotor.

Sumber polis berkata, mangsa tinggal serumah bersama tiga lelaki Myanmar di Jalan Pudu dikatakan menasihat rakannya itu kerana bimbang lantai rumah sewa itu menjadi licin.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek naik angin dan memaki-hamun mangsa dengan pelbagai kata kesat.

“Seorang daripada suspek memaut tubuh mangsa sebelum rakan lain menumbuk muka dan tubuh mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa ditinju di mata dan muka dipukul berulang kali sehingga lembik serta rebah di lantai.

“Sebaik mangsa terbaring tidak sedarkan diri, seorang suspek mengambil pasport serta wang tunai dari poket seluar dan baju mangsa RM2,000.

“Mereka mengugut mangsa supaya tidak membuat laporan polis. Mangsa yang ditinggalkan kesakitan menghubungi rakannya sebelum mendapatkan rawatan di hospital berhampiran,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun dikatakan memulangkan semula pasport mangsa keesokan harinya selepas meminta rakan mereka memulangkan dokumen berkenaan.

“Polis mendapati ketiga-tiga suspek sudah melarikan diri dan tidak pulang ke rumah sewa,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang remaja yang juga pembantu kedai permainan video tergamam apabila diacukan parang oleh seorang lelaki yang memasuki premisnya di Jalan Raja Laut, di sini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, penjaga letak kenderaan berhampiran masuk ke dalam premis mesin video berkenaan sebelum mengacukan parang dan mengarahkan mangsa menyerahkan semua wang kutipan.

Mangsa berusia 19 tahun yang ketakutan menyerahkan wang kutipan mesin judi RM1,700 dan wang miliknya RM1,350.

Lemas dalam baldi

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my



KEJAM...anggota polis membawa tong minyak hidaulik
tempat mayat bayi ditemui terendam.
KEJAM...anggota polis membawa tong minyak hidaulik
tempat mayat bayi ditemui terendam.

KUANTAN: Akibat gagal menyelesaikan masalah peribadi dengan teman lelaki, seorang wanita sanggup bertindak kejam dengan merendam bayi perempuan yang baru dilahirkannya ke dalam bekas tong minyak hidraulik berisi air hingga lemas dalam tandas.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam di sebuah bilik sewa di Wisma Bola Sepak, Jalan Gambut di sini semalam wanita berasal dari Felda Keratong, Muadzam Shah, Rompin terbabit melahirkan bayi itu ketika rakan sebiliknya tidur.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian sebaik menerima maklumat mendapati bayi itu dilahirkan tidak cukup bulan dan mati akibat lemas.

Bagaimanapun, menurutnya, masih terlalu awal untuk memberikan sebarang kesimpulan, sebaliknya memaklumkan pihaknya terpaksa menunggu laporan penuh bedah siasat mengenai kematian bayi itu sebelum memberikan kenyataan lanjut.
“Kami sudah menghantar mayat bayi itu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk dibedah siasat dan setakat ini laporan awal mengesahkan bayi yang baru beberapa jam dilahirkan itu mati akibat lemas,” katanya.

Berikutan itu, katanya, polis sudah menahan seorang wanita yang dipercayai melahirkan bayi terbabit sebelum dihantar ke Wad Bersalin HTAA untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, wanita terbabit baru dua hari tiba di bandar ini untuk mencari pekerjaan sebelum menumpang bilik yang disewa rakan wanitanya berusia 20 tahun.

Dia turut menceritakan masalah yang dihadapi dengan teman lelakinya kepada rakannya itu.

“Wanita itu mulanya hanya memaklumkan kepada rakannya konon hanya sakit perut bagi mengelak rahsia sebenar diketahui selain enggan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

“Mengikut keterangan awal rakan wanita itu, dia terdengar bunyi tangisan bayi itu kira-kira jam 6 pagi dari dalam tandas di bilik sewa mereka, tapi tidak mengesyaki apa-apa selain bimbang untuk memeriksa sebelum tangisan terbabit tidak lagi kedengaran kira-kira sejam kemudian,” katanya.

Menyedari wanita itu tiada dalam bilik, rakannya bangun untuk memeriksa tandas sebelum terkejut melihatnya menangis dan dalam keadaan lemah akibat menahan kesakitan sebaik melahirkan bayi berkenaan.

Rakan terbabit menghubungi ambulans untuk bantuan.

Zulkifli berkata, polis menyiasat mengikut Seksyen 309 (A) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan pembunuhan bayi.

Sunday, June 28, 2009

Surau jadi tempat seksaan

- Lima pelajar dibelasah selepas solat witir

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK

SMA Rompin di Kuala Rompin, tempat berlakunya kejadian buli dan belasah melibatkan 20 orang pelajar baru-baru ini.


KERATAN Kosmo! 20 Jun


LAKONAN semula kejadian pukul melibatkan pelajar junior dan senior di surau asrama SMA Rompin.

ROMPIN - Lazimnya surau menjadi tempat beribadat namun lain pula ceritanya bagi lima pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Rompin di sini yang menyifatkan ia sebagai tempat penyeksaan ala penjara Abu Gharib, Iraq.

Seorang daripada pelajar terbabit mendedahkan, bukan sahaja Mohd. Ashraf Abdul Aziz, 15, yang dibuli hingga pengsan oleh sekumpulan pelajar senior di surau itu malah dia bersama tiga lagi rakan turut menjadi mangsa dalam kejadian yang sama.

Pelajar tingkatan tiga yang enggan dikenali itu memberitahu, selepas Ashraf dibelasah pada pukul 1 pagi, dia dan tiga lagi pelajar junior turut dipukul secara bergilir-gilir di surau tersebut.

"Pada malam itu (Khamis) sebaik selesai solat witir, kami dipanggil seorang demi seorang memasuki surau dan dibelasah mengikut giliran selepas kumpulan pelajar senior tidak puas hati sebab kami enggan ikut arahan mereka.

"Saya yang terakhir dipanggil dan sebelum tiba giliran, saya terdengar jeritan kawan-kawan yang dibelasah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Pelajar tersebut diberi cuti oleh pihak sekolah bersama empat lagi rakannya termasuk Ashraf selepas kejadian itu.

Menceritakan kejadian buli itu, mangsa berkata, setiap kali rakan-rakannya dipanggil masuk ke surau, lampu akan dipadamkan dan kedengaran hanya suara kumpulan pelajar senior yang seronok membelasah dan teriakan mangsa.

Thursday, June 25, 2009

Belasah dalam surau

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


KUANTAN: Menyayat hati apabila sekumpulan 80 pelajar hanya mampu melihat seorang rakan mereka dibelasah empat senior selepas menunaikan solat Witir di surau sebuah sekolah agama di Rompin, awal pagi kelmarin.

Kumpulan pelajar berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang turut menjadi mangsa senior berusia 16 hingga 17 tahun yang tiba-tiba ‘naik minyak’ tanpa sebarang sebab.

Namun, mangsa, Mohd Ashraf Abdul Aziz, 15, bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius berikutan kejadian itu disedari kakitangan sekolah yang meleraikan pergaduhan.

Mangsa cedera di lengan dan muka selain beberapa bahagian badan dibawa ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan pesakit luar oleh pihak sekolah.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ashraf dipukul secara membabi buta tanpa sebarang sebab.

“Selepas selesai menunaikan solat, mereka tiba-tiba memadam lampu dan meluru ke arahnya lalu bertindak memukul mangsa sebelum dileraikan kakitangan sekolah,” katanya.

Menurutnya, kerana tidak puas hati dengan kejadian itu, satu laporan polis dibuat bagi menuntut keadilan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Rompin, Deputi Superintendan Razali Razak mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, keluarga mangsa menarik balik laporan itu pada hari sama kerana difahamkan mereka bersedia menyelesaikan kes itu dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta tidak mahu membabitkan polis.

“Polis menganggap kes ini selesai dan berharap pihak yang terbabit dalam kejadian itu dapat berunding dengan cara baik mencari jalan penyelesaian sewajarnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Agama Rompin, Nasiruddin Mohamed Yusof, berkata empat pelajar berkenaan yang memukul mangsa sudah dibuang daripada asrama selepas perjumpaan dengan keluarga mangsa dan PIBG, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Tuesday, June 23, 2009

Pelajar ketua geng pencuri

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my


DUNGUN: Walaupun baru berusia 14 tahun, dia sudah mampu memiliki kumpulan sendiri untuk melakukan jenayah, terutama kegiatan pecah rumah di sekitar bandar ini.

Penjenayah muda itu dikatakan melakukan kegiatan berkenaan bersama beberapa rakan sebaya ketika pelajar lain berada dalam kelas masing-masing.

Kegiatan dilakukan secara senyap tanpa pengetahuan guru dan keluarga menjadikan kehidupan mereka mewah dan sering menghabiskan masa dengan permainan video di pusat siber.

Bagaimanapun, kelicikan kumpulan berkenaan berakhir apabila ditahan ketika tidur di rumah keluarga remaja terbabit di Kampung Anak, Balai Besar di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata serbuan dibuat berdasarkan maklumat siasatan selepas menerima laporan pecah rumah daripada seorang guru yang kerugian barangan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM500, Khamis lalu.

Beliau berkata, ketika serbuan, pihaknya tidak menghadapi masalah menahan remaja terbabit berikutan mendapat kerjasama keluarganya yang terkejut selepas dimaklumkan pembabitannya dengan jenayah.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala seorang daripada rakannya dipercayai sudah melarikan diri ke Kuala Lumpur, manakala dua lagi dijangka ditahan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, polis merampas kamera digital, kamera video dan barangan kemas daripada suspek dipercayai milik guru terbabit.

Katanya, kamera digital dan kamera video disembunyikan dalam bilik tidurnya manakala anting-anting, gelang, cincin dan kad memori yang diletakkan dalam sebuah beg sekolah biru disembunyikan dalam belukar berhampiran rumah.

Siasatan awal polis mendapati, kumpulan itu dipercayai terbabit dengan beberapa kejadian pecah rumah bersiri sekitar bandar ini termasuk kes yang berlaku di Kampung Balai Besar.

Monday, June 22, 2009

Lelaki cabul bekas teman wanita tagih hutang

Sumber Harian Metro


KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang menemui bekas teman lelakinya untuk meminta hutang dicabul ketika berada bersama dalam kereta di Jalan Kepong di sini.

Bagaimanapun, mangsa berusia 20-an itu bernasib baik diselamatkan teman lelakinya yang mengekori kereta suspek.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang Khamis lalu, wanita yang tinggal di Taman Wangsa Permai di sini meminta bantuan daripada teman lelakinya berusia 20-an untuk menghantarnya ke sebuah restoran di Jinjang Utara bagi bertemu bekas teman lelakinya.

“Teman lelaki mangsa tidak bersama mangsa dan cuma menghantarnya ke restoran itu sebelum pergi ke tempat lain kononnya mempunyai urusan,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, apabila bertemu suspek, lelaki terbabit mahu membawanya ke restoran lain dengan alasan tidak mahu makan di restoran itu.

“Tidak mencurigai niat suspek, mangsa bersetuju untuk pergi ke restoran di Jinjang Selatan sebelum diberikan cek RM1,500,” katanya.

Mangsa dibawa ke sebuah kawasan di Jalan Kepong sebelum suspek tiba-tiba memberhentikan keretanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit terus bertindak rakus apabila meraba bahagian tubuh mangsa selain mencium dan memeluknya berkali-kali.

“Pada masa sama, mangsa ternampak kereta teman lelakinya menyebabkan suspek takut sebelum memecutkan kenderaan,” katanya.

Mangsa yang panik kerana tidak mengetahui arah akan dibawa lega selepas suspek menghantarnya semula ke restoran di Jinjang Utara berkenaan.

Khuatir perkara buruk berlaku, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang.

Gadis diperkosa bapa lebih 10 tahun lalu lapor polis

Sumber Harian Metro


KUALA LUMPUR: Dia menjadi mangsa pemuas nafsu bapa kandung ketika berusia 12 tahun. Ketika itu, mangsa tinggal bersama keluarga di Keramat, di sini.

Mereka sekeluarga kemudian berpindah ke Kuala Terengganu dan rahsia itu disimpan gadis terbabit hinggalah dia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bagaimanapun, selepas lebih 10 tahun, kejadian itu sering menghantuinya dan turut menjejaskan pembelajarannya kerana memikirkan peristiwa hitam itu.

Namun, gadis terbabit yang sedang bercuti semester dan kembali ke negara ini akhirnya mengambil keputusan nekad membuat laporan polis, semalam.


Malah, dia dikatakan sanggup menempuh perjalanan ratusan kilometer dari Terengganu ke Lembah Klang semata-mata mahu membuat laporan polis.

Difahamkan, kejadian itu diketahui beberapa ahli keluarga, namun gadis terbabit dinasihatkan tidak mendedahkan kerana mendatangkan aib kepada keluarga.

Menurut sumber, gadis berusia 22 tahun itu membuat keputusan selepas sekian lama menyimpan rahsia terbabit kerana tidak mahu mengaibkan keluarga.

“Selain itu, dia turut mendakwa tidak mengetahui perbuatan rogol yang dilakukan bapanya itu adalah satu kesalahan kerana mendakwa masih kecil.

“Bagaimanapun, mangsa yang semakin dewasa kini mula berfikir perbuatan bapanya itu satu kesalahan serius dan nekad membuat laporan polis,” katanya.

Sumber itu berkata, walaupun kejadian berlaku lebih kurang 10 tahun lalu, namun sering menghantui gadis terbabit yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara.

Ketagih teman siber

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my



SHAH ALAM: Dia tidak pernah meninggalkan solat selain pandai mengaji al-Quran, namun memiliki perangai pelik iaitu gemar berbual lucah dan menggoda teman siber di laman sembang.

Apabila ditegur supaya menghentikan perbuatan itu, lelaki terbabit naik angin lalu membelasah isterinya hingga cedera sebelum melakukan seks ganas terhadapnya.

Kepala wanita itu turut dihantuk ke dinding, ditumbuk dan dipijak dalam bilik air menyebabkan mangsa tinggal nyawa-nyawa ikan.

Dia hanya menghentikan tindakan gila dan kejam itu selepas melihat darah mengalir di tubuh isterinya.


Kehidupan penuh penderitaan itu didedahkan mangsa yang juga seorang pegawai kanan kerajaan kepada Harian Metro, baru-baru ini.


Dia yang mahu dikenali sebagai Julia, 30-an, turut menunjukkan lebih 10 laporan polis berkaitan tindakan ganas suaminya.

Menurut Julia, dia tidak menyangka suaminya yang alim dan pandai mengaji al-Quran gemar melayari laman sembang untuk menggoda dan berbual lucah dengan gadis sunti dan pelajar perempuan.

“Suami saya yang berusia 40-an mula menggatal ketika menjalinkan hubungan intim dengan teman siber yang kebanyakan gadis muda.

“Bukan itu saja, dia sering berbual melalui video secara langsung dengan gadis yang menjadi teman sibernya sambil menggunakan perkataan lucah dan menggoda bagi merangsangkan diri dan gadis terbabit,” katanya.

Katanya, dia pernah terserempak pelbagai perkataan dan gambar lucah digunakan suami yang mungkin untuk menaikkan keghairahan gadis siber yang menjadi temannya.

“Apabila saya dapat menghidu perbuatan suami, bermula derita saya yang dijadikan tempat untuk dibelasah sehingga berdarah dan lebam di beberapa bahagian badan.

“Paling terbaru, apabila berlaku sedikit perselisihan sebelum saya dibelasah dan dicekik sebelum dicampakkan di atas katil.

“Suami turut menekan tangan saya dengan lutut dan menggigit dagu hingga berdarah selain beberapa kali meludah muka saya,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia tiga dan tujuh tahun.

Julia juga mendakwa pernah diugut dibakar mukanya menggunakan pemetik api oleh lelaki terbabit.

Malah, muka wanita itu pernah cedera akibat disambar api yang diacukan.

Sambil menitiskan air mata, wanita itu menyatakan dia sudah mengambil beberapa langkah bagi mempertahankan diri termasuk membuat 10 laporan polis bagi mengelak daripada terus menjadi belasahan suami.

Dia pernah membawa polis ke rumah selepas dibelasah hingga cedera, tetapi sebaik polis pulang, suaminya terus membelasah diri tanpa mampu mempertahankan diri.

“Saya cuba mendapatkan perlindungan untuk tinggal berasingan melalui proses undang-undang, tapi tidak diendahkan suami yang terus menerus membelasah saya dengan mencekik dan mengugut mahu mencederakan muka saya,” katanya yang mengakui suami sudah dikenakan tindakan undang-undang apabila ingkar arahan berkenaan.

Katanya, dia sudah melakukan sebaik mungkin sebagai isteri bagi mempertahankan usia perkahwinan yang sudah menjangkau lebih 10 tahun.

Menurutnya, dia tidak mempunyai pilihan selain mengemukakan tuntutan fasakh di mahkamah syariah dan berharap permohonan itu dapat disegerakan.

“Sebagai wanita yang sudah diperlakukan sebagai binatang, saya sudah tidak ada perasaan lagi terhadap lelaki terbabit.

“Apa yang mahu saya lakukan sekarang adalah keluar daripada kehidupan seperti haiwan itu dan dapat membesarkan anak dengan penuh kasih sayang,” katanya yang masih trauma walaupun suaminya itu sudah tinggal berasingan sekarang.

Bagaimanapun, Julia masih bimbang tindakan tidak menentu suami apabila mengetahui tuntutan di mahkamah syariah sudah dilakukan.

Friday, June 19, 2009

Buang bayi dalam plastik

Sumber Harian Metro


KUALA TERENGGANU: Seorang bayi yang dipercayai baru dua jam dilahirkan terselamat dari dibaham haiwan liar apabila ditemui seorang remaja perempuan, kelmarin.

Bayi perempuan yang masih bertali pusat diletakkan dalam plastik ditemui remaja berusia 16 tahun di depan pagar rumahnya di Kampung Baru, Seberang Takir, jam 9.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan K Manoharan, berkata sebelum bayi malang itu ditemui, remaja terbabit berada di dalam rumahnya dan terkejut apabila mendengar tangisan bayi di hadapan rumahnya.

“Terkejut mendengar tangisan bayi yang datang daripada bungkusan itu, remaja terbabit segera membuka plastik berkenaan dan panik apabila mendapati seorang bayi di dalamnya,” katanya.

Remaja itu kemudian meminta bantuan orang ramai menghantar bayi itu ke Pusat Kesihatan Seberang Takir sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Mati dalam kandungan

Harian Metro

KAJANG: Mayat seorang bayi perempuan yang ditemui dalam bungkusan plastik hitam di Surau Al-Ikhlas, Sungai Chua di sini, petang kelmarin disahkan meninggal dunia ketika masih dalam kandungan ibunya sebelum dibuang.

Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada bayi terbabit dilahirkan melalui pembedahan atau akibat keguguran oleh ibunya.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Shakarudin Che Mood berkata melalu bedah siasat dijalankan didapati kematian bayi yang masih dalam kandungan itu akibat kecacatan pada jantung menyebabkan ia gagal berfungsi, selain dipercayai baru dilahirkan dan cukup sifat.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, mayat bayi terbabit ditemui seorang pembantu surau yang curiga dengan satu bungkusan plastik sejak dua hari lalu, selain mendakwa melihat kelibat wanita di kawasan kejadian.

Pasangan separuh bogel dicekup

Harian Metro

JITRA: Sepasang kekasih yang sedang asyik berasmara dalam keadaan separuh bogel di dalam sebuah kereta tidak menyedari aksi tidak senonoh mereka dilihat pengguna jalan raya lain sebelum mereka ditahan pihak berkuasa, malam kelmarin.

Pasangan berusia 20-an itu melakukan aksi ghairah hampir sejam turut diperhatikan anggota polis dari unit peronda yang kebetulan berada tidak jauh dari kawasan itu di Kilometer 33.4, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Changlun, kira-kira jam 10 malam.

Bagaimanapun, drama romantik itu berakhir apabila anggota polis peronda mengetuk pintu kereta dan menahan mereka sebelum diserahkan kepada penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP).

Ketika pemeriksaan, dua anggota polis peronda mendapati pasangan itu bercumbu tanpa menghiraukan apa yang berlaku dengan menjatuhkan kerusi tempat duduk penumpang hadapan tanpa menyedari kehadiran polis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaik, Sheikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata lelaki berusia 25 tahun dan berasal dari Pokok Sena itu dikatakan membawa pasangannya ke hentian rehat itu untuk melepaskan rindu kerana masing-masing sibuk bekerja sebagai tukang besi dan pembantu di restoran makanan segera di Bandar Darulaman, dekat sini.

Bayi ditinggal dengan RM1

Harian Metro


SUBANG JAYA: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di depan sebuah rumah di Jalan USJ2/USJ4 di sini, bersama-sama bekalan susu sepasang baju, lampin pakai buang dan wang RM1, pagi semalam.

Kejadian itu disedari anak pemilik rumah berkenaan selepas melihat satu beg berwarna oren bergerak-gerak di depan rumahnya dan sebaik diperiksa ditemui seorang bayi di dalamnya.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, bayi yang tidak dapat dipastikan keturunan itu sengaja diletakkan di depan rumah berkenaan.

Menurutnya, bayi terbabit yang lengkap berpakaian ditemui seorang lelaki yang tinggal di rumah berkenaan.

“Lelaki terbabit yang terpinga-pinga curiga dengan bungkusan misteri bergerak-gerak itu membuka bungkusan terbabit sebelum terkejut mendapati ada bayi di dalamnya,” katanya.

Zainal berkata, lelaki itu dan bapanya kemudian memaklumkan penemuan bayi itu kepada polis.

Titik noda pelawaan majikan hantar pulang

Harian Metro

KUANTAN: Gara-gara terlalu percayakan majikan lelakinya, seorang gadis yang menerima pelawaan dihantar pulang ke rumah sewanya di Taman Amalina Bestari, dekat Raub, mendakwa diperkosa lelaki berkenaan, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, lelaki berusia 33 tahun itu mulanya menegur mangsa yang berusia 17 tahun sebaik selesai bekerja di sebuah restoran di Simpang Kalang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata mangsa menerima pelawaan majikannya untuk dihantar pulang sebelum menumpang kereta lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, lelaki itu memberitahu mangsa kononnya dia mahu singgah sebentar di rumah untuk menghantar barang sebelum mangsa mengizinkannya.

Katanya, sebaik tiba di rumah lelaki itu, gadis berkenaan dipaksa masuk ke dalam walaupun mangsa meronta untuk melepaskan diri sebelum akhirnya dirogol.

“Mangsa hanya dihantar pulang ke bilik sewanya beberapa jam kemudian sebelum menceritakan kejadian itu kepada keluarganya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.

“Susulan aduan mangsa, sepasukan polis menahan lelaki terbabit ketika berehat di rumahnya, kira-kira jam 2 pagi,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki itu kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Malang lepas enam tahun

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Jika enam tahun lalu semua jarinya dipatahkan selain telapak tangan kirinya ditoreh menggunakan sebilah pisau oleh abang ipar dan arwah bapa mentuanya, nasib malang terus menimpa seorang pemandu teksi apabila cedera parah dibelasah tiga ‘samseng’ di Subang Bestari, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa dibelasah menggunakan besi penukar tayar oleh tiga lelaki diketuai bekas abang iparnya atas alasan cuba menghampiri kawasan perumahan didiami bekas isterinya itu

Mangsa, Abdul Karim Kutti Ali, 40, mendakwa pergi ke kawasan berkenaan secara kebetulan kerana menghantar seorang pelanggan yang menaiki teksinya.

Dia yang tidak menyedari kelibatnya diperhatikan bekas isterinya itu bagaimanapun tersentak apabila dihalang tiga kereta secara tiba-tiba sebaik menurunkan pelanggannya itu.

Menurut Abdul Karim, dia yang kebingungan tiba-tiba dihampiri tiga lelaki termasuk bekas abang iparnya lengkap memegang besi penukar tayar.

“Mereka paksa saya turun daripada kenderaan dan mengugut akan memecahkan cermin teksi itu sekiranya tidak berbuat demikian.

“Saya yang ketakutan mematuhi arahan berkenaan sebelum berlaku pertengkaran lebih 15 minit. Selepas itu, saya dipukul menggunakan besi penukar tayar itu oleh kumpulan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Abdul Karim, kumpulan terbabit berulang kali mendakwa akan membunuhnya atas alasan cuba mengganggu bekas isterinya itu.

“Saya cuba beri penjelasan namun tidak dihiraukan kumpulan terbabit terutamanya bekas abang ipar saya itu.

“Mereka membelasah saya seperti seorang penjenayah yang bersalah. Mana tidaknya, saya ditendang, dipijak sebaik terjatuh selain dihentak berulang kali di seluruh tubuh menggunakan besi penukar tayar itu,” katanya.

Abdul Karim berkata, kemuncaknya kumpulan terbabit memukul kepalanya menyebabkan dia hampir pitam kerana kehilangan darah yang banyak.

“Saya bernasib baik kerana kumpulan itu dihalang sekumpulan pemuda yang sedang bermain bola sepak berhampiran kawasan berkenaan.

“Seorang daripada remaja terbabit kemudiannya membawa saya ke balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya, ini bukanlah kejadian pertama dia dibelasah abang iparnya itu, enam tahun lalu Abdul Karim mendakwa semua jarinya dipatahkan dan telapak tangannya ditoreh menggunakan pisau hanya disebabkan perselisihan faham kecil yang berlaku antara dia dan bekas isterinya itu.

Tidak tahan diganggu jiran pelik

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Lima sekeluarga kini tinggal dalam ketakutan sejak dua bulan lalu selepas sering diganggu seorang jiran lelakinya melalui pelbagai perbuatan pelik termasuk sengaja menyiram air ke bilik tidur serta mengetuk dinding rumah mangsa menggunakan tukul besi tanpa mengira siang dan malam.

Jiran terbabit yang dipercayai mengalami masalah jiwa bertindak luar biasa termasuk gemar memecahkan cermin tingkap rumah keluarga berkenaan selain menendang pintu belakang rumah tanpa sebab.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Leow, 30-an, mendakwa dalam kejadian serangan terbaru awal pagi semalam, jiran terbabit bertindak lebih ganas apabila sengaja mengetuk pintu besi di belakang rumahnya sekuat hati.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1 pagi, jirannya yang berusia 47 tahun itu mula mengetuk pintu belakang rumahnya menggunakan tukul besi berulang kali sehingga menyebabkan dia terkejut.

“Tidak tahan dengan gangguan itu, saya segera menghubungi polis untuk mengadu masalah dan bunyi ketukan itu turut didengar anggota polis melalui telefon.

“Selang beberapa minit kemudian, anggota kereta peronda polis sampai di hadapan rumah saya di Jalan Lang Kepala Putih, Kepong Baru, namun jiran terbabit sudah terlebih dahulu beredar dan menghentikan tindakan peliknya itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya, semalam.

Namun, menurutnya sebaik anggota polis beredar, jirannya menyambung semula perbuatan anehnya itu dengan mengetuk pula dinding rumahnya berulang kali sehingga menyebabkan dia sekeluarga tidak boleh melelapkan mata.

“Saya dan suami hanya mampu bersabar dan enggan bergaduh dengan jiran lelaki itu kerana lebih memikirkan keselamatan anak-anak.

“Bagaimanapun perbuatan gila jiran lelaki itu sampai ke kemuncak apabila dia dengan sengaja menyemburkan air menggunakan getah paip menerusi lubang di atas bilik tidur rumah saya,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit sengaja memanjat dan berdiri di atas tembok di hadapan rumah sebelum memancutkan air sehingga menyebabkan bilik tidurnya basah.

“Saya ketika itu sedang tidur bersama suami dan tiga anak kami yang berusia lima hingga sembilan tahun apabila secara tiba-tiba air mencurah masuk dan membasahi bilik tidur utama kami.

“Walaupun lubang udara itu sebelum ini ditutup dengan plastik berikutan kami memasang alat penghawa dingin, lelaki terbabit sanggup menjolok lubang berkenaan dengan kayu untuk membolehkan air paip masuk menerusinya,” katanya.

Katanya, suspek menggunakan alat penyembur air tekanan tinggi menyebabkan bilik tidurnya bertukar menjadi kolam dalam sekelip mata.

“Kejadian itu mengakibatkan tilam, bantal serta pakaian kami basah kuyup. Malah, saya terpaksa menyelamatkan tiga anak saya kerana bimbang dicederakan dalam kejadian itu,” katanya yang terpaksa membersihkan rumahnya.

Mangsa yang berpindah ke rumah teres satu tingkat berkenaan sejak Ogos tahun lalu mendakwa mula diganggu lelaki terbabit selepas mendakwa mereka sekeluarga kerap membuat bunyi bising berpunca dari alat memproses soya di rumahnya.

“Saya pernah berbincang dengan jiran terbabit dan memberitahu bahawa kerja memproses soya terbabit hanya dilakukan setiap hari antara jam 1 tengah hari hingga jam 2 petang.

“Malangnya dia tidak puas hati dengan alasan itu dan mendakwa seolah-olah telinganya kerap diganggu oleh bunyi mesin berkenaan sepanjang masa,” katanya yang berniaga makanan.

Menurutnya, pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pernah tiga kali melakukan pemeriksaan di rumahnya namun memberikan ‘lampu hijau’ selepas mendapati mesin memproses soya terbabit tidak menghasilkan gangguan bunyi serius kepada jiran dan penduduk berhampiran.

Gadis diberi air guna-guna

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Seorang remaja wanita mendakwa menjadi mangsa rogol abang iparnya selepas dikatakan terminum air ‘guna-guna’ yang dicampurkan bahan asing menyebabkannya khayal sebelum tersedar daripada tidur dan terasa sakit di kemaluan dalam kejadian di Kampung Pasir Putih, Tepoh, dekat sini, Isnin lalu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada waktu malam ketika mangsa yang berusia 18 tahun dikatakan demam sebelum abang iparnya itu membantu memicit kepala dan menyerahkan segelas minuman kepada mangsa menyebabkannya terus tertidur.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) negeri, Superintendan K Manoharan, berkata mangsa yang tersedar beberapa jam selepas itu mendapati bahagian kemaluannya pedih menyebabkannya mula mengesyaki sesuatu tidak baik menimpanya ketika tidur.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu, sebaliknya memberitahu satu laporan polis dibuat seorang gadis di Balai Polis Batu Rakit, kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin yang mendakwa dicabul.

“Berikutan aduan itu, kami sudah menahan seorang pekerja pendawaian elektrik berusia 34 tahun, dari Kampung Pasir Putih, kira-kira jam 2.30 pagi yang sama ketika laporan diterima,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Harian Metro difahamkan, mangsa yang terasa sakit di kemaluannya mulanya tidak mengesyaki apa-apa sehingga membuang air kecil dan terasa pedih di bahagian sulit itu menyebabkannya runsing.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai tidur di ruang tamu rumah berkenaan bersama kakaknya dan bertandang ke rumah itu kerana enggan menyusahkan seorang lagi kakak mereka yang baru melahirkan anak.

Bagaimanapun, polis yang menghantar wanita itu untuk rawatan di hospital mendapati tiada kesan koyakan di selaput dara mangsa yang memungkinkan remaja itu sekadar dicabul.

Tahan sakit hampir sejam

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com


AMPANG: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir sejam selepas dipercayai dilanggar lari di tepi jalan di Jalan Kolam Air Lama, dekat sini, malam kelmarin, sebelum ditemui orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, mangsa, Ahmad Radi Abdul Manan, 52, dikatakan berjalan kaki di kawasan berkenaan sebelum dia dilanggar kenderaan yang kemudian meninggalkan mangsa berseorangan.

Jurucakap polis trafik berkata, ketika ambulans tiba, mangsa masih mampu bercakap sebelum dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Ampang.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi kerana cedera parah di kepala, pinggang dan kaki,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa hanya membawa kad pekerja dan satu laporan polis berhubung kehilangan Mykadnya.

“Kad pekerja terbabit yang bertarikh pada 2007 itu menunjukkan mangsa pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Selain itu, laporan polis yang ditemui bersama mangsa menunjukkan alamat terakhirnya di Selayang Baru, Gombak,” katanya.

Menurut jurucakap itu, polis sudah berkunjung ke rumah mangsa berdasarkan alamat diperolehi namun mendapati tiada sesiapa berada di rumah itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ampang di talian 03-42932763 bagi membantu siasatan.

Selain itu, keluarga atau sesiapa yang mengenali mangsa diminta menuntut mayatnya di Hospital Ampang

Pasangan keparat

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Nor Azmelia Azahari
am@hmetro.com.my


PORT DICKSON: Pasangan keparat. Itulah gelaran layak diberikan untuk sepasang kekasih apabila bertindak meragut seorang gadis dalam kejadian di Kilometer 15.3, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, perbuatan durjana pasangan kekasih terbabit hampir meragut nyawa gadis malang berkenaan apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan motosikal peragut menyebabkannya terjatuh.
Barang yang disamun hanyalah telefon bimbit, namun mereka sanggup memperjudikan nyawa mangsa semata-mata bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.
Menceritakan kejadian itu, kerani sebuah syarikat insurans, Puteri Salbiah Yaacob, 23, berkata dia menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Port Dickson menghala ke pusat bandar Seremban.
“Di tempat kejadian, datang motosikal dinaiki satu pasangan menghampiri saya daripada belakang.
“Lelaki yang menunggang motosikal itu cuba merampas telefon bimbit yang diletakkan dalam bakul motosikal,” katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Hospital Port Dickson, semalam.
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan motosikalnya bergesel dengan motosikal lelaki terbabit dan hilang kawalan.
Menurutnya, motosikanya terbalik menyebabkannya cedera di lutut dan kaki kanan lalu dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Peragut itu tidak berhenti selepas melihat saya jatuh daripada motosikal, sebaliknya memecut laju meninggalkan tempat kejadian.
“Saya bernasib baik apabila orang ramai yang prihatin berhenti dan menghulurkan bantuan sebelum menghubungi polis.

Puteri Salbiah berkata, peragut hanya sempat melarikan sebuah daripada dua telefon bimbit miliknya. Turut diletakkan dalam bakul motosikal itu beg duit mengandungi wang tunai dan dokumen penting lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Mazlan Othman, berkata sepasukan anggota polis dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian itu.
“Mangsa cedera di kaki dan calar di badan dihantar ke hospital mendapatkan rawatan.
“Hasil semakan polis ke atas nombor plat motosikal yang digunakan suspek mendapati ia palsu dan milik sebuah kereta,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis kini melancarkan ‘Ops Rentap’ di beberapa lokasi dan taman perumahan bagi membendung kegiatan itu.

Tuesday, June 16, 2009

Diperdaya teman lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tidak menyangka teman lelakinya yang bersopan-santun sanggup menggunakan ilmu pukau untuk memperdayanya bagi mendapatkan wang mudah.

Difahamkan, wanita berusia 20-an yang juga kakitangan kerajaan yang dilamun asmara itu sanggup menyerahkan salinan kad pengenalan dan wang simpanannya lebih RM4,000 kepada lelaki terbabit kononnya bagi perbelanjaan perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, wanita itu menyedari ditipu apabila gagal menghubungi lelaki terbabit selepas memberikannya wang berkenaan sebelum membuat laporan polis, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang tinggal di Bukit Kerinchi di sini mengenali lelaki berusia 28 tahun itu yang dikatakan kacak dan budiman melalui rakannya beberapa bulan lalu.

“Mangsa yang tidak mengesyaki niat buruk lelaki itu mula ‘cair’ apabila lelaki terbabit menghubunginya dan sering menghantar SMS untuk meluahkan perasaan cinta,” katanya di sini, semalam.

Jual adik tukar dadah

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

ALOR STAR: Ketika pusara ibu masih ‘merah’, seorang lelaki durjana sanggup menjual adik kandungnya kepada pengedar dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan bahan haram itu bagi melepaskan ketagihannya.

Lelaki berusia lewat 20-an itu yang tinggal di Jalan Langgar di sini dipercayai berbuat demikian kira-kira dua minggu selepas kematian ibu mereka pada pertengahan bulan lalu, apabila berada dalam keadaan gian kronik, tetapi tidak mempunyai wang untuk membeli dadah.

Berikutan itu, lelaki terbabit mengambil jalan mudah dengan menyerahkan adik perempuannya yang berusia 20 tahun untuk menjadi pemuas nafsu ‘tokan’ atau penjual dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan dadah berharga kurang RM100.

Bagaimanapun, gadis yang ‘lurus bendul’ akibat tidak pernah bersekolah itu bernasib baik apabila menyedari niat buruk abangnya yang mahu menyerahkannya kepada lelaki tidak dikenali yang kemudian membawanya ke sebuah rumah, tetapi mengambil keputusan untuk melarikan diri.

Gadis berkenaan kini hidup merempat dengan tidur di kaki lima bangunan atau pondok yang didirikan di kawasan rekreasi di sekitar bandar raya ini, selain mengharapkan simpati orang ramai untuk mendapatkan sesuap makanan.

Sumber berkata, gadis itu dikesan tidur di kawasan rekreasi bersebelahan Sungai Kedah di sini sejak seminggu lalu sebelum ‘dijaga’ sekumpulan lelaki agak berusia yang boleh digelar pak cik bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurutnya, walaupun kumpulan lelaki itu hidup merempat dengan berteduh di kaki lima bangunan dan menjalankan pelbagai kerja termasuk menjaga parkir, namun mereka menjaga gadis berkenaan dengan baik.

“Berdasarkan perbualan dengan gadis itu, masalah utamanya sekarang ialah ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan.

“Dia mengaku ibunya warga Thailand yang meninggal dunia baru-baru ini, manakala bapanya rakyat tempatan, tetapi sudah lama meninggal dunia.

“Arwah ibunya pulang ke kampung di Thailand ketika melahirkannya dulu sebelum kembali semula ke sini, tetapi tidak pernah mendaftarkan kelahirannya menyebabkan dia tidak mempunyai dokumen pengenalan,” katanya yang enggan mendedahkan identiti atas faktor keselamatan.

Menurut sumber itu, beberapa peniaga seperti pemilik restoran sebelum ini berminat mengambil gadis berkenaan bekerja, tetapi membatalkan hasrat apabila mengetahui yang dia tidak mempunyai dokumen pengenalan.

“Mereka bimbang sekiranya premis mereka diserbu pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen, mereka akan menghadapi masalah apabila dituduh menggaji pekerja asing tanpa permit,” katanya.

Saksi berkenaan membawa wartawan Harian Metro berjumpa gadis itu yang bagaimanapun tidak mahu dirakam gambar berikutan bimbang diketahui dan membangkitkan kemarahan abangnya yang mungkin akan memburunya.

“Saya kini sebatang kara. Bagaimanapun, hidup sekarang jauh lebih baik daripada menjadi pemuas nafsu hanya untuk membolehkan abang kandung melepaskan giannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Zulkifli Ramli, ketika dihubungi berkata, berikutan gadis itu berusia di atas 18 tahun, jabatan berkenaan perlu menghantar pegawai termasuk kaunselor untuk menemuinya bagi mencari kaedah bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada mangsa

Ikat, kurung isteri tiga malam kerana cemburu

Sumber Bharian

KUANTAN: Gara-gara cemburu, seorang lelaki mengikat tangan dan kaki isteri sebelum mengurungnya dengan hanya berpakaian dalam selama tiga hari di sebuah bilik rumah mereka di Bukit Setongkol, di sini.

Mangsa yang turut cedera di seluruh badan akibat diseksa dan dipukul suaminya, diselamatkan polis kira-kira jam 5 pagi kelmarin selepas dia berjaya menghubungi talian kecemasan 999 setengah jam sebelum itu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata wanita berusia 32 tahun itu menghubungi 999 kira-kira jam 4.30 pagi selepas dapat melepaskan ikatan di kakinya tanpa disedari suami yang sedang tidur.

"Mangsa menyeret telefon bimbit suaminya ke dalam tandas di bilik utama dan mendail talian kecemasan dengan kakinya serta mengaktifkan alat pembesar suara telefon bimbit itu kerana tangannya masih terikat," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Polis pergi ke rumah berkenaan sebaik menerima panggilan itu dan menahan suami mangsa, manakala wanita berkenaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Lelaki berusia 41 tahun itu dan tidak bekerja, direman 14 hari bermula kelmarin untuk disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan berhubung kurungan salah dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

Kamaruzzaman berkata, siasatan awal mendapati mangsa diikat dan diseksa kerana bermotifkan cemburu.

Beliau berkata, suami mangsa mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan bapa saudaranya dan beberapa saudara lelaki lain sejak dua tahun lalu.

"Mangsa yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur juga mendakwa sering dipukul suaminya atas motif yang sama.

"Anak mangsa pula tidak berani melaporkan kepada polis kerana takut dipukul bapanya. Kita sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mendapatkan keterangan jiran mereka," katanya.

Pelajar cedera dibelasah waktu ke kelas tambahan

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my

MUHAMAD KHALIL ZAHER (duduk) dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - "Saya ditumbuk dan diterajang sehingga terjatuh dari motosikal dan selepas itu mereka terus membelasah saya sepuas-puasnya."

Begitulah cerita pengalaman ngeri seorang pelajar, Muhamad Khalil Zaher Mohd. Zulkuply, 17, yang patah tulang hidung dan cedera di bahagian mata serta bibir dibelasah dua orang remaja bermotosikal di Simpang Empat, Jalan Padang Tembak di sini kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang membonceng motosikal bersama rakannya untuk ke kelas tambahan di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Pengkalan Chepa di sini pada pukul 3.25 petang.

Khalil yang menuntut di tingkatan lima sekolah itu berkata, dia terkejut apabila secara tiba-tiba ditarik oleh dua remaja yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Ego.

Menurutnya, dia kemudian terjatuh dan kedua-dua suspek yang berusia belasan tahun terus membelasahnya tetapi rakannya tidak diapa-apakan.

"Mereka melarikan diri selepas kejadian itu dilihat oleh orang ramai," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.

Sunday, June 14, 2009

Pelajar dakwa dirogol kekasih

Harian Metro


KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan tingkatan satu sebuah sekolah menengah di bandar raya ini mendakwa dirogol teman lelakinya berusia 21 tahun di Kampung Tanjung Kolam di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata mangsa yang tinggal di Kampung Kolam, Kuala Ibai menerima panggilan daripada teman lelakinya itu, kira-kira jam 2.30 pagi.

Menurutnya, mangsa dibawa ke rumah suspek di Kampung Tanjung Kolam sebelum dirogol.

Belasah ibu sampai tergolek

Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Berang dimarahi kerana menjadi ‘anak ikan’ kepada pengamal seks songsang, seorang remaja berusia 13 tahun membelasah ibunya berusia 38 tahun menggunakan buku lima di rumahnya di Gombak, di sini.

Difahamkan, tindakan biadap remaja lelaki itu memukul wanita yang juga ibu tunggal disebabkan dia melarang anaknya meneruskan hubungan songsang dengan seorang lelaki berusia 20-an yang menjadi kekasihnya sejak lima tahun lalu.

Rahsia percintaan terlarang pasangan itu terbongkar apabila ibu remaja berkenaan menemui wang yang banyak dalam simpanan anaknya itu.

Perasaan pelik yang menyelubungi wanita itu terjawab apabila anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui ‘dibela’ kekasihnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, berlaku pertengkaran antara dua beranak itu apabila wanita berkenaan menegur anaknya supaya meninggalkan kerja terkutuk terbabit.

Sumber berkata, pertengkaran kira-kira 10 minit itu bertukar ganas apabila remaja terbabit hilang kawalan lalu menumbuk muka ibunya.

“Tidak berpuas hati, remaja itu menyarungkan buku lima dan menumbuk sekali lagi muka ibunya.

“Wanita terbabit terpelanting sebelum terjatuh dan terkedu kerana tidak mempercayai perbuatan anaknya itu,” katanya.

Menurut sumber, remaja itu kemudian melemparkan kata-kata kesat selain mendakwa wanita itu tidak layak menjadi ibu kandungnya kerana tidak mampu menyediakan segala yang diingini.

Difahamkan, mangsa mengarahkan anaknya yang lain meminta bantuan jiran.

Beberapa jiran datang meleraikan pergaduhan itu sebelum menahan suspek yang dikatakan seperti ‘dirasuk’.

Sumber berkata, hubungan songsang itu dipercayai sudah terjalin sejak lima tahun lalu dan bayaran lumayan diberikan kepada remaja berkenaan setiap kali melayani nafsu lelaki itu.

“Perasaan curiga mengenai perbuatan anaknya itu juga sudah lama dirasai wanita terbabit yang mendakwa pernah melihat kesan merah pada leher seperti ‘gigitan cinta’ namun mendiamkan diri kerana tiada bukti,” katanya.

Akibat dibelasah, wanita itu cedera di kepala dan difahamkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut.

Monday, June 1, 2009

Adik ragut nyawa abang

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


PONTIAN: Gara-gara berebut harta pusaka, nyawa seorang lelaki melayang di tangan adik sendiri selepas ditetak dengan parang di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nanas di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Tahir Zainal, 41, seorang peniaga buah, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian (HP) akibat parah di bahagian kiri badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Muzammil Hashim, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menetap di kampung itu pergi ke rumah pusaka arwah ibunya kira-kira 50 meter dari rumahnya dengan ditemani isteri bagi menyelesaikan isu harta pusaka dengan seorang abang.

“Mangsa dikatakan berang apabila mendapati rumah berkenaan berkunci sebelum membuka but kereta dan mengambil kuku kambing untuk memecah pintu rumah.

“Perbuatan Tahir itu dilarang seorang adik, abangnya serta isteri masing-masing yang berada di tempat kejadian, namun mangsa enggan sebelum memaki-hamun dan mencabar mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun gagal membuka pintu rumah berkenaan menyebabkan dia mengambil kapak dan cuba memecahkan pintu sambil memarahi kedua-dua mereka.

Katanya, tindakan Tahir itu menyebabkan si adik berlari ke rumah seorang abangnya berhampiran sebelum mengambil sebilah parang dan sebatang tanjak kelapa sawit.

“Suspek kemudian pergi ke arah Tahir yang ketika itu berada di bahagian tepi rumah untuk memecahkan pintu belakang. Apabila menghampirinya, mangsa menyerang adiknya itu dengan kuku kambing menyebabkan si adik menghayunkan parang dan terkena bahagian kiri badan mangsa sebelum rebah,” katanya.

Beliau berkata, beberapa anggota dari Balai Polis Pekan Nanas yang menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.50 petang bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah di luar rumah berkenaan.

Berikutan itu, anggota polis membawa mangsa ke HP untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum menahan suspek yang juga adik mangsa berusia 36 tahun.

Difahamkan, sejurus melihat mangsa rebah selepas terkena tetakan itu, suspek yang menyesal dengan kejadian itu dikatakan duduk sambil memangku badan abangnya sambil menangis.

Adik mangsa kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Penoreh getah jumpa mayat berlumuran darah

KAJANG: Seorang penoreh getah warga emas terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di dalam kebun di Dusun Nanding, Batu 9, di sini, semalam.

Bahudin Misa, 70, pemilik kebun terbabit berkata, ketika kejadian dia baru hendak memulakan kerja menoreh seperti biasa.

“Sewaktu tiba di kebun, saya menyangka lelaki yang berpakaian singlet dan berseluar pendek itu sedang tidur memandangkan keadaannya dalam keadaan terbaring jika dilihat dari jauh.

“Namun, sebaik merapati saya melihat terlalu banyak darah pada badan dan di atas tanah,” katanya yang masih terkejut sewaktu menemui mayat itu jam 8.30 pagi.

Dia yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian terbabit.

Bahudin berkata, penemuan mayat itu adalah pengalaman pertamanya sepanjang menoreh di kebun terbabit sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Sakarudin Che Mod, berkata berdasarkan kepada dokumen pengenalan diri yang ditemui di tempat kejadian, mangsa dikenali sebagai Ardi Soma Arja, 27.

“Mangsa adalah warga Indonesia dipercayai mati kurang daripada 24 jam yang lalu dan pemeriksaan ke atas mayat itu menemui kesan kelar pada leher, pipi dan badan mangsa.

“Siasatan sedang dijalankan sama ada mangsa dibunuh di tempat kejadian atau di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke sini,’’ katanya yang dihubungi semalam.

Menurut Mohd Sakaruddin, setakat ini polis tidak mengetahui motif mangsa dibunuh serta tidak menemui barangan milik mangsa di tempat kejadian melainkan pas pekerja.

Namun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang bekerja di sebuah restoran di Petaling Jaya itu dibunuh oleh rakan senegaranya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jurukimpal ditetak 4 lelaki dalam wad

MELAKA: Seorang jurukimpal yang sedang menerima rawatan akibat kemalangan jalan raya di sebuah pusat perubatan swasta di bandar ini cedera di jari kelengkeng kanan selepas ditetak oleh sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang dan buku lima, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam ketika mangsa, G Suryamoorty, 29, sedang tidur di wad tingkat 10 apabila empat lelaki terbabit mengejutkannya dan salah seorang daripadanya menumbuk dengan buku lima.

Difahamkan, kejadian itu ada kaitan dengan perselisihan faham antara mangsa dengan keluarga kenalannya pada Khamis lalu.

Sebelum itu, mangsa menerima rawatan di pusat perubatan itu selepas mengalami patah kaki kirinya apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Jumaat lalu.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa mendakwa, dia berasa amat terkejut apabila secara tiba-tiba dikejutkan daripada tidur sebelum ditumbuk di mukanya dengan buku lima oleh seorang lelaki.

Katanya, selepas ditumbuk, dua daripada lelaki itu keluar sebelum dua lagi rakannya termasuk seorang daripadanya bersenjatakan parang terus menetaknya.

“Saya cuba mengelak tetapi mata parang berkenaan terkena jari di tangan kanan dan hanya mampu menjerit kesakitan sebelum mereka terus beredar. Jururawat kemudian masuk ke bilik saya untuk melihat apa yang berlaku lalu memberi rawatan kecemasan,” katanya.

Akibat kejadian itu mangsa mendakwa dia mengalami luka dalam pada jarinya dan turut menyebabkan kecederaan saraf.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Hamdan Majid mengesahkan mengenai kejadian itu dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.