Monday, June 1, 2009

Penoreh getah jumpa mayat berlumuran darah

KAJANG: Seorang penoreh getah warga emas terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di dalam kebun di Dusun Nanding, Batu 9, di sini, semalam.

Bahudin Misa, 70, pemilik kebun terbabit berkata, ketika kejadian dia baru hendak memulakan kerja menoreh seperti biasa.

“Sewaktu tiba di kebun, saya menyangka lelaki yang berpakaian singlet dan berseluar pendek itu sedang tidur memandangkan keadaannya dalam keadaan terbaring jika dilihat dari jauh.

“Namun, sebaik merapati saya melihat terlalu banyak darah pada badan dan di atas tanah,” katanya yang masih terkejut sewaktu menemui mayat itu jam 8.30 pagi.

Dia yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian terbabit.

Bahudin berkata, penemuan mayat itu adalah pengalaman pertamanya sepanjang menoreh di kebun terbabit sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Sakarudin Che Mod, berkata berdasarkan kepada dokumen pengenalan diri yang ditemui di tempat kejadian, mangsa dikenali sebagai Ardi Soma Arja, 27.

“Mangsa adalah warga Indonesia dipercayai mati kurang daripada 24 jam yang lalu dan pemeriksaan ke atas mayat itu menemui kesan kelar pada leher, pipi dan badan mangsa.

“Siasatan sedang dijalankan sama ada mangsa dibunuh di tempat kejadian atau di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke sini,’’ katanya yang dihubungi semalam.

Menurut Mohd Sakaruddin, setakat ini polis tidak mengetahui motif mangsa dibunuh serta tidak menemui barangan milik mangsa di tempat kejadian melainkan pas pekerja.

Namun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang bekerja di sebuah restoran di Petaling Jaya itu dibunuh oleh rakan senegaranya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

0 comments: