Friday, June 19, 2009

Tidak tahan diganggu jiran pelik

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Lima sekeluarga kini tinggal dalam ketakutan sejak dua bulan lalu selepas sering diganggu seorang jiran lelakinya melalui pelbagai perbuatan pelik termasuk sengaja menyiram air ke bilik tidur serta mengetuk dinding rumah mangsa menggunakan tukul besi tanpa mengira siang dan malam.

Jiran terbabit yang dipercayai mengalami masalah jiwa bertindak luar biasa termasuk gemar memecahkan cermin tingkap rumah keluarga berkenaan selain menendang pintu belakang rumah tanpa sebab.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Leow, 30-an, mendakwa dalam kejadian serangan terbaru awal pagi semalam, jiran terbabit bertindak lebih ganas apabila sengaja mengetuk pintu besi di belakang rumahnya sekuat hati.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1 pagi, jirannya yang berusia 47 tahun itu mula mengetuk pintu belakang rumahnya menggunakan tukul besi berulang kali sehingga menyebabkan dia terkejut.

“Tidak tahan dengan gangguan itu, saya segera menghubungi polis untuk mengadu masalah dan bunyi ketukan itu turut didengar anggota polis melalui telefon.

“Selang beberapa minit kemudian, anggota kereta peronda polis sampai di hadapan rumah saya di Jalan Lang Kepala Putih, Kepong Baru, namun jiran terbabit sudah terlebih dahulu beredar dan menghentikan tindakan peliknya itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya, semalam.

Namun, menurutnya sebaik anggota polis beredar, jirannya menyambung semula perbuatan anehnya itu dengan mengetuk pula dinding rumahnya berulang kali sehingga menyebabkan dia sekeluarga tidak boleh melelapkan mata.

“Saya dan suami hanya mampu bersabar dan enggan bergaduh dengan jiran lelaki itu kerana lebih memikirkan keselamatan anak-anak.

“Bagaimanapun perbuatan gila jiran lelaki itu sampai ke kemuncak apabila dia dengan sengaja menyemburkan air menggunakan getah paip menerusi lubang di atas bilik tidur rumah saya,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit sengaja memanjat dan berdiri di atas tembok di hadapan rumah sebelum memancutkan air sehingga menyebabkan bilik tidurnya basah.

“Saya ketika itu sedang tidur bersama suami dan tiga anak kami yang berusia lima hingga sembilan tahun apabila secara tiba-tiba air mencurah masuk dan membasahi bilik tidur utama kami.

“Walaupun lubang udara itu sebelum ini ditutup dengan plastik berikutan kami memasang alat penghawa dingin, lelaki terbabit sanggup menjolok lubang berkenaan dengan kayu untuk membolehkan air paip masuk menerusinya,” katanya.

Katanya, suspek menggunakan alat penyembur air tekanan tinggi menyebabkan bilik tidurnya bertukar menjadi kolam dalam sekelip mata.

“Kejadian itu mengakibatkan tilam, bantal serta pakaian kami basah kuyup. Malah, saya terpaksa menyelamatkan tiga anak saya kerana bimbang dicederakan dalam kejadian itu,” katanya yang terpaksa membersihkan rumahnya.

Mangsa yang berpindah ke rumah teres satu tingkat berkenaan sejak Ogos tahun lalu mendakwa mula diganggu lelaki terbabit selepas mendakwa mereka sekeluarga kerap membuat bunyi bising berpunca dari alat memproses soya di rumahnya.

“Saya pernah berbincang dengan jiran terbabit dan memberitahu bahawa kerja memproses soya terbabit hanya dilakukan setiap hari antara jam 1 tengah hari hingga jam 2 petang.

“Malangnya dia tidak puas hati dengan alasan itu dan mendakwa seolah-olah telinganya kerap diganggu oleh bunyi mesin berkenaan sepanjang masa,” katanya yang berniaga makanan.

Menurutnya, pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pernah tiga kali melakukan pemeriksaan di rumahnya namun memberikan ‘lampu hijau’ selepas mendapati mesin memproses soya terbabit tidak menghasilkan gangguan bunyi serius kepada jiran dan penduduk berhampiran.

0 comments: