Friday, June 19, 2009

Tahan sakit hampir sejam

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com


AMPANG: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir sejam selepas dipercayai dilanggar lari di tepi jalan di Jalan Kolam Air Lama, dekat sini, malam kelmarin, sebelum ditemui orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, mangsa, Ahmad Radi Abdul Manan, 52, dikatakan berjalan kaki di kawasan berkenaan sebelum dia dilanggar kenderaan yang kemudian meninggalkan mangsa berseorangan.

Jurucakap polis trafik berkata, ketika ambulans tiba, mangsa masih mampu bercakap sebelum dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Ampang.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi kerana cedera parah di kepala, pinggang dan kaki,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa hanya membawa kad pekerja dan satu laporan polis berhubung kehilangan Mykadnya.

“Kad pekerja terbabit yang bertarikh pada 2007 itu menunjukkan mangsa pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Selain itu, laporan polis yang ditemui bersama mangsa menunjukkan alamat terakhirnya di Selayang Baru, Gombak,” katanya.

Menurut jurucakap itu, polis sudah berkunjung ke rumah mangsa berdasarkan alamat diperolehi namun mendapati tiada sesiapa berada di rumah itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ampang di talian 03-42932763 bagi membantu siasatan.

Selain itu, keluarga atau sesiapa yang mengenali mangsa diminta menuntut mayatnya di Hospital Ampang

0 comments: