Tuesday, June 30, 2009

Jaga dibelasah penduduk

Sumber Harian Metro

GOMBAK: Niat murni penjaga keselamatan mengawasi kawasan perumahan di Flet Sri Gotong di sini, bertukar tragedi apabila dia dibelasah seorang penduduk di kawasan berkenaan, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Vimmal Sekaran, 25, mendakwa ditumbuk lebih lima kali pada muka oleh seorang lelaki berusia 40-an selepas masalah penukaran pelekat kenderaan baru penghuni di kawasan itu tercetus.

“Sebaik turun dari kenderaan, dia terus menuju ke arah saya sebelum memukul berulang kali. Saya bernasib baik kerana diselamatkan beberapa rakan setugas lain.

“Lelaki itu bagaimanapun masih tidak berpuas hati. Dia berlari ke arah keretanya sebelum mengeluarkan sebatang rotan kira-kira satu meter untuk memukul saya.


“Dia bagaikan dirasuk hantu mengamuk tanpa sebarang sebab,” katanya

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan mengenai dakwaan seorang lelaki dilontar botol arak oleh pengawal keselamatan yang enggan membenarkan dia memasuki kawasan rumahnya di Pangsapuri Sri Gotong.

Dia mendakwa hampir dibelasah sekumpulan 20 samseng yang ‘mengawal’ kawasan itu yang juga rakan kepada tiga pengawal keselamatan bertugas menjaga kawasan pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Keselamatan Flet Sri Gotong, Faisal Kamal Afendi, berkata dakwaan pihaknya melakukan kekasaran selain mengupah 20 pengawal menjaga kawasan kediaman itu tidak berasas.

“Kita tidak tahu apa motif penduduk terbabit membuat kenyataan seumpama itu. Malah, dakwaannya pihak keselamatan tidak membenarkan penduduk masuk ke kawasan itu juga mengarut.

“Kita hanya melarang kenderaan tanpa pelekat memasuki kawasan kediaman ini,” katanya.

0 comments: