Friday, June 19, 2009

Malang lepas enam tahun

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Jika enam tahun lalu semua jarinya dipatahkan selain telapak tangan kirinya ditoreh menggunakan sebilah pisau oleh abang ipar dan arwah bapa mentuanya, nasib malang terus menimpa seorang pemandu teksi apabila cedera parah dibelasah tiga ‘samseng’ di Subang Bestari, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa dibelasah menggunakan besi penukar tayar oleh tiga lelaki diketuai bekas abang iparnya atas alasan cuba menghampiri kawasan perumahan didiami bekas isterinya itu

Mangsa, Abdul Karim Kutti Ali, 40, mendakwa pergi ke kawasan berkenaan secara kebetulan kerana menghantar seorang pelanggan yang menaiki teksinya.

Dia yang tidak menyedari kelibatnya diperhatikan bekas isterinya itu bagaimanapun tersentak apabila dihalang tiga kereta secara tiba-tiba sebaik menurunkan pelanggannya itu.

Menurut Abdul Karim, dia yang kebingungan tiba-tiba dihampiri tiga lelaki termasuk bekas abang iparnya lengkap memegang besi penukar tayar.

“Mereka paksa saya turun daripada kenderaan dan mengugut akan memecahkan cermin teksi itu sekiranya tidak berbuat demikian.

“Saya yang ketakutan mematuhi arahan berkenaan sebelum berlaku pertengkaran lebih 15 minit. Selepas itu, saya dipukul menggunakan besi penukar tayar itu oleh kumpulan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Abdul Karim, kumpulan terbabit berulang kali mendakwa akan membunuhnya atas alasan cuba mengganggu bekas isterinya itu.

“Saya cuba beri penjelasan namun tidak dihiraukan kumpulan terbabit terutamanya bekas abang ipar saya itu.

“Mereka membelasah saya seperti seorang penjenayah yang bersalah. Mana tidaknya, saya ditendang, dipijak sebaik terjatuh selain dihentak berulang kali di seluruh tubuh menggunakan besi penukar tayar itu,” katanya.

Abdul Karim berkata, kemuncaknya kumpulan terbabit memukul kepalanya menyebabkan dia hampir pitam kerana kehilangan darah yang banyak.

“Saya bernasib baik kerana kumpulan itu dihalang sekumpulan pemuda yang sedang bermain bola sepak berhampiran kawasan berkenaan.

“Seorang daripada remaja terbabit kemudiannya membawa saya ke balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya, ini bukanlah kejadian pertama dia dibelasah abang iparnya itu, enam tahun lalu Abdul Karim mendakwa semua jarinya dipatahkan dan telapak tangannya ditoreh menggunakan pisau hanya disebabkan perselisihan faham kecil yang berlaku antara dia dan bekas isterinya itu.

0 comments: