Monday, June 1, 2009

Jurukimpal ditetak 4 lelaki dalam wad

MELAKA: Seorang jurukimpal yang sedang menerima rawatan akibat kemalangan jalan raya di sebuah pusat perubatan swasta di bandar ini cedera di jari kelengkeng kanan selepas ditetak oleh sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang dan buku lima, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam ketika mangsa, G Suryamoorty, 29, sedang tidur di wad tingkat 10 apabila empat lelaki terbabit mengejutkannya dan salah seorang daripadanya menumbuk dengan buku lima.

Difahamkan, kejadian itu ada kaitan dengan perselisihan faham antara mangsa dengan keluarga kenalannya pada Khamis lalu.

Sebelum itu, mangsa menerima rawatan di pusat perubatan itu selepas mengalami patah kaki kirinya apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Jumaat lalu.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa mendakwa, dia berasa amat terkejut apabila secara tiba-tiba dikejutkan daripada tidur sebelum ditumbuk di mukanya dengan buku lima oleh seorang lelaki.

Katanya, selepas ditumbuk, dua daripada lelaki itu keluar sebelum dua lagi rakannya termasuk seorang daripadanya bersenjatakan parang terus menetaknya.

“Saya cuba mengelak tetapi mata parang berkenaan terkena jari di tangan kanan dan hanya mampu menjerit kesakitan sebelum mereka terus beredar. Jururawat kemudian masuk ke bilik saya untuk melihat apa yang berlaku lalu memberi rawatan kecemasan,” katanya.

Akibat kejadian itu mangsa mendakwa dia mengalami luka dalam pada jarinya dan turut menyebabkan kecederaan saraf.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Hamdan Majid mengesahkan mengenai kejadian itu dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

0 comments: