Sunday, May 31, 2009

Pengedar gas dikelar penyamun

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my


KUANTAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) cedera parah selepas dikelar oleh seorang penyamun di Taman Pelindung Jaya dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang, Abd. Rahman Ismail, 57, yang mengalami masalah ukuran tulang kaki tidak sekata cedera teruk di leher, tangan dan beberapa bahagian badan lain akibat dikelar seorang suspek dengan senjata tajam dipercayai pisau.

Seorang saudaranya, Abd. Rani Abdullah, 62, berkata, beliau tidak sangka mangsa yang cacat akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu menjadi sasaran penyamun.

“Mangsa dikenali sebagai seorang yang sangat baik, selalu menolong orang lain dan rajin bekerja.

“Tetapi dia bernasib malang kerana bukan saja kena samun tetapi dicederakan dengan teruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.

Menurut beliau, kejadian menimpa Rahman hanya diketahui olehnya pada pukul 5 petang kelmarin selepas dimaklumkan oleh isteri mangsa.

“Akibat kecederaan dialami di leher selebar 11 sentimeter, Rahman perlu dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan,” ujarnya yang memberitahu keadaan Rahman kini semakin stabil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, sebelum kejadian mangsa memandu lori seorang diri untuk menghantar gas memasak ke beberapa buah rumah di sekitar kawasan Pelindung.

0 comments: