Sunday, May 17, 2009

Dibelasah hilang duit

Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my


TAMPIN: Gara-gara kehilangan duit, seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah berasrama dekat sini, mendakwa dibelasah sekumpulan pelajar lain hingga lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.50 petang 9 Mei lalu, bagaimanapun laporan polis hanya dibuat kelmarin selepas pelajar lelaki itu memaklumkan perkara sebenar apabila disoal keluarga ketika pulang ke rumah.

Pelajar berusia 16 tahun yang enggan dikenali itu, berkata sebelum kejadian dia berada di dalam bilik apabila didatangi seorang pelajar senior bertanya kehilangan duit milik pelajar lain yang disimpan dalam almarinya.

Menurutnya, seorang pelajar sebelum itu menyimpan sejumlah wang dalam almarinya kerana bimbang berikutan terdapat beberapa kejadian almari dipecahkan hingga menyebabkan kehilangan barang berharga termasuk wang.

Katanya, ketika disoal pelajar senior terbabit, tiba-tiba muncul empat pelajar lain termasuk rakan sebayanya dan terus menendang serta memukulnya bertalu-talu.

“Saya tidak tahu bagaimana wang berkenaan boleh hilang kerana almari saya turut dipecahkan tetapi mereka terus membelasah saya tanpa belas kesian.

“Dalam kesakitan akibat bengkak dan lebam itu, saya hanya mampu mendiamkan diri kerana kumpulan pelajar terbabit turut mengugut supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa termasuk warden asrama, pengetua mahupun ibu bapa.

“Berikutan itu, saya tidak berani memberitahu sesiapa walaupun rakan sendiri dan hanya menahan kesakitan kerana tiada pelajar lain ketika kejadian disebabkan mereka ada aktiviti sukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Gunung Essam, di sini, semalam.

Pelajar itu berkata, kejadian yang menimpa dirinya akhirnya diketahui keluarga apabila ibunya yang datang mengambilnya di asrama cuti hujung minggu ternampak kesan lebam pada tangan kirinya.

“Sebaik tiba di rumah, saya berasa keberatan untuk menceritakan apa yang berlaku tetapi apabila disoal ibu,saya terpaksa memberitahu perkara sebenar,” katanya.

Ibu mangsa, Nora Saad, 39, ketika ditemui berkata, apabila mengetahui kejadian sebenar, dia membawa anaknya ke Hospital Tampin kira-kira jam 10 pagi kelmarin untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Tampin bagi tindakan lanjut.

“Saya menyedari ada sesuatu berlaku terhadap anak saya apabila ternampak kesan bengkak dan lebam di lengan kirinya sebaik menjemputnya pulang ke rumah petang Jumaat lalu.

“Berikutan itu, saya bertanya apa yang berlaku tetapi anak saya enggan menceritakan, namun selepas dipujuk, baru saya mengetahui kejadian menyebabkan badan anak saya bengkak dan lebam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Setakat ini, polis masih belum membuat sebarang tangkapan,” katanya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Datuk Abdullah Ahmad ketika dihubungi, berkata pihaknya juga belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

“Bagaimanapun, saya akan mengarahkan Pegawai Pelajaran Daerah menjalankan siasatan serta menyediakan laporan lengkap secepat mungkin mengenal pasti punca sebenar kejadian itu,” katanya

0 comments: