Wednesday, May 13, 2009

2 pemandu teksi samun 28 penumpang dicekup

Sumber Harian Metro


KUALA LUMPUR: Selepas lebih lima bulan bermaharajalela, satu geng samun didalangi pemandu teksi durjana yang bertindak memukul sebelum menyamun penumpang mereka lumpuh dengan tertangkapnya dua ahli kumpulan itu di sekitar ibu negara, baru-baru ini.

Kumpulan penjenayah yang dianggotai empat lelaki dan seorang wanita itu dikatakan beroperasi pada awal pagi terutama di Hentian Puduraya dan mensasarkan penumpang warga asing sebagai mangsa utama mereka.

Sejurus sasaran dikenal pasti, pemandu teksi berkenaan akan berhenti mengambil seorang rakan mereka di kawasan berhampiran sebelum mencari lokasi tertentu untuk melakukan kegiatan jahat mereka.

Mereka akan memukul mangsa tanpa belas kasihan sebelum merampas wang dan barang berharga.

Kegiatan licik kumpulan itu bagaimanapun terbongkar apabila polis menahan dua lelaki tempatan berusia 20-an dan 52 tahun di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata siasatan pihaknya mendapati kedua-dua mereka mengaku melakukan 28 kes samun terutama membabitkan warga Bangladesh sejak awal tahun ini.

“Bagaimanapun, sehingga kini, kita (polis) hanya menerima dua laporan polis yang dibuat warga Nepal berhubung kes terbabit dan kejadian berlaku pada awal pagi.

“Berikutan itu, kita meminta mangsa dan pemandu teksi yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya, semalam.

Menurut Ku, pihaknya turut merampas dua teksi bernombor plat HB 6571 dan HWC 4394 untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis sedang memburu tiga lagi ahli kumpulan terbabit termasuk seorang wanita berusia 20-an yang masih bebas untuk membantu siasatan.

0 comments: