Wednesday, May 6, 2009

Perompak jatuh hati

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Salman Hamat dan Shanty Nur Shaffizan Shafee
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pembantu penerbit dan penyampai berita TV3, Gina Woon, 27, nyaris menjadi mangsa culik empat lelaki bersenjatakan parang yang dipercayai ‘jatuh hati’ dengan kejelitaannya sejurus merompak mangsa yang ketika itu berehat dalam kenderaannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin, Gina mendakwa ditarik lelaki terbabit yang cuba memaksanya masuk ke dalam kereta mereka.

Dia bagaimanapun dilepaskan apabila rayuannya mendapat simpati penjenayah terbabit.

Dalam kejadian itu, kata Gina, dia yang baru selesai bertugas menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu sepupu lelakinya yang berusia awal 20-an.

Sebaik melalui Jalan Klang Lama berhampiran Taman OUG, sepupunya memberhentikan kenderaan bagi menunggu seorang lagi saudara yang mengekori mereka dengan kereta dari belakang.


“Kerana kepenatan saya berbaring di belakang tempat duduk manakala sepupu keluar menghisap rokok sambil bersandar pada kereta sementara menunggu saudara kami tiba.

“Selang beberapa minit tiba-tiba muncul sebuah Proton Iswara warna gelap berhenti tidak jauh dari kenderaan kami. Tiga lelaki dalam kereta itu keluar lalu terus menerpa ke arah sepupu saya sambil mengacukan parang,” katanya yang kerap menyampaikan berita Buletin Pagi.

Dia berkata, sepupunya yang ketakutan menyerahkan duit sambil merayu mereka tidak bertindak ganas atau mencederakannya.

Gina pula hanya menyedari kehadiran penjenayah terbabit selepas mereka membuka pintu belakang kenderaan dan terus merampas beg tangannya.

“Saya yang terkejut dengan tindakan kasar lelaki terbabit hanya mampu terdiam dan berdoa agar saya tidak dicederakan atau diperlakukan sesuatu selepas melihat renungan tajam tepat penjenayah itu memandang saya.

“Mereka dengan kasar menarik saya keluar dan memaksa menaiki Proton Iswara itu. Ketika itu, saya hanya mampu menjerit dan merayu tidak diperlakukan sedemikian,” katanya.

Sepupu mangsa yang melihatnya diseret masuk ke dalam turut merayu kepada penjenayah terbabit dengan meminta mereka tidak berkasar dengannya.

“Saya bernasib baik apabila penjenayah itu melepaskan saya dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran sebuah kereta ke arah kami.

“Ketika itu saya bergelut untuk melawan, tetapi kemunculan kereta berkenaan menyelamatkan saya daripada diculik penjenayah terbabit,” katanya.

Mangsa yang mengalami trauma akibat kejadian berkenaan membuat laporan di Balai Polis Petaling di sini dan terpaksa mengambil cuti kecemasan.

Penjenayah melarikan telefon bimbit dan wang tunai mangsa hampir RM3,000.

Turut dilarikan Mykad, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan pelbagai dokumen penting lain.

Beberapa jam selepas kejadian itu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tun Razak yang memaklumkan penemuan beg tangannya dalam semak berhampiran.

Penjenayah dipercayai mengambil semua barang berharga milik mangsa sebelum membuang beg tangannya yang mengandungi kad nama dan Mykad.

0 comments: