Saturday, May 30, 2009

Tikam rakan dedah rahsia ponteng kerja

Harian Metro


AMPANG: Dendam kerana rahsianya kerap ponteng kerja didedah kepada majikan, seorang lelaki sanggup menikam rakannya hingga mati di Pandan Indah, kelmarin.

Perbuatan kejam itu dilakukan di hadapan isteri mangsa ketika suspek berkunjung ke rumah mereka kira-kira jam 7 pagi, kononnya mahu berbincang mengenai masalah kerja.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata suspek berusia 39 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati dia dibuang kerja dan mengetahui semua itu angkara mangsa menceritakan kepada majikan.

“Mereka berdua bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat kontraktor yang sama. Bagaimanapun, suspek tidak berpuas hati apabila mengetahui dia dibuang kerja kerana rakannya mendedahkan rahsia dia tidak pandai membuat kerja dan sering ponteng.

“Suspek berkunjung ke rumah mangsa dan memanggil rakannya itu keluar untuk berbincang,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa keluar sambil ditemani isterinya sebelum suspek bertanya mangsa tindakan memburukkan namanya kepada majikan.

“Mangsa cuba menjelaskan perkara sebenar sebelum suspek dikatakan berang dan tidak dapat menerima alasan diberikan mangsa.

“Suspek yang tidak dapat mengawal diri itu menikam mangsa hingga mati di depan isterinya sebelum melarikan diri dan mengambil telefon bimbit mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di Kajang kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

Telefon bimbit mangsa turut dijumpai.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai dokumen sah. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

0 comments: