Monday, May 25, 2009

Lelaki Vietnam mati dibunuh

Haian Metro

KUALA LUMPUR: Kelibat beberapa individu yang dilihat bergegas keluar dari sebuah rumah di Batu 4, Jalan Gombak, dekat sini, membongkar penemuan mayat seorang lelaki warga Vietnam dipercayai mati dibunuh di rumah berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, pemilik rumah berkenaan sebelum itu dikatakan menerima panggilan daripada pekerja bengkel berdekatan memaklumkan terlihat tingkah laku kumpulan lelaki terbabit yang agak mencurigakan.

Pemilik rumah itu bergegas untuk memeriksa keadaan dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terperosok di satu sudut dalam rumah terbabit dengan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu berusia lewat 20-an dan bekerja sebagai buruh binaan di kawasan berhampiran.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa yang menyewa sejak lapan bulan lalu itu dipercayai mati akibat cedera parah di dahi dipercayai dipukul menggunakan objek keras.
“Kami turut tidak menolak kemungkinan kejadian dipercayai berpunca akibat pergaduhan antara warga Vietnam atau rakan penyewa rumah mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Zakaria, pihaknya bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata di sekitar lokasi kejadian dan sedang memburu beberapa rakan mangsa yang melarikan diri untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

0 comments: