Friday, May 8, 2009

Nekad gesel motosikal

Sumber Harian Metro


JOHOR BAHRU: Pengalaman menjadi mangsa samun bersenjata di depan pejabat syarikat pengangkutan milik keluarga mengakibatkan kerugian RM14,000 di Pasir Gudang, dekat sini, tiga tahun lalu menyebabkan dua beradik, Mohd Hasni Hassan, 27, dan kakaknya, Siti Roslina, 34, bencikan penjenayah.

Tidak hairanlah, Mohd Hasni yang bertugas sebagai penyelia di syarikat itu, sanggup menggeselkan kereta Honda Civic dipandunya dengan motosikal dinaiki dua lelaki yang meragut seorang pelajar perempuan, Sheron Tan, 15, di Jalan Api-Api, Taman Megah Ria di sini, petang kelmarin.

“Ketika saya dan kakak dalam perjalanan balik ke rumah di Taman Megah Ria dari pejabat di Pasir Gudang, kami nampak tarik-menarik antara pelajar sekolah itu dengan seorang lelaki menyebabkan kami mengesyaki kejadian ragut.

“Saya terus memandu kereta memasuki simpang untuk membantu dan kakak beberapa kali bertanya sama ada saya nekad melanggar motosikal peragut itu atau sebaliknya dan saya menyatakan tidak kisah sekiranya kereta rosak, asalkan penjenayah diberkas.

“Saya terus menggesel motosikal dinaiki dua suspek itu menyebabkan mereka terjatuh dan hasil bantuan orang ramai, penunggang motosikal itu ditahan manakala pembonceng sempat melarikan diri,” katanya yang melawat Sheron di rumahnya, petang semalam.

0 comments: