Friday, May 8, 2009

Lelaki beri salam sebelum samun

Sumbedr Hatian Metro


KUALA LUMPUR: Seorang penyamun lelaki yang menyamar pelanggan sebuah stokis menjual alat kosmetik di Taman Maluri, Cheras, di sini sempat memberikan salam kepada mangsanya sebelum menyamun mereka.

Malah, lelaki berusia 20-an yang memakai topi keledar itu juga mengacukan pistol ke arah mangsa dan mengugut akan melepaskan tembakan sekiranya enggan mengikut arahannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang kelmarin, suspek dikatakan terus ke kaunter premis terbabit dan berjumpa dengan pekerja wanita di situ kononnya mahu membeli alat kosmetik.

Bagaimanapun, pekerja itu terkejut apabila lelaki terbabit yang disangka pelanggan, sebaliknya adalah penyamun selepas suspek mengeluarkan pistol mengugut mahu membunuhnya jika tidak menyerahkan wang tunai.

Menurut pemilik kedai yang enggan dikenali berusia 50-an, ketika kejadian, dia bersama seorang pekerjanya berada di kaunter premisnya.

Sebelum itu, suami dan dua pekerjanya yang lain berada di premis itu tetapi semuanya keluar sebelum kehadiran lelaki terbabit.

Mangsa berkata, ketika itu tiba-tiba datang seorang lelaki memakai topi keledar bersikap sopan apabila memberi salam kepada mereka.

“Ketika itu, saya langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana perwatakan lelaki terbabit yang bersopan, namun terkejut apabila lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol berwarna hitam sebelum mengacukan ke arah pekerja saya,” katanya kepada Harian Metro semalam.

Dalam keadaan cemas itu, pekerja wanita itu terpaksa mengikut arahan lelaki berkenaan menyerahkan semua wang disimpan dalam laci. berkenaan selepas suspek mengugut akan menembak mereka jika ingkar dengan arahan diberikan.

“Selepas merampas wang tunai itu, suspek kemudian melarikan diri dengan membonceng motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna merah dan hitam ditunggang rakannya yang menunggu di luar premis.

Mangsa yang trauma akibat kejadian itu mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM1,800 dan membuat laporan polis.

0 comments: