Tuesday, May 5, 2009

Tujuh disamun dalam lif

Haian Metro

KUALA LUMPUR: Sikap segelintir penduduk Flet Setapak Indah Jaya, Setapak yang enggan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku menyebabkan masalah itu tidak dapat diselesaikan.

Akibatnya kejadian samun, pecah rumah, ragut atau kecurian semakin menjadi-jadi di kawasan itu dan lebih membimbangkan apabila penjenayah bertindak berani dengan menjadikan lif sebagai kawasan untuk mencari mangsa.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flet Setapak Indah Jaya, Vincent Fo Sau Boon, berkata kejadian jenayah yang berlaku sejak beberapa tahun ini semakin membimbangkan terutama kejadian ragut dan samun.

“Sebelum ini, kawasan kediaman kami menjadi laluan singkat penduduk sekitar untuk ke jalan utama dan kerana itu pelbagai kenderaan keluar masuk kawasan ini menjadikan peragut turut tertumpu di sini,” katanya selepas majlis gotong-royong yang dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look.


Menurutnya, kerana tidak tahan dengan keadaan itu, penduduk membina pagar bagi menghalang laluan itu terus digunakan sebagai jalan pintas.


“Awal tahun ini, kami sepakat membina pagar dan penduduk semakin lega kerana selepas itu kejadian ragut semakin berkurangan,” katanya.

Namun, Vincent berkata, kelegaan itu hanya sementara kerana memandangkan flet berkenaan setinggi 12 tingkat, maka penjenayah menggunakan lif sebagai tempat ‘mencari rezeki’.

“Kejadian samun semakin menjadi-jadi dan mereka menggunakan lif untuk mencari mangsa. Apa yang lebih menakutkan apabila mereka bertindak mencederakan mangsa yang enggan bekerjasama,” katanya.

Menurutnya, sepanjang bulan lalu, tujuh kes seumpama itu berlaku dan seorang wanita cedera pada tangannya kerana ditetak penjenayah.

“Walaupun kejadian itu serius, namun segelintir mangsa tidak mahu melaporkan apa yang berlaku kepada pihak berkuasa kerana menganggap barangan diambil itu tidak dapat dikembalikan.

“Mereka juga mendakwa bahawa pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa kerana penjenayah sudah melarikan diri ketika laporan dibuat,” katanya.

0 comments: