Thursday, May 14, 2009

Isteri bunuh suami digantung

Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my

SHAMIM ketika dibawa keluar dari
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah yang merupakan ibu kepada empat orang anak dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah disabitkan bersalah membunuh dan menanam suaminya di belakang rumah mereka, lima tahun lalu.

Shamim Bano Mohammed Farooque, 41, yang pada mulanya tenang akhirnya tidak dapat menahan perasaan lalu menangis sejurus selesai prosiding apabila tiada anak dan saudara-mara datang menemuinya semalam.

Turut dijatuhkan hukuman serupa ialah Javeed Akhtar Abdul Waheed, 39, sepupu Shamim yang dituduh bersubahat menyebabkan kematian Reyaz Ahamed Maruf, 39.

Ketika membacakan penghakimannya, Datuk Zaharah Ibrahim berkata, mahkamah berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes yang dipinda terhadap tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan melampaui keraguan munasabah.

Shamim hanya menganggukkan kepala apabila ditanya Zaharah sama ada faham hukuman manakala seorang jurubahasa terpaksa menerangkan kepada Javeed.

Kedua-dua mereka yang berasal dari India diperintah membela diri pada 21 November 2008 atas tuduhan menyebabkan kematian Reyaz di rumahnya di No. 20, Jalan 4/12G, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi dekat sini antara pukul 10 malam, 7 November 2004 dan 3 pagi, 8 November 2004.

Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Reyaz ialah pemilik bersama sebuah syarikat Cyplass Engineering Sdn. Bhd. iaitu sebuah kilang kitar semula di Semenyih manakala Javeed ialah pekerja kilang tersebut.

Mayat Reyaz ditemui tertanam di belakang rumahnya setelah kehilangannya dilaporkan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat sesak nafas dan terdapat kesan jerutan pada lehernya

0 comments: