Sunday, May 17, 2009

Bapa terkilan anak dipukul diminta tukar sekolah

Sumber Haian Metro

BUTTERWORTH: “Saya terkilan kerana anak saya yang menjadi mangsa belasahan sekumpulan pelajar diminta bertukar sekolah,” dakwa peniaga, Johari Abdul Hamid, 42, berhubung kejadian anaknya, Muhamad Ashraf, 15, yang dipukul sekumpulan pelajar samseng.

Johari dari Bagan Ajam, dekat sini mendakwa, anaknya yang belajar di sebuah sekolah menengah di pekan ini dibelasah sekumpulan pelajar pada 23 April lalu ketika berada di sebuah kedai selepas tamat waktu persekolahan kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Katanya, akibat kejadian itu, anaknya cedera di kepala dan terpaksa dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Ujian imbasan mendapati ada kesan lekuk di belakang kepalanya. Akibat kejadian itu, anak saya kini trauma untuk ke sekolah,” katanya di sini, semalam.

Johari mendakwa, dia terkilan kerana walaupun kejadian itu hampir sebulan berlalu, namun tiada tindakan diambil pihak sekolah ke atas kumpulan pelajar berkenaan sebaliknya anaknya pula diminta bertukar sekolah.

“Hampir sebulan anak saya tidak ke sekolah selepas kejadian itu dan kini menunggu urusan pertukaran sekolah selesai.

“Selain itu, keadaan kesihatannya juga sering terjejas selepas kejadian itu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Teluk Air Tawar sehari selepas kejadian.

Sementara itu, Muhamad Ashraf mendakwa, dia sendiri tidak tahu punca kumpulan pelajar berkenaan memukul dan menendangnya ketika pulang dari sekolah.

“Saya berada di sebuah kedai dan tiba-tiba sekumpulan pelajar muncul lalu memukul dan menendang saya. Saya tidak mampu melawan kerana mereka ramai sebelum beredar beberapa minit kemudian,” katanya.

0 comments: