Thursday, May 28, 2009

>Diletak bawah JKM selama sebulan

Harain Metro

PETALING JAYA: Mahkamah Kanak-Kanak semalam memberikan hak penjagaan interim selama sebulan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjaga seorang kanak-kanak yang berumur lima tahun yang dipercayai didera oleh ibunya yang berumur 37 tahun.

Majistret Nur Syafawati Arifin membenarkan hak itu selepas dua pegawai dari jabatan berkenaan yang bertindak sebagai pelindung kanak-kanak itu mengemukakan permohonan mereka pagi ini.

Kanak-kanak itu bersama ibunya yang bekerja sebagai guru piano hadir di mahkamah, semalam untuk prosiding kes dan wakil media tidak dibenarkan berada di dalam bilik mahkamah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut berada di mahkamah untuk menemui ibu kanak-kanak itu ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah membenarkan wanita berkenaan melawat anaknya sepanjang tempoh penjagaan itu tanpa mengenakan sebarang syarat

“Dia (ibu kanak-kanak itu) masih terkejut mendapat tahu anaknya akan diambil daripadanya, dan saya berasa amat terharu selepas berbual dengannya, saya dapati dia adalah seorang ibu yang penyayang.

“Sungguh menyayat hati apabila saya mendengar sendiri daripada wanita itu yang mengatakan dia amat menyayangi anaknya dan saya dapat perhatikan budak itu sendiri sangat sayangkan ibunya,” jelas Shahrizat. — Bernama

0 comments: