Saturday, May 2, 2009

Gadis pergi kerja dirogol

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang gadis yang merancang mahu menghantar notis berhenti kerja sebaliknya melalui detik dua jam mengerikan apabila diculik seorang lelaki bersenjatakan pistol sebelum dijadikan habuan nafsu di dalam ladang getah.

Mangsa yang berusia 26 tahun tidak sekadar diperkosa, malah didera dengan dicucuh puntung rokok selain diugut gambar bogelnya akan dirakam menggunakan video sebelum disebarkan sekiranya menjerit meminta tolong.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin, mangsa yang berasal dari Kapar, baru turun dari bas dinaiki di Batu 5, Kapar, Klang.

Menurutnya, mangsa berjalan ke tempat kerjanya di kilang berhampiran untuk menghantar notis berhenti kerja.

“Bagaimanapun, seorang lelaki yang menunggang motosikal Kriss merah menghampirinya sebelum berhenti tidak jauh dari mangsa berjalan.

“Lelaki terbabit mempelawa mangsa supaya membonceng motosikalnya dengan alasan ingin menghantar mangsa menuju kilang berkenaan, ”katanya.

Menurutnya, mangsa yang menolak pelawaan itu bagaimanapun terkejut apabila lelaki terbabit mengeluarkan sepucuk pistol dari poket seluarnya sebelum mengacukannya kepada mangsa.

“Suspek mengugut akan menembak mangsa sekiranya mangsa enggan menaiki motosikal berkenaan. Mangsa yang ketakutan dibawa menaiki motosikal itu selama hampir dua jam sebelum sampai ke kawasan kebun getah di Puchong di sini.

“Sebaik sampai ke kawasan sunyi itu, mangsa diarah turun sebelum diugut berulang kali akan membunuh mangsa sekiranya mangsa menjerit meminta tolong. Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya membuka semua pakaiannya.

“Mangsa yang ketakutan kemudian akur terhadap arahan suspek sebelum dia dibaringkan suspek di atas tanah,” katanya.

Menurutnya, suspek memukul dan menampar muka mangsa terlebih dahulu sebelum memperkosanya.

“Selepas selesai merogol mangsa, suspek memberi amaran supaya mangsa jangan menjerit atau gambarnya dalam keadaan bogel akan dirakamkan.

“Tidak cukup dengan itu, suspek mencucuh puntung rokok yang menyala ke arah bahu mangsa. Mangsa yang kesakitan kemudian memakai pakaiannya walaupun suspek mengugut mahu membakar pakaiannya itu,” katanya.

Katanya, mangsa yang selesai memakai pakaian melarikan diri dari lokasi kejadian.

Tindakan berani mangsa menyebabkan suspek cuba mengejar, tetapi gagal.

“Difahamkan, selain merogol mangsa, suspek merampas sepasang anting-anting emas dan telefon bimbit milik mangsa. Mangsa yang terselamat membuat laporan di Balai Polis Putra Perdana.

“Susulan kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Serdang bagi tujuan pemeriksaan lanjut. Polis kini sedang melakukan operasi bagi mengesan penjenayah itu,” katanya

Modus operandi rogol menggunakan pistol terbabit pernah dilaporkan berlaku 20 April lalu apabila seorang penuntut sebuah kolej swasta di Sunway, Subang Jaya, diculik dua lelaki yang mengugutnya dengan pistol.

Mangsa yang berusia 18 tahun dilarikan ke sebuah rumah kedai di Kinrara, Puchong, sebelum diperkosa dan dirompak wang miliknya berjumlah lebih RM1,000.

0 comments: