Saturday, May 2, 2009

Drebar cekik darah ambil telefon wanita




KUALA LUMPUR: Bukan hanya dikenakan tambang mencekik darah untuk perjalanan kurang 10 kilometer, seorang pegawai khidmat pelanggan turut berputih mata apabila telefon bimbitnya dilarikan pemandu teksi sama.

Difahamkan, ketika kejadian, wanita berusia 24 tahun itu kekurangan wang untuk membayar tambang iaitu RM96 menyebabkan dia terpaksa menjadikan telefon terbabit sebagai cagaran sementara menunggu rakannya membawa wang bayaran.

Bagaimanapun, pemandu terbabit melarikan diri bersama telefon bimbit berkenaan sebelum rakan mangsa sampai untuk memberinya wang.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, Isnin lalu, mangsa yang bersendirian menahan teksi terbabit di Stesen Monorel KL Sentral untuk pulang ke rumahnya di Taman Desa di sini.

“Sebaik tiba, mangsa terkejut apabila pemandu terbabit meminta bayaran RM96 sedangkan jarak perjalanan kurang 10 kilometer,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang kebingungan hanya mendiamkan diri sebelum menghubungi rakannya.

Mangsa meminta pemandu teksi itu menunggu sebentar sementara rakannya tiba, namun lelaki terbabit sebaliknya memarahinya.

“Pemandu teksi itu mendakwa kononnya mangsa akan terus melepaskan diri tanpa membayar tambang ketika berjumpa rakan selain meminta mangsa meninggalkan telefon bimbitnya sebagai cagaran.

“Mangsa yang tidak mencurigai apa-apa mengikut kata pemandu teksi itu dengan meninggalkan telefon bimbitnya,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa yang berjumpa rakannya terkejut selepas melihat teksi itu tiada.

Mangsa yang tertipu kemudian membuat laporan polis.

0 comments: