Wednesday, May 13, 2009

‘Ambillah apa saja harta’

Oleh Saipul Adli Mohamad dan Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: “Saya hanya fikirkan keselamatan anak saya...apa yang ada saya bagi dan apa yang tiada saya beritahu tidak ada kepada mereka (perompak),” kata Huzaimah Yahya, 33, isteri Setiausaha Politik kepada Menteri Pelajaran, Syahrin Md Jamaluddin, yang menjadi mangsa kumpulan lima perompak yang kemudian ditembak mati.

Huzaimah hanya mampu berdoa dalam hati supaya dia dan anaknya tidak diapa-apakan, malah dia reda jika penjenayah terbabit menyapu bersih seluruh harta bendanya.

Dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sinaran Baru, Kempas, pagi semalam, perompak warga Indonesia terbabit sempat menjamu selera dengan memakan nasi, coklat dan minum air kacip fatimah dari peti sejuk selepas menggeledah barangan kira-kira sejam.

Menceritakan pengalaman menakutkan itu, Huzaimah berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, Syahrin ada tugasan di Putrajaya dan yang tinggal hanya dia bersama tiga anak berusia lapan, enam dan tiga tahun.

Dia dan tiga anaknya tidur di ruang tamu rumah sebelum terjaga dan ternampak kelibat seorang lelaki di dapur rumahnya.

Serentak itu, dia keliru seketika kerana menyangkakan suaminya pulang mengejut, namun apabila melihat dua hingga tiga lelaki melintasi ruang dapur rumah, dia dapat menjangka rumahnya dimasuki perompak.

Melihat keadaan itu, Huzaimah segera memakai cermin mata sebelum menyedari terdapat empat perompak dalam rumahnya dengan masing-masing bertopeng gelap dan memegang pisau yang dipercayai pisau dapur miliknya.

“Seorang daripada mereka menyuruh saya tidak membuat bising sambil mengacu pisau sebelum mengikat kedua-dua tangan saya menggunakan tali leher.

“Kemudian mereka bertanya ‘Duit mana? Barang mana..?’ sebelum saya beritahu barang kemas di dalam bilik selain dompet dalam beg tangan dan wang dalam tabung milik anak.

“Kumpulan perompak terbabit menggeledah tiga bilik dan ruang tamu rumah saya untuk mencari barangan berharga, malah turut meminta kunci dua kenderaan sebelum menyelongkar barangan di dalamnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Huzaimah yang bertugas sebagai Penolong Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, berkata dia cuba bertenang sambil meminta penjenayah terbabit tidak membuat bising bagi mengelak anaknya terjaga.

“Setiap kali mereka bertanyakan soalan, saya disuruh tunduk supaya tidak memandang terus ke muka mereka.

“Saya terlintas untuk melarikan diri dan meminta pertolongan, namun mengenangkan keselamatan anak, saya melupakan niat itu. Sepanjang hampir sejam berada dalam rumah, perompak terbabit sempat makan dan minum dengan mengambil makanan dari peti sejuk.

“Mungkin tidak puas hati dengan hasil rompakan diperoleh, perompak terbabit menyuruh saya masuk ke dalam bilik tidur dan berbaring.

“Mereka turut mengugut hendak membuka seluar saya dan melakukan sesuatu tidak diingini pada saya jika tidak menyerahkan barangan berharga, namun saya memaklumkan hanya itu barang berharga yang ada,” katanya.

Huzaimah berkata, perompak terbabit akhirnya berpuas hati bahawa tiada lagi barang berharga sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Waja kelabu milik suaminya.

Selepas memastikan perompak terbabit melarikan diri, dia membuka ikatan tangan dan bergegas ke rumah ibu mentuanya kira-kira 500 meter dari kediamannya dan memaklumkan kejadian itu sebelum adik iparnya menghubungi seorang pegawai cawangan khas yang juga rakannya.

Mereka membuat laporan di Balai Polis Kempas kira-kira jam 4 pagi.

Sementara itu, Syahrin yang juga Ketua Pemuda Umno Tebrau, berkata dia menyangkakan kejadian yang diceritakan adik iparnya hanya rompakan biasa selepas dihubungi kira-kira jam 3 pagi.

“Apabila menghubungi isteri menerusi telefon bimbit orang tua saya kira-kira jam 5 pagi, saya dapat bercakap dengan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang memaklumkan sudah menembak lima warga Indonesia yang merompak rumah kami.

“Selepas itu saya terus mendapatkan tiket penerbangan paling awal iaitu jam 7.30 pagi pulang ke Johor Bahru dan tiba kira-kira jam 8.30 pagi, untuk segera menemui isteri dan anak-anak saya dan bersyukur kerana mereka tidak diapa-apakan,” katanya.

0 comments: