Friday, May 1, 2009

Beri arak sebelum perkosa anak

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


CHERAS: Cukup licik apabila seorang bapa bertopengkan syaitan sanggup memerangkap anak gadis sendiri dengan memberikan ‘ubat kuat ingatan’ dipercayai minuman keras sebelum mencabulnya sejak beberapa bulan lalu.

Bagi mengaburi gadis malang itu, bapa bernafsu binatang berusia lingkungan 40-an itu mendakwa minuman yang dibawanya sejenis ubat yang dicampurkan dengan vitamin bagi menguatkan daya ingatan remaja terbabit ketika mengulang kaji pelajaran.

Apabila mangsa berada dalam keadaan khayal, bapa durjana itu akan menanggalkan pakaian anaknya itu sebelum mencabulnya.

Selepas puas, bapa terbabit akan memberikan wang saku kepada anaknya selain mengarahkan gadis malang berkenaan merahsiakan kejadian sebenar.


Difahamkan, mangsa kini tinggal dengan kakak angkatnya di Pandan Indah selepas keluar dari rumah mereka di Flet Sri Johor di sini, beberapa bulan lalu selepas tidak tahan sering dipukul ibunya.
Disebabkan perbuatan keji yang berlaku terhadapnya lebih 20 kali, mangsa kini trauma selain sering mengasingkan diri daripada masyarakat.

Malah, gadis malang itu juga dikatakan pernah beberapa kali cuba membunuh diri kerana tidak dapat menanggung aib yang berlaku terhadap dirinya.

Sumber berkata, mangsa diperlakukan seperti hamba pemuas nafsu bapanya selepas gadis malang itu meninggalkan rumah mereka beberapa bulan lalu dan tinggal dengan kakak angkatnya.

“Kakak angkat mangsa juga seseorang yang dikenali bapanya.

“Sejak tinggal di situ, bapa mangsa sering datang dan setiap kali berkunjung, dia akan membawa sebotol minuman keras untuk diberikan kepada anak gadisnya itu. Setiap kali dicabul, kakak angkat mangsa tiada di rumah.

“Minuman keras itu didakwa adalah ubat yang dicampur dengan vitamin bagi menguatkan ingatan remaja itu ketika mengulang kaji,” katanya.

Menurut sumber, sebaik mangsa berada dalam keadaan khayal, lelaki durjana itu akan menanggalkan pakaian gadis malang berkenaan sebelum mencabulnya berulang kali sehingga puas.

Difahamkan, lelaki bertopengkan syaitan dan bernafsu binatang itu tidak merogol anak gadisnya itu bagi mengelakkan perbuatan kejinya diketahui kakak angkat remaja terbabit.

Bagaimanapun, perubahan sikap mendadak gadis malang itu menimbulkan tanda tanya kakak angkatnya sebelum mendesak mangsa menceritakan perkara sebenar.

Sumber berkata, selepas beberapa kali mencuba, mangsa kemudian menceritakan kisah hitam di sebalik ubat penguat ingatan yang didakwa diberikan bapanya itu kepada kakak angkatnya.

“Kakak angkat mangsa kemudian menasihatkannya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Pada mulanya, mangsa menolak cadangan itu namun berubah fikiran selepas beberapa hari,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa yang ditemani kakak angkatnya itu membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

0 comments: