Friday, May 8, 2009

Tetak depan rumah

Oleh Jaafar Mulup dan Nor Azmelia Azahari
am@hmetro.com.my


TAMPIN: “Kami sekeluarga terkejut apabila diberitahu ayah kena tetak kerana selama ini dia tak menceritakan pernah diugut atau mempunyai musuh.” kata Mohd Nazrul, 24.

Bapanya, Cif Inspektor Md Zin Kasron, 52, ditetak dengan parang oleh seorang lelaki di hadapan rumah sewanya di Taman Bukit Tampin di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa yang bertugas di Bahagian Logistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin baru pulang daripada bermain badminton bersama rakan di kawasan berhampiran.

Mohd Nazrul, seorang anggota tentera dari kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan, Pahang, berkata ketika kejadian dia berada di rumah keluarganya di Bahau, Jempol, sebelum menerima panggilan telefon daripada rakan bapanya kira-kira jam 10.30 malam.

“Saya tidak tahu apa motif dua lelaki bermotosikal itu menyerang ayah ketika dia baru pulang bermain badminton,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), semalam.

Difahamkan, sebaik mangsa turun dari kereta untuk membuka pintu pagar rumah, datang seorang lelaki dari belakang lalu menyerangnya dengan parang menyebabkan dia tidak sempat mempertahankan diri.

Mangsa yang pengsan akibat kehilangan banyak darah ditemui orang ramai yang menghubungi polis sebelum dikejarkan ke Hospital Tampin (HT) dan kemudian dipindahkan ke HTJS untuk rawatan lanjut.

Mohd Nazrul yang juga anak sulung daripada tiga beradik, berkata dia sedih melihat keadaan bapanya yang cedera teruk pada muka dan tengkuk akibat serangan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, yang menziarahi mangsa malam kelmarin, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Mangsa yang pengsan akibat kehilangan banyak darah kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.

0 comments: