Sunday, May 17, 2009

Serangan samseng ketika minum kopi

Sumber Harian Metro

BACHOK: Hasrat seorang lelaki menikmati minum petang di sebuah kedai kopi bertukar mimpi ngeri apabila menjadi mangsa amukan sekumpulan samseng yang menetaknya dengan pedang samurai dalam kejadian di Tawang, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 40 tahun dikatakan berada di kedai kopi itu untuk minum petang bersendirian sebelum menyedari kehadiran lima lelaki menaiki kereta Perodua Kancil dan Proton Iswara.

Mangsa yang enggan nama disiarkan berkata, kejadian itu berlaku begitu pantas apabila secara tiba-tiba dia diserang dua lelaki menggunakan pedang.

Katanya, akibat terkejut tindakan kumpulan samseng berkenaan, dia cuba melarikan diri tetapi gagal kerana kejadian berlaku begitu pantas.

“Saya ketika itu minum dan nampak dua kereta berhenti. Saya ingatkan mereka juga pelanggan sebelum secara tiba-tiba, dua daripada mereka terus melibas saya dengan pedang.

“Saya bingung dan tidak mengetahui punca sebenar mereka bertindak demikian. Ketika itu, ramai orang melihat kejadian itu, namun tidak berani mendekati kumpulan terbabit. Selepas menetak saya, mereka kemudian terus beredar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Selepas kejadian itu, mangsa yang berlumuran darah ditemani pemilik kedai membuat laporan di Balai Polis Bachok sebelum dihantar ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan teruk pada bahagian belakang badan, bahu serta lengan kiri dan kanan.

0 comments: