Tuesday, May 5, 2009

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my

NASIB...penoreh termenung mengenangkan nasib selepas hasil
titik peluh mereka lesap saban hari.
NASIB...penoreh termenung mengenangkan nasib selepas hasil
titik peluh mereka lesap saban hari.

BAHAU: “Hati kami sebak melihat getah yang ditoreh untuk membeli sesuap nasi dan menyara anak isteri saban hari dilarikan pencuri,” demikian luah sekumpulan penoreh getah warga emas yang menjadi mangsa kerakusan lanun getah sekerap sejak beberapa bulan lalu di Kampung Bukit Laka.

Rata-rata penoreh ditemui berputus asa untuk mengerah kudrat menoreh kerana boleh dikatakan setiap hari hasil getah mereka dicuri.

Malah, mereka mendakwa terpaksa mengikat perut kerana hasil getah untuk dijual bagi membeli beras dan keperluan anak isteri selalu hilang tanpa dapat dikesan.

Penoreh, Hassim Yusop, 68, berkata kejadian kecurian susu dan getah sekerap semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.


“Kami toreh pagi, bila datang petang semua getah lesap. Boleh dikatakan setiap hari hasil getah ditoreh dicuri hingga membuatkan saya tidak bersemangat menoreh lagi.

“Namun apakan daya, pokok getah ini sumber rezeki menampung perbelanjaan anak isteri dan keperluan rumah,” katanya.

Dia berkata, pencuri dipercayai mengambil kesempatan tidak kira siang atau malam dan mereka terdiri daripada banyak kumpulan.

“Kalau dulu, pendapatan melebihi RM1,000 sebulan, kini semuanya musnah disebabkan perbuatan tidak berhati perut kerana tergamak mengambil hak orang lain.

“Kadang-kadang kami datang ke kebun untuk memungut hasil dan merancang wang hasil jualan itu untuk membeli beras dan membayar bil elektrik, namun hati hancur luluh selepas getah berkenaan dicuri orang,” katanya.

Menurutnya, dia percaya pencuri melakukan kerja itu terdiri daripada penagih dadah yang bebas keluar masuk ke dalam kebun getah.

Penoreh, Ramli berusia 60-an pula berkata, 30 penoreh di kampung itu mengalami kerugian selepas susu getah sepatutnya menjadi mata pencarian mereka dilarikan sewenang-wenangnya.

0 comments: