Saturday, May 30, 2009

Angkara pelajar sekolah agama

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


KUANTAN: Misteri penemuan mayat bayi lelaki baru dilahirkan di depan sebuah rumah sewa di Taman Balok Makmur dekat sini, kelmarin, terungkai apabila polis menahan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah agama berusia 16 tahun, semalam.

Perbuatan pelajar berkenaan membuang mayat bayi itu dikesan ibunya apabila menemui tompokan darah dalam bilik tidur anaknya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata pelajar terbabit mengaku membuang mayat bayi berkenaan selepas menyerah diri kira-kira jam 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sambil ditemani ibunya.

Menurutnya, ibu pelajar terbabit yang menemui tompokan darah dalam bilik tidur anaknya mendesak dia menceritakan kejadian sebenar.

Katanya, pelajar itu mengaku melahirkan bayi itu sebelum meninggal dunia.

Mayat bayi itu dibuang berhampiran rumah penduduk tidak jauh dari rumahnya.

“Pelajar itu mendakwa hamil akibat dirogol kenalannya dan menyembunyikan kejadian itu daripada pengetahuan keluarga kerana khuatir dimarahi.

“Dia dipercayai melahirkan bayi itu antara jam 1 hingga 5 pagi dalam biliknya ketika semua ahli keluarga sedang tidur. Namun, ketika itu hujan lebat menyebabkan tiada sesiapa mendengar tangisan bayi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis membawa pelajar terbabit ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menjalani pemeriksaan.

Menurutnya, remaja terbabit dipercayai nekad menunggang motosikal untuk membuang mayat bayi lelaki itu di depan rumah penduduk.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Semalam, Harian Metro melaporkan, sekumpulan lelaki yang sedang bersiap ke tempat kerja di Pelabuhan Kuantan di sini, tergamam seketika apabila menemui mayat bayi yang diletak di hadapan rumah sewa mereka, kira-kira jam 7.40 pagi.

Polis turut menemui sekeping nota yang terselit pada pintu pagar ditinggalkan yang meminta mengebumikan mayat bayi terbabit kerana tidak mempunyai wang untuk urusan pengebumian.

0 comments: