Tuesday, May 5, 2009

Dibelasah kerana guna telefon dalam bangunan kedutaan

Harain Metro

KUALA LUMPUR: Hanya kerana menggunakan telefon bimbit di dalam bangunan kedutaan, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dibelasah pegawai bertugas.

Difahamkan, mangsa dipukul menggunakan sebatang kayu panjang selain dihentak kepalanya di dinding bangunan berkenaan beberapa kali oleh pegawai kedutaan terbabit menyebabkan dia mengalami kecederaan serius seluruh badan.

Tidak cukup dengan itu, mangsa juga dikatakan diludah beberapa kali pegawai terbabit selepas suspek selesai membelasahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi beberapa hari lalu itu, mangsa dikatakan ditemani isterinya ke kedutaan berkenaan untuk menguruskan pengambilan pekerja asing bagi bekerja di restoran yang diuruskannya.

Difahamkan, sebaik tiba di pintu pagar kedutaan berkenaan, mangsa terlebih dulu dikasari pengawal keselamatan di bangunan kedutaan itu ketika bersesak untuk masuk di atas sebab yang tidak diketahui.

Berang dengan tindakan itu, mangsa kemudian mempertikaikan tindakan pengawal keselamatan terbabit sebelum berlaku pertengkaran kira-kira lebih 10 minit.

Menurut sumber, mangsa kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan kedutaan terbabit namun malang menimpanya apabila tindakannya itu mengundang kemarahan seorang pegawai kedutaan yang bertugas.

“Pegawai terbabit bertindak memarahi mangsa kerana mengingkari arahan supaya tidak menggunakan telefon bimbit dalam kawasan kedutaan berkenaan.

“Akibat tindakan itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan pegawai terbabit lebih 10 minit,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian mendakwa akan melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa atas layanan buruk yang diberikan pegawai dan pengawal keselamatan di kedutaan berkenaan sebelum beredar.

Tindakan mangsa itu menyebabkan pegawai terbabit bertindak lebih agresif dengan memukul mangsa.

0 comments: