Sunday, May 17, 2009

Mat Gian ‘alim’ jaja nama Maik

Oleh Danish Luqman
am@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Akibat terdesak untuk membeli bekalan dadah, segelintir penagih di bandar ini dikatakan sanggup berlagak alim dan menggunakan lambang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) pada resit derma untuk meminta sumbangan orang ramai.

Kegiatan itu dilakukan sambil memegang tasbih dan berzikir selain memperagakan surat kebenaran dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk meyakinkan orang ramai supaya menderma.

Bagi meraih simpati, mereka turut mendakwa bertugas sebagai guru bertauliah kepada pelajar tahfiz dari sebuah pondok di Tumpat yang memerlukan bantuan segera bagi menyiapkan sebuah bangunan terbengkalai.

Difahamkan, mereka mampu memperoleh derma antara RM300 hingga RM500 sehari dan jumlah cukup untuk menampung perbelanjaan membeli dadah selama seminggu.


Mat Gian terbabit dikatakan bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa agama.

Antara lokasi tumpuan mereka mengutip derma termasuk di stesen bas, bank, pasar raya, hospital, masjid, Pasar Siti Khadijah, kedai makan dan hotel sekitar bandar ini.

Wartawan Harian Metro yang mengintip pergerakan mereka mendapati penagih terbabit hanya memilih wanita dan warga emas sebagai sasaran memandangkan golongan terbabit paling mudah menghulurkan wang tanpa perlu diberikan resit.

Namun, ketika wartawan mendekati seorang pemungut derma dan bertanya mengenai resit terbabit, Mat Gian itu memberi pelbagai alasan termasuk konon tercicir.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Wan Mohamad Wan Konok, berkata pihaknya kesal dengan tindakan Mat Gian terbabit yang mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah dan simpati orang ramai.

“Tindakan ini mencemarkan mereka yang melakukan pungutan derma menggunakan saluran betul. Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai tetapi meminta mereka supaya dapat memberikan maklumat kepada kita jika dihampiri individu mencurigakan meminta derma.

“Kita akan mengarahkan anggota Maik untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini,” katanya ketika dihubungi.

0 comments: