Friday, May 8, 2009

Lutut koyak dibelasah

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


BATU PAHAT: Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Tongkang Pechah di sini, yang meleraikan pergaduhan rakan sekelasnya, Selasa lalu, menghadapi risiko cacat kekal selepas ligamen lututnya terkoyak akibat dibelasah kumpulan 12 pelajar samseng tingkatan satu, dua dan tiga, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi, pelajar kelas berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke makmal sains, sebelum mangsa ditarik ke meja guru dan terus dibelasah.

Mangsa, Shahdan Ibrahim, 13, berkata ketika pelajar lain bergegas ke makmal sains, dia ditarik ke meja guru oleh seorang rakan sekelasnya yang mahu memukul seseorang, Selasa lalu.

Setibanya di meja berkenaan, tiba-tiba beberapa pelajar, termasuk pelajar tingkatan dua dan tiga terus memukulnya hingga rebah.

“Mereka terus menendang kepala, perut dan kaki, terutama lutut saya dan akibat kesakitan teramat sangat, kepala saya mula rasa melayang seperti mahu pitam.

“Ketika itu, ada rakan memanggil cikgu dan apabila guru tiba semua kumpulan pelajar berkenaan melarikan diri.

“Saya masih terbaring sebelum guru menghantar saya ke Hospital Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah dengan kumpulan berkenaan, namun pernah berlaku perselisihan faham antara rakannya dengan ahli kumpulan pelajar itu, Selasa lalu.

Ketika itu rakannya yang duduk di kawasan berhampiran ingin bergurau dengannya dengan membaling botol minuman.

Bagaimanapun, katanya, botol itu nyaris terkena rakan sebelahnya yang juga ahli kumpulan berkenaan, sebelum mereka cuba memukul rakannya.

“Ketika itu saya hanya meleraikan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar kumpulan itu dengan rakan saya kerana apa yang berlaku tidak disengajakan.

“Selepas itu, tiada apa-apa berlaku hingga pagi kelmarin apabila saya dipukul kumpulan berkenaan,” katanya

0 comments: