Saturday, April 25, 2009

Libas pisau pada polis

Sumber Harian Metro

JOHOR BAHRU: Seorang anggota unit kereta peronda polis (MPV) bernasib baik apabila pisau yang dilibas seorang penjenayah tidak mengenai tubuhnya, sebaliknya hanya menyebabkan kaki seluarnya koyak dalam kejadian di Jalan Pelanduk, Taman Century, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, anggota MPV terbabit menahan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia berusia 30-an selepas didapati dalam keadaan mencurigakan ketika mereka menaiki sebuah kereta Proton Waja.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata pada mulanya ketiga-tiga suspek tidak melawan dan hanya menurut arahan polis.

“Bagaimanapun, sebaik pemeriksaan dan disoal mengenai penemuan beg tangan, jam serta dokumen peribadi milik individu lain, suspek panik dan terus melarikan diri," katanya.

Terselamat daripada dibakar

Oleh AHMAD OTHMAN
metahad@hmetro.com.my


KOTA TINGGI: Dua beradik terselamat daripada dibakar sekumpulan lelaki apabila berjaya melarikan diri ke rumah bapa saudara mereka dalam keadaan badan disimbah dengan petrol di Taman Seri Saujana, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, walaupun badan dan pakaian mereka dibasahi petrol, M Subramaniam, 23, dan adiknya, M Siva Chandran, 19, nekad merempuh kepungan penyerangnya yang dikatakan mengeluarkan pemetik api, dipercayai berniat membakar dua beradik itu.

Subramaniam mendakwa, mereka berbual di depan rumah bapa saudara sebelum sekumpulan 15 pemuda menaiki sebuah kereta dan beberapa motosikal menghampiri dan memukul mereka menggunakan topi keledar.

“Seorang penyerang itu menghayun botol arak ke arah kepala saya, tetapi saya sempat menampan dengan lengan saya. Seorang lagi lelaki kemudian menyimbah petrol daripada satu bekas botol minuman ke arah saya dan adik saya,” katanya.

Penjenayah hilang akal

Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my

PARAH...Rosli ditikam di perut dengan botol kaca ketika
cuba membantu seorang warga emas yang disamun.
PARAH...Rosli ditikam di perut dengan botol kaca ketika
cuba membantu seorang warga emas yang disamun.

KUALA LUMPUR: Hasrat bekas guru cuba membantu lelaki warga emas yang disamun sekumpulan lelaki berakhir dengan tragedi apabila dia ditikam dengan kaca di perutnya.

Dalam kejadian 6.45 pagi semalam, Rosli Daud, 49, cedera parah berikutan serpihan kaca tertinggal di dalam perut.

Mangsa yang ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam berkata, ketika kejadian dia berjalan menghantar isterinya, Sumarni Sab’at, 40, ke tempat kerja berhampiran Taman Sri Rampai, Setapak Jaya, di sini.

Menurutnya, ketika itu dia melihat lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an dalam keadaan berlumuran darah di samping dua lelaki bertubuh besar.


Menurutnya, dia yang simpati kemudian meminta penjenayah berkenaan melepaskan warga emas itu yang dipercayai baru disamun dan dipukul.

“Bagaimanapun, seorang daripada penjenayah itu meluru ke arah saya sebelum melepaskan tumbukan tepat ke muka. Akibat tumbukan itu, saya hilang imbangan dan kepala saya turut diketuk dengan botol, menyebabkan saya jatuh.

“Ketika itu seorang lagi penjenayah mengambil serpihan kaca botol itu lalu menikam perut saya. Dalam keadaan darah memancut, saya dan isteri sempat melarikan diri ke kawasan masjid berhampiran.

“Ketika itu saya hanya mampu menutup luka di perut dengan tangan,” katanya.

Rosli berkata, ketika itu lalu seorang lelaki menunggang motosikal bertanya apa berlaku sebelum isteri saya memberitahu mereka diserang.

“Lelaki berkenaan kemudian mencari suspek yang menyerang saya. Malangnya, dia turut dipukul di kepala dengan kayu sebelum motosikal ditunggangnya dilarikan penjenayah.

“Beberapa lelaki lain yang turut ada di masjid kemudian menghantar saya menaiki van ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan jam 7.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Sumarni berkata, kecederaan parah dialami suaminya menyebabkan dia panik dan terkejut kerana penjenayah seolah-olah hilang akal.

“Saya bersyukur kerana pembedahan segera dibuat bagi membuang kaca di dalam perutnya selain menjahit luka itu. Keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya yang membuat laporan polis di pondok polis HKL.

Kutip derma sambil mencabul

Oleh SITI FATIMAH HASSAN
sfhassan@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Seorang bapa tidak menyangka niat baiknya menghulurkan sumbangan dan minuman kepada seorang warga Pakistan membawa padah apabila kesempatan itu digunakan untuk mencabul anaknya yang kurang upaya (OKU).

Bagaimanapun, lelaki itu yang cuba melarikan diri berjaya ditahan dan dibelasah penduduk Kampung Kubang Palas, dekat sini, sebelum diserahkan kepada polis.

Bapa mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin apabila dia didatangi seorang lelaki berusia 55 tahun yang ingin mengutip derma serta menawarkan barangan perhiasan.

“Mula-mula dia datang dengan niat mengutip derma tetapi meminta RM15 sambil menawarkan barangan perhiasan. Sambil berkopiah dan berzikir, dia yang memberitahu tidak pandai berbahasa Melayu kemudian meminta segelas air.

Saya memberinya RM20 dan menyuruhnya masuk ke rumah. Kebetulan anak perempuan saya berusia 31 tahun yang cacat sejak kecil akibat demam panas duduk di tepi dinding.

“Apabila melihat keadaan anak saya, dia memanggil anak saya duduk di kerusi di depannya. Anak kemudian berdiri di depannya dalam keadaan membelakangi saya. Saya tidak mengesyaki apa-apa dan kerana nampak dia seperti mengurut memandangkan sebelum ini memang ramai orang menawarkan diri membantu anak saya yang bongkok,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia berkata, perbuatan lelaki berkenaan terbongkar apabila anaknya menceritakan kejadian cabul itu kepada isterinya, Azizah Abas, 51.

“Anak saya menceritakan kepada isteri perbuatan lelaki Pakistan itu yang bukan mengurut tetapi bertindak meraba dan menghisap buah dadanya,” katanya.

Menurutnya, atas pertolongan jiran, lelaki yang cuba melarikan diri itu kemudian berjaya dikesan dan tahan.

Sejurus selepas kejadian, keluarga mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Othman Nayan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, polis membuat tangkapan selepas mendapat aduan daripada mangsa dan kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Pukul tunang kerana cemburu buta

Sumber Kosmo

KUALA LUMPUR - Gara-gara mendengar khabar angin yang menyatakan tunangnya mempunyai hubungan sulit, seorang lelaki bagaikan hilang akal apabila bertindak menceroboh rumah wanita itu sebelum memukulnya bertubi-tubi selama 20 minit di sebuah kondominium di Batu 5, Jalan Ipoh di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 2.20 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 24 tahun tersebut, yang merupakan seorang jururawat di sebuah hospital, didatangi tunangnya dalam keadaan marah.

Satu sumber memberitahu, sebaik dapat memasuki rumah mangsa, suspek terus meluru ke dalam bilik lalu menyoal tunangnya sama ada dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

"Apabila mangsa tidak mengaku, suspek yang naik angin terus memukul mangsa dengan tangan selama 20 minit di kepala, muka dan seluruh badan.

"Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera bertindak membuat laporan di Balai Polis Sentul," katanya di sini semalam.

Friday, April 24, 2009

Gila tunggu kes fasakh

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang isteri jelita menjadi gila akibat tidak mampu menahan pelbagai tohmahan dan desakan hidup apabila tuntutan fasakh tidak diselesaikan walaupun berbelas tahun difailkan di mahkamah syariah.

Walaupun wanita berkenaan memiliki rupa paras menarik sehingga menerima banyak lamaran untuk mendirikan rumah tangga, tindakan khianat suami menggunakan ‘kuasa’ dengan menjadikan mahkamah syariah sebagai alat, berjaya mendera emosi dan kehidupan isteri hingga kehidupan isteri porak-peranda dan akhirnya menjadi sewel.

Wanita berpendidikan tinggi yang berusia lebih 40 tahun itu kini terpaksa mengisi masa lapang dengan menjaja kecil-kecilan dari rumah ke rumah selain gemar bercakap sendirian.

Nasib isteri malang itu didedahkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad, yang mengakui wanita berkenaan menjadi sewel apabila tuntutan fasakhnya masih tidak dapat diselesaikan di mahkamah walaupun sudah berbelas tahun menunggu.

Menurutnya, beliau terkejut apabila wanita terbabit mendedahkan masalah itu apabila tidak dapat menanggung keperitan akibat tindakan suami menggunakan mahkamah bagi menderanya.

“Dia menuntut fasakh dan tidak boleh hidup dengan suami kerana mempunyai alasan kukuh yang sepatutnya dibenarkan mahkamah secepat mungkin.

“Bagaimanapun, pelbagai kerenah dilakukan suami menyebabkan kes berkenaan berlarutan sehingga mangsa menghampiri usia separuh abad.

“Lebih menyedihkan, isteri itu menjadi sewel dengan bercakap sendirian serta melakukan perkara yang mengarut,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro baru-baru ini, mengenai keluhan seorang isteri, mahu dikenali Aisyah, 35, yang terpaksa menanti tujuh tahun sebelum mahkamah membenarkan tuntutan fasakhnya sehingga terpaksa menolak lebih 10 lamaran lelaki.

Bagaimanapun, kegembiraan itu direntap semula apabila suami wanita itu membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi supaya pelaksanaan keputusan itu ditangguhkan menyebabkan kes itu berlarutan dua tahun lagi.

Harian Metro turut melaporkan perbuatan suami melakukan aksi lucah di depan anak tanpa disedari selain menjadi simpanan seorang datin yang mahu nafsunya dipenuhi, menyebabkan isteri terpaksa menuntut fasakh di mahkamah.

Nakhaie berkata, semua wanita berkenaan tidak akan ditimpa nasib malang jika mahkamah bersikap adil dengan mengambil kira punca tuntutan itu dibuat.

Menurutnya, mahkamah sepatutnya bertindak cepat membenarkan permohonan itu jika alasan tuntutan ada kaitan dengan sikap suami yang membahayakan isteri dan anak.

“Isteri tidak akan sewenang-wenangnya melakukan perkara itu tanpa alasan kukuh dan apa yang dilakukan bagi mempertahankan hak dan keselamatan keluarga yang terancam.

“Adalah tidak masuk akal jika mahkamah sengaja mengikut rentak suami serta semua peraturan walaupun mahkamah juga mempunyai kuasa untuk mempercepatkan sesuatu kes bagi memelihara keadilan,” katanya.

Beliau bukan mahu mempertahankan sesiapa, tetapi menuntut keadilan bagi menyelamatkan lebih ramai wanita yang menghadapi masalah emosi akibat kelewatan mahkamah yang boleh menyebabkan mereka sewel.

“Memang Allah membenci perceraian tapi ia diharuskan jika mempunyai sebab tertentu bagi menyelamatkan isteri yang mahu membina kehidupan lebih baik.

“Tidak mustahil kebenaran diberikan mahkamah syariah akan membolehkan isteri dapat memiliki kehidupan lebih baik berbanding hidup bersama suami yang memiliki sikap pelik dan boleh mengancam kehidupan mereka,” katanya.

Selain itu, kata Nakhaie, mahkamah wajar mempercepat dan menimbangkan kes fasakh jika alasan diberi membabitkan jenayah berat atau seksual yang dilakukan suami terhadap ahli keluarga.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan jika mahkamah syariah memiliki cukup bukti dan tidak membenarkan ia berlarutan bertahun-tahun bagi menyelamatkan isteri.

“Bagi saya, tempoh lama mungkin bukan masalah jika membabitkan kes tuntutan harta, tetapi apabila membabitkan keselamatan dan masa depan wanita, ia wajar diberikan perhatian serius.

“Mahkamah perlu membuka mata seluas-luasnya bagi membuat keputusan tepat dan tegas supaya golongan isteri dapat diselamatkan dan pada waktu sama mendidik suami supaya tidak sewenang-wenangnya memperalatkan mahkamah untuk kepentingan diri,” katanya.

Habuan bapa,2 abang

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


GEORGETOWN: Sifat binatang seorang bapa dan dua anak lelakinya yang menjadikan anak perempuan dan adik sendiri sebagai hamba seks sejak empat tahun lalu, terbongkar selepas mangsa membuat aduan.

Mangsa berusia 13 tahun mendedahkan kegiatan sumbang mahram bapa dan dua abangnya itu, selepas membuat aduan pada guru kaunseling di sekolahnya selepas tidak tahan diperlakukan sejak berusia sembilan tahun.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner (SAC) II Wan Abdullah Tuanku Said, berkata perbuatan keji tiga beranak berhati syaitan itu berlaku di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Seberang Prai Tengah (SPT) dan berlarutan sejak 2004.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa dirogol dan dicabul bapa serta dua abang kandung sejak dia masih di tahun tiga.

Katanya, siasatan juga mendapati mangsa bukan saja dirogol di dalam rumah mereka, malah dibawa ke belukar berhampiran untuk memuaskan nafsu serakah bapa dan dua abangnya itu.

“Ia berlarutan sejak empat tahun lalu sehingga mangsa yang sudah tidak tahan, membuat aduan kepada pihak sekolah yang serta-merta membuat laporan polis semalam (kelmarin),” katanya.

Berikutan laporan itu, polis menahan bapa mangsa berusia 42 tahun dan abang mangsa berusia 15 tahun pada hari sama untuk siasatan sebelum ditahan reman selama seminggu.

Katanya, polis masih memburu seorang lagi abang mangsa berusia 17 tahun yang melarikan diri selepas laporan polis dibuat.

Katanya, siasatan terhadap bapa mangsa dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan manakala abang mangsa disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu menyerang menggunakan kekerasan dengan niat mencabul.

Bagi Seksyen 354 sekiranya sabit kesalahan, seseorang itu boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman yang dijatuhkan.

Wednesday, April 22, 2009

Pelajar kolej diugut dengan pistol jadi habuan dua lelaki ‘lalok’

Sumber Harian Metro

SUBANG JAYA: Bimbang dengan ugutan ditembak mati dengan pistol dari jarak dekat, seorang gadis yang juga penuntut kolej swasta terpaksa merelakan dirinya diperkosa bergilir-gilir sebelum dirompak dua penjenayah ‘lalok’ yang khayal di bawah pengaruh dadah.

Dalam kejadian tragis itu, mangsa yang berusia 17 tahun turut diculik lebih dua jam oleh suspek yang dikesan berkeliaran mencari mangsa menggunakan Perodua Kancil.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun dikatakan memandu kereta bersendirian sebelum memasuki kawasan meletak kenderaan tidak jauh dari bangunan kolejnya itu.

Menurutnya, mangsa ketika itu masih berada dalam kenderaan dihampiri dua lelaki yang menaiki Perodua Kancil.


“Suspek yang memberhentikan kenderaan tidak jauh daripada kereta mangsa kemudian mendekatinya yang ketika itu baru membuka pintu kereta.

“Pada masa sama, seorang daripada suspek mengeluarkan sepucuk pistol sebelum mengacukannya ke arah mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tergamam dengan kejadian itu ditarik masuk ke dalam kereta suspek sebelum dilarikan dari kawasan itu.

Difahamkan, mangsa penuntut baru di kolej itu dilarikan sejauh kira-kira dua kilometer sehingga sampai di sekitar kawasan Puchong, dekat sini.

“Sebaik sampai di kawasan terbabit, mangsa diarah masuk ke sebuah rumah kedai. Mangsa kemudian diperkosa bergilir-gilir oleh suspek yang berusia sekitar 20-an dan 40-an.

“Selepas puas memperkosa mangsa, suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan semua barang berharga dimiliki termasuk wang dan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, penjenayah bagaimanapun tidak puas hati dengan jumlah rompakan yang terlalu kecil sebelum mengugut mangsa supaya membuat pengeluaran wang di bank.

“Mangsa dibawa suspek menuju ke sebuah mesin juruwang automatik (ATM) sebelum diarah membuat pengeluaran wang menggunakan kad ATM.

“Mangsa kemudian menyerahkan wang simpanannya berjumlah lebih RM1,000 kepada suspek sebelum dibawa menaiki Perodua Kancil ke destinasi tidak dinyatakan,” katanya.

Difahamkan, mangsa ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu sebelum mangsa menghubungi keluarga bagi meminta bantuan.

Eksekutif disamun guna penyembur serangga

KUALA LUMPUR: Dengan menggunakan penyembur serangga, seorang eksekutif kerugian RM5,000 apabila disamun seorang lelaki di bilik hotelnya di Cheras di sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an terserempak dengan suspek di tempat letak kereta hotel berkenaan.

“Ketika mangsa tiba di tempat letak kereta hotel, dia didatangi suspek yang bertanyakan nombor biliknya.

“Tanpa berasa curiga, mangsa memberitahu menginap di tingkat dua hotel itu,” katanya, semalam.Menurutnya, selang 15 minit, pintu bilik hotel mangsa diketuk dan ketika dibuka, suspek terus mengunci pintu dan menyerang mangsa menggunakan pemutar skru dan penyembur serangga.

“Berlaku pergelutan antara mereka kerana suspek ingin melarikan kunci kereta menyebabkan mangsa cedera di muka dan lengan.

“Suspek melarikan diri selepas menyamun wang tunai, telefon bimbit dan kereta Proton Savvy namun hasil bantuan orang ramai, kereta itu dijumpai semula di sekitar hotel itu kira-kira setengah jam kemudian.

“Bagaimanapun, suspek dapat melarikan diri dan polis kini sedang memburu lelaki itu yang identitinya sudah dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Sentul yang melakukan Ops Bersepadu di Jalan Prima, Kepong, Ahad lalu menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kerana memandu dalam keadaan mencurigakan.

Hasil siasatan ke atas kereta jenis Proton Satria miliknya, polis menemui 28 keping kad Touch N Go serta dua pasport Indonesia.

“Sewaktu ditahan, lelaki yang mendakwa berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu gagal menunjukkan identiti diri dan memberi penjelasan berhubung penemuan barangan itu,” katanya.

Sumber Harian Metro

Sekolah dibakar

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Sukar dipercayai apabila sekumpulan penyamun yang gagal membuka peti besi simpanan sebuah sekolah di Sri Muda di sini, bertindak membakar pejabat sekolah, sekali gus menyebabkan dokumen penting hangus terbakar.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin itu, empat penyamun dipercayai memasuki perkarangan sekolah dan mengikat dua pengawal keselamatan sebelum naik ke tingkat satu.

Sejurus kemudian mereka cuba membuka peti simpanan, namun percubaan beberapa kali penyamun terbabit gagal menyebabkan mereka membakar pejabat itu sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata polis menerima laporan jam 7.05 pagi sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bergegas ke tempat kejadian.“Siasatan awal tidak menemui sebarang peralatan yang digunakan untuk membakar pejabat itu.

“Kita sedang menyiasat punca kejadian dan akan mengambil keterangan daripada dua pengawal keselamatan untuk mengesan suspek,” katanya, semalam.

Difahamkan, dua pengawal keselamatan sekolah itu berjaya melepaskan ikatan selepas lebih dua jam sebelum menghubungi polis.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati kesan terbakar jelas kelihatan dengan ratusan fail penting dan peralatan pejabat hangus dijilat api.

Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa sekolah berkenaan bermasalah kerana kebanyakan pelajarnya dilaporkan pernah merosakkan kenderaan guru dan harta benda sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Dr Zahri Aziz ketika dihubungi berkata, kumpulan penyamun itu membakar fail yang dipercayai mengandungi maklumat peribadi pelajar termasuk disiplin.

“Saya ke sekolah berkenaan pada hari kejadian bersama polis. Tinjauan saya di tempat kejadian pada hari sama mendapati tidak semua fail terbakar.

“Jumlah wang yang disimpan dalam peti besi juga tidak diketahui, namun mengikut peraturan Jabatan Pelajaran, sekolah tidak dibenarkan menyimpan lebih RM500,” katanya.

Ditanya sama ada guru mengesyaki pelajar berhubung kejadian itu, Dr Zahri berkata perkara itu dalam siasatan polis dan beliau tidak berani syak sesiapa.

“Jabatan Pelajaran juga belum menerima sebarang laporan daripada pihak sekolah mengenai masalah disiplin manakala guru juga masih mampu mengawal keadaan di sekolah,” katanya.

Monday, April 20, 2009

Dua wanita ‘mata puaka’ kebas barang kemas RM12,000

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh tidak sampai seminit, seorang suri rumah mendakwa dipukau menggunakan ilmu ‘mata puaka’ beberapa wanita tidak dikenali hingga menyebabkan mangsa hilang ingatan lalu menyerahkan semua barang berharga dimiliki secara sukarela.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30 tahun mendakwa dipukau selepas ditenung dan ditegur dua wanita yang mendekatinya ketika itu dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari tadika.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang menunggu anaknya yang masih mengikuti pembelajaran di sebuah tadika di Vista Damansara, di sini.

Menurutnya, mangsa yang berdiri di kaki lima kedai tiba-tiba dihampiri dua wanita tidak dikenali yang menyapa dari arah belakang.

“Seorang daripada wanita terbabit menegur mangsa sambil bertanya sama ada mangsa mengenalinya sebelum ini selain turut merenung mata mangsa.

“Sebaik pertanyaan itu diajukan, mangsa yang ditenung mendakwa tiba-tiba hilang ingatan dan tidak sedar apa yang berlaku pada dirinya,” katanya.

Menurutnya, dua wanita terbabit dipercayai mengarahkan mangsa pulang ke rumah dan mengambil semua barang kemas dimiliki.

“Mangsa yang dipukau kemudian segera pulang ke rumahnya di Damansara Damai sebelum mengambil semua barang kemas seperti cincin dan rantai emas yang disimpan dalam bilik tidur.

“Selepas mengumpul semua barang berharga dimiliki itu, mangsa dikatakan memandu kenderaannya menuju ke sebuah kedai serbaneka 24 jam yang terletak di sebuah stesen minyak di Damansara Damai,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menyerahkan semua barang kemas miliknya yang bernilai RM12,000 kepada kedua-dua penjenayah wanita terbabit yang kemudian segera menghilangkan dari lokasi kejadian.

“Difahamkan mangsa hanya tersedar dipukau beberapa minit selepas suspek meninggalkannya. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Damansara,” katanya.

Kejadian pukau itu kes terbaru selepas seorang gadis berusia 24 tahun menjadi mangsa perbuatan itu apabila dipukau seorang lelaki yang berpura-pura bertanya jalan pada mangsa sebelum melarikan telefon bimbit dan wang tunai mangsa.

Sumber Harian Metro

Budak tiga tahun sendirian tepi sungai cuba diliwat

KUALA TERENGGANU: Polis memburu seorang lelaki dipercayai cuba menculik dan meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun selepas melarikannya dari rumahnya di Kampung Buluh Hilir, Bandar Permaisuri, Setiu, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Sheikh Othman Abdul Hamid, berkata mangsa didapati hilang kira-kira jam 5.20 pagi pada 11 April lalu selepas tidur bersama ibunya dan tiga kakaknya berusia antara enam hingga 10 tahun di ruang tamu rumah mereka.

“Ketika kejadian ayah mangsa tiada di rumah. Ibu mangsa berusia 37 tahun yang nyenyak tidur tiba-tiba terjaga mendengar tangisan anaknya, bagaimanapun terkejut mendapati dia hilang.

“Ibu mangsa bergegas ke dapur dan mendapati pintu terbuka, sementara tingkap dapur pecah diceroboh seseorang untuk memasuki rumahnya,” katanya.

Menurutnya, selepas pemeriksaan wanita itu mendapati seluar panjang dan lampin pakai buang mangsa dibuang suspek di lantai dapur rumahnya.

“Ibu mangsa mengejutkan jiran berdekatan sebelum bersama mencari mangsa tetapi usaha mereka gagal.

“Wanita yang cemas itu membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Permaisuri, dekat sini, pada jam 6.20 pagi hari sama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sheikh Othman berkata, ketika memberi keterangan di balai polis berkenaan, seorang penduduk kampung datang memberitahu ibu mangsa menemui anaknya di tepi sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 7.20 pagi.

Beliau berkata, budak itu ditemui memakai tuala kecil dan berjalan bersendirian di tebing sungai berkenaan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut selama dua hari di hospital berkenaan mendapati doktor mengesahkan terdapat kesan merah pada kemaluan mangsa sementara duburnya mengalami luka kecil,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Sekyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menculik dan Seksyen 377C/511 kerana cubaan meliwat.

Sehingga semalam, suspek belum dapat dikesan tetapi percaya polis akan dapat menahannya dalam masa terdekat.

Suami cemburu suntik dadah

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my

SEREMBAN: Bahana cemburu gila, seorang suami tergamak menyuntik dadah pada isterinya bagi mengelak wanita itu terlalu aktif dan keluar rumah.

Bagaimanapun, tindakan gila lelaki terbabit bukan saja menyebabkan si isteri menderita, malah menjadi ketagihan dadah.

Isteri yang menjadi mangsa kekejaman suaminya itu memiliki rupa paras yang cantik menyebabkan lelaki terbabit tidak dapat menahan cemburu hingga tergamak melakukan perbuatan itu.

Kejadian malang menimpa wanita itu antara beberapa kes ‘pelik’ yang dilaporkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).


Penasihat Undang-Undang KPWKM, Ahmad Razif Mohd Sidek, berkata tindakan itu dilakukan lelaki berkenaan untuk mengongkong isterinya daripada keluar rumah menemui rakan, terutama lelaki.

Beliau berkata, lelaki terbabit sanggup menyuntik dadah ke tubuh isterinya kerana tidak mahu wanita itu terlampau aktif.

“Perbuatan itu bagaimanapun membuatkan isterinya gian dadah. Kami menerima laporan kes suami menyuntik dadah ke tubuh isterinya daripada ahli keluarga mangsa.

“Disebabkan di luar bidang kuasa KPWKM untuk mengendalikan kes itu, ia dirujuk kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan,” katanya dalam ceramah mengenai Definisi Keganasan dan Undang-Undang Berkaitan pada Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam kes berasingan, seorang suami menggunakan taktik menabur tepung di depan rumah sebelum keluar bekerja.

“Dia berbuat demikian bagi mengesan tapak kaki isterinya atau ada orang lain datang ke rumahnya ketika ketiadaannya.

“Dalam kes itu, kami memanggil pasangan suami isteri terbabit menjalani sesi kaunseling,” katanya.

Menurut Ahmad Razif, pihaknya turut menerima aduan mengenai isteri yang dikurung suami disebabkan sikapnya yang cemburu.

Wanita itu dikurung bagi mengelak dia keluar ketika suami tiada di rumah.

Ketiga-tiga aduan terbabit antara kes diklasifikasi sebagai penderaan fizikal dan emosi, selain penderaan fizikal seperti menampar, menumbuk dan menendang.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak tersalah tafsir keganasan hanyalah berlaku dalam bentuk fizikal saja,” katanya.

Beliau berkata, keganasan juga boleh berlaku dalam bentuk mental dan emosi yang kesannya lebih bahaya dan berpanjangan.

“Secara purata kami menerima dua kes membabitkan keganasan rumah tangga dalam sebulan dan percaya ada kes yang tidak dilaporkan.

“Isteri tidak melaporkan perbuatan itu disebabkan beberapa faktor, termasuk tidak mempunyai kesedaran dan bimbangkan masa depan,” katanya.

Sunday, April 19, 2009

Dua penumpang larikan teksi warga emas

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi warga emas berputih mata apabila disamun dua lelaki dalam kejadian berhampiran Flet Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak di sini, Jumaat lalu.

Malah, dia turut kehilangan mata pencarian apabila suspek bukan hanya menyamun, bahkan melarikan teksi mangsa.

Dalam kejadian jam 10.15 malam Jumaat lalu, mangsa berusia 66 tahun memandu di Jalan Genting Klang apabila teksinya dinaiki dua penyamun terbabit.


Sumber Harian Metro

Nenek gabra

Oleh Sarah Zulkifli dan Salman Hamat
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang nenek nyaris ‘papa’ apabila diarah memindahkan RM50,000 ke sebuah akaun tidak dikenali untuk membayar duit tebusan bagi membebaskan anak saudara lelaki kononnya diculik satu sindiket antarabangsa.

Mangsa yang terpedaya dikatakan memindahkan RM8,000 ke akaun dipercayai beralamat di Hong Kong itu selepas menerima ‘panggilan hantu’ daripada seorang lelaki misteri mendakwa menculik anak saudaranya pada jam 10 pagi, Jumaat lalu.

Ketika kejadian, mangsa sedang berehat di rumahnya di Setapak di sini mula cemas apabila terdengar suara tangisan dan meminta tolong kanak-kanak yang disangka anak saudaranya yang ditahan sindiket berkenaan.

Keadaan cemas itu menjadi semakin sukar apabila lelaki terbabit turut mengugut akan membunuh kanak-kanak terbabit dengan memotong kepala jika arahannya tidak dituruti.

Menurut wanita berusia 59 tahun yang enggan dikenali, selepas memindahkan wang tebusan ke akaun yang beralamat di Tsuent Wannt, Hong Kong, dia menerima satu lagi panggilan dipercayai daripada individu sama memaksanya memasukkan RM5,000 sebagai bayaran tambahan.

Tidak berpuas hati dengan hasil diperoleh, lelaki terbabit sekali lagi menghubungi mangsa dan kali ini menaikkan nilai wang tebusan hingga RM20,000 atau mangsa hanya akan melihat mayat anak saudaranya itu.

Katanya, lelaki itu turut mengeluarkan kata-kata kasar kepadanya ketika perbualan apabila memaksanya meminjam daripada orang lain untuk membayar wang tebusan.

Mangsa yang hilang arah serta tidak tahan dengan ugutan daripada lelaki itu meletakkan telefon.

Dia mengadukan hal itu pada adik lelakinya yang memberitahu kanak-kanak disangka hilang itu selamat dan dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya.

Mangsa yang tertipu dengan tindakan licik lelaki berkenaan membuat laporan polis.

Penjenayah bogel ditembak

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Padah cuba melibas polis menggunakan parang, seorang penjenayah berbahaya yang mengamuk, cedera parah ditembak dalam satu kejadian di sebuah hotel murah di Jalan Silang, Kepong di sini pada kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Difahamkan suspek dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes rogol serta samun di sekitar Lembah Klang.

Ketika kejadian, suspek yang sedang tidur terkejut dengan kehadiran polis, tidak sempat mencapai pakaian lalu terjun melalui tingkap hotel terbabit dalam keadaan bogel dalam usahanya meloloskan diri.

Polis bertindak menyerbu hotel terbabit selepas mendapat maklumat orang ramai memaklumkan suspek serta seorang lagi rakannya menginap di situ.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata ketika serbuan rakan suspek dikatakan tidak melawan dan dapat diberkas.

“Suspek kemudian lari ke sebuah restoran berhampiran sebelum bersembunyi di sebuah kawasan setinggan kira-kira 200 meter dari hotel bagi mengelak ditahan dan kami terpaksa mengepung kawasan itu untuk mencarinya.

“Sebaik dihampiri, suspek yang dalam keadaan marah melawan dan berlaku pergelutan selain turut melibas parang ke arah polis menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenainya,” katanya.

Dia dihantar ke Hopital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di paha kiri.

Polis menemui sebilah pisau dan sebuah Proton Waja dilaporkan hilang di Brickfields ketika pemeriksaan di hotel berkenaan.

Polis percaya dengan tertangkapnya dua suspek yang ditahan mengikut Ordinan Darurat, pihaknya akan dapat menyelesaikan beberapa kes pengedaran dadah, samun kenderaan mewah dan rogol.

Polis juga akan memanggil seorang pelajar tingkatan lima yang dipercayai dirogol kedua-dua suspek akhir Mac lalu untuk melakukan pengecaman berdasarkan tatu pada badan suspek.

Akhir Mac lalu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi memburu kedua-dua suspek dikategorikan berbahaya.

Ketagih Datin jutawan

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ketagih dibelai Datin yang menyimpannya menyebabkan seorang lelaki tampan sanggup membelasah suami wanita terbabit apabila hubungan sulit mereka terbongkar.

Kejadian itu berlaku apabila Datin berstatus jutawan berkenaan dipercayai memberitahu gigolo terbabit mengenai amaran diberikan suaminya berusia awal 50-an itu.

Bukan itu saja, tindakan ganas lelaki terbabit menyebabkan mangsa yang juga seorang kakitangan pengurusan bergelar Datuk di sebuah syarikat swasta cedera dan dirawat beberapa hari di sebuah pusat perubatan, baru-baru ini.

Suami Datin terbabit yang menghidu kegiatan isterinya membela gigolo 30-an itu memberi amaran supaya hubungan terlarang itu ditamatkan.

Lelaki itu dipercayai mengamalkan ilmu hitam bagi memerangkap Datin terbabit apabila isterinya menemui pelbagai tangkal dan ubat kuat seks termasuk minyak ular tedung dalam simpanannya.

Wartawan Harian Metro mendapat maklumat mengenai kegiatan lelaki terbabit melalui pendedahan isterinya yang mahu dikenali sebagai Khadijah, 30-an.

Menurut Khadijah, dia menyedari suaminya gemar menonton video lucah sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, keadaan bertambah teruk apabila suami mula melakukan aksi lucah di rumah tanpa menyedari perbuatan itu dilihat anak perempuan yang semakin takut mendekati bapa sendiri.

“Walaupun suami gemar menggunakan ubat kuat seks termasuk minyak ular tedung, tetapi apa yang pelik, tubuh saya langsung tidak disentuh lebih setahun.

“Sebaik menyedari sikap pelik suami, saya menjalankan siasatan dan mendapati suami menggunakan ilmu hitam untuk memikat wanita.

“Ia terbongkar apabila saya menemui bukan saja ubat kuat, tapi tangkal penguat alat sulit lelaki dalam simpanan suami menyebabkan curiga dan mahu membongkar rahsia yang cuba disembunyikannya,” katanya yang juga seorang kakitangan eksekutif di sebuah universiti di sini.

Bagi membongkar kegiatan suami, Khadijah yang lebih 13 tahun mendirikan rumah tangga, berkata dia mengupah penyiasat persendirian bagi mengesan aktiviti harian suami termasuk mengenal pasti wanita yang menjadikan suaminya sebagai ‘alat permainan’.

Biarpun suami seorang yang warak dan tidak meninggalkan solat lima waktu, pembongkaran kegiatan tidak bermoral suaminya itu mengejutkan.

“Hasilnya, saya mendapati suami menjalinkan hubung sulit dengan seorang Datin kaya dan boleh dikategorikan sebagai jutawan.

“Selain menginap di kawasan elit, Datin terbabit mempunyai beberapa kenderaan mewah termasuk BMW dan Mercedes bercermin gelap bagi memudahkan mereka keluar dan masuk hotel tanpa disedari kenalan,” katanya yang sudah memfailkan tuntutan fasakh di mahkamah syariah sejak beberapa bulan lalu.

Khadijah berkata, hubungan intim pasangan itu semakin hangat apabila suami Datin berkenaan menghidu hubungan sulit mereka yang kerap melepaskan nafsu di hotel terkenal di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, bagi mempertahankan hubungan itu, lelaki terbabit pernah membelasah suami Datin berkenaan sehingga terpaksa dirawat di sebuah pusat perubatan.

Menyedari tindakan ganas suaminya, kata Khadijah, Datuk terbabit terpaksa merelakan isterinya menjalin hubungan sulit walaupun kedua-duanya masih tinggal sebumbung.

“Rentetan cerita berkenaan, saya mula mengesyaki semua ubat dan tangkal yang ditemui dalam simpanan suami bertujuan menguatkan alat sulit untuk memberikan layanan seks terhadap Datin itu,” katanya yang mempunyai lima anak berusia tujuh hingga 14 tahun.

Kemuncak kegiatan suami terbongkar apabila Khadijah memberikan bukti hasil siasatannya kepada suami.

Bagaimanapun, suaminya menafikan semua bukti itu walaupun dia cuba mendapatkan penjelasan termasuk penggunaan tangkal bagi menguatkan kemaluan lelaki dan hubungan sulit dengan Datin terbabit.

“Saya menunjukkan tangkal yang saya temui selain bukti hubungan suami dengan Datin itu menyebabkan dia tidak keruan sebelum menumbuk menyebabkan hidung saya berdarah.

“Bagi mengelak kejadian buruk, saya mendapatkan rawatan di hospital sebelum membuat laporan polis dan meninggalkan rumah sehingga sekarang,” katanya yang kini menetap buat sementara di rumah ibu bapa, sejak beberapa bulan lalu.

Kini, lebih dibimbangkan, Khadijah berkata, seorang anak perempuan berusia 12 tahun tinggal bersama suami.

Malah, dia sudah lebih enam bulan tidak dapat berhubung dengan anak perempuannya itu selepas suami memindahkannya ke sekolah lain.

“Apabila memikirkan sikap dan penyakit ‘gila seks’ suami menyebabkan hati saya luluh untuk mendapatkan segera anak saya dengan menggunakan mahkamah.

“Walaupun cuba melakukan pelbagai cara bagi mendapatkan anak secepat mungkin, prosedur mahkamah menyebabkan kes sering tertangguh,” katanya yang sudah membelanjakan lebih RM10,000 bagi membawa kes tuntutan fasakh dan tuntutan anak ke mahkamah.

Tanpa berselindung mahu kes itu diselesaikan segera, Khadijah berkata, dia sering menitiskan air mata apabila memikirkan nasib anak perempuannya itu yang tinggal bersama suami.

Penyamun tak faham bahasa

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Gara-gara tidak fasih berbahasa Melayu, seorang pelajar mengalami pengalaman menakutkan dalam hidupnya hingga terpaksa berpura-pura pengsan sebelum dilepaskan sekumpulan enam penyamun ketika disamun dalam perjalanan pulang dari sekolahnya.

Ini kerana pelajar terbabit dikatakan cuba merayu tetapi rayuannya dipercayai tidak difahami kumpulan penjenayah terbabit, menyebabkannya terus dipukul sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

Bapa mangsa, Lai Eng Hee, 42, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9 malam pada 15 Mac lalu, anaknya, Lai Sin Fei, 18 dan seorang rakannya menunggu bas berhampiran sebuah sekolah menengah di Stulang Laut, di sini.

Menurutnya, tiba-tiba sebuah van berhenti di depan anaknya sebelum dua lelaki turun dan menarik remaja itu ke dalam kenderaan itu.

“Rakan anak saya lari meninggalkan kawasan itu manakala anak saya terpaksa menuruti kehendak dua lelaki yang menariknya ke dalam van.


“Apabila di dalam van, dia mendapati ada enam lelaki, iaitu dua duduk di depan dan empat di belakang.

“Mereka mengatakan sesuatu kepada anak saya tetapi dia tidak faham, menyebabkan empat lelaki berkenaan memukul kepala dan badannya,” katanya ketika ditemui semalam.

Lai berkata, anaknya kemudian menyerahkan semua barangan berharga dan dompet kepada lelaki itu, selepas mereka berulang kali mengatakan sesuatu kepadanya.

Katanya, anaknya yang tidak fasih bahasa Melayu cuba merayu dan bertutur dalam bahasa Inggeris dan Cina, malangnya kumpulan lelaki terbabit pula tidak faham percakapan anaknya.

Menurutnya, selepas ditumbuk dan ditendang berulang kali, anaknya berpura-pura pengsan kerana bimbangkan keselamatannya.

“Melihat dia ‘pengsan’, kumpulan lelaki berkenaan memberhentikan van dan meninggalkan anak saya di tepi jalan di kawasan berhampiran.

“Selepas memastikan keadaan selamat, baru anak saya meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi saya.

“Kejadian itu menyebabkan anak saya kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, kad mesin juruwang automatik (ATM), kad sekolah, wang tunai sebanyak RM40, telefon bimbit, pakaian sekolah dan peralatan lukisan,” katanya.

Lai berkata, berikutan itu dia membuat laporan di Balai Polis Sentral pada 16 Mac lalu dan berharap polis dapat menjejaki kumpulan penyamun berkenaan.

Menurutnya, anaknya masih cedera di kepala, tangan serta kaki dan bimbang kejadian sama berulang kepada pelajar lain di kawasan itu.

“Kumpulan penyamun terbabit nampaknya nekad dan kejam kerana terus menarik anak saya ke dalam van sebelum membelasahnya untuk mendapatkan barangan berharga.

“Nasib baik anak saya lelaki dan terfikir untuk berpura-pura pengsan... saya tidak tahu apa akan jadi jika anak saya perempuan,” katanya.

Mr S ugut

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Selepas didakwa melakukan penipuan melebihi RM1 juta, kini bekas pengurus artis dikenali sebagai Mr S yang kisahnya pernah disiarkan di muka depan akhbar ini pada 22 Mac lalu, berdepan pula dengan dakwaan mengugut mangsanya.

Perkembangan terbaru ‘kaki belit’ itu didedahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, selepas beberapa mangsa tampil membuat laporan polis.

Menurut Arjunaidi, apabila kisah Mr S disiarkan di akhbar ini, ada mangsa tampil membuat laporan polis membabitkan dakwaan diugut.

“Ada beberapa laporan polis (mengenai Mr S) diterima. Ada mangsa mendakwa diugut,” katanya pada program Bersemuka dengan Ketua Polis Daerah di pasar raya besar Giant, Kota Damansara, di sini, semalam.

Arjunaidi berkata, siasatan mengenai penipuan Mr S masih diteruskan dan kini siasatan mengenai ugutan dilakukan ‘kaki belit’ itu turut dijalankan.

Sebelum ini, Arjunaidi dilaporkan berkata, Mr S pernah ditahan untuk membantu siasatan kes pecah masuk serta curi barangan pejabat.

Keterangannya kemudian diambil untuk membantu siasatan, tetapi dia dibebaskan tidak lama kemudian dengan jaminan polis.

Arjunaidi turut memaklumkan, pihaknya mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat serta keterangan berkaitan penipuan lelaki terbabit.

Ini kerana berdasarkan laporan polis, lelaki terbabit turut memperdaya mangsa sehingga RM300,000 kononnya mempunyai rakan kongsi di negara berkenaan bagi mengedar dan mempromosi album artis nasyid berkumpulan, Nice.

Pada 22 Mac lalu, akhbar ini melaporkan Mr S, berusia 30-an, yang berperwatakan lemah lembut dan baik, memanfaatkan industri itu untuk melakukan penipuan.

Modus operandinya mudah — menubuhkan kumpulan, syarikat atau menguruskan artis tertentu, kemudian menjaja nama artis terbabit untuk menarik mangsanya melabur sejumlah besar wang dengan janji kononnya wang itu akan berganda apabila projek membabitkan artisnya berjaya.

Antara mangsanya ialah penyanyi dan pelakon, Waheeda, kumpulan nasyid Devotees, Nice, kumpulan Infinatez, pemilik Nazz Music Entertainment, Nazri Abdul Rahman dan pensyarah dikenali sebagai Dr Zamri.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, program Bersemuka dengan Ketua Polis Daerah yang diadakan untuk kali keempat semalam mendapat sambutan menggalakkan penduduk sekitar Kota Damansara.

Katanya, kebanyakan aduan yang dibuat adalah mengenai kes jenayah dan ada juga membabitkan masalah kejiranan.

“Program sebegini memudahkan lagi komunikasi antara polis dengan masyarakat. Penduduk setempat boleh kemukakan masalah atau perasaan tidak puas hati mereka secara terus dengan polis,” katanya.

Maut selepas dibelasah abang ipar

KOTA BHARU: Akibat dibelasah abang ipar menggunakan batang cangkul, seorang mekanik berusia 24 tahun menemui ajal selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dua hari lalu.

Mangsa yang dimasukkan ke wad kecemasan HUSM, kelmarin, tidak sedarkan diri selepas mengalami pelbagai simptom, termasuk muntah-muntah dan sakit di bahagian badannya.

Dia yang dirawat di hospital terbabit kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.40 malam kelmarin sebelum mayatnya dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani bedah siasat.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati abang ipar mangsa dengan tindakan arwah yang didakwa sering memarahi anak saudaranya selain gemar menyepak kaki.

Tindakan itu dilakukan abang ipar mangsa selepas menerima aduan berhubung perbuatan adik iparnya oleh anaknya, selain aduan sama turut dimaklumkan isterinya yang juga kakak mangsa.

Pemangku Ketua Polis Tumpat, Deputi Superintendan Othman Nanyan, berkata kejadian itu disedari bapa mangsa sejurus dimaklumkan mengenai perkara itu pada jam 5.30 petang, 10 Mac lalu.

“Kejadian itu disedari bapa mangsa ketika pulang ke rumah. Dia yang tidak sedap hati dengan keadaan anaknya segera mendapat penjelasan sebelum diberitahu perbuatan itu angkara menantunya.

“Mangsa mendakwa dipukul abang iparnya dengan kayu batang cangkul di bahagian kaki sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Wakaf Baru hari sama,” katanya ketika dihubungi di pejabatnya di sini, semalam.

Othman berkata, berikutan kejadian itu, mangsa sekali lagi mengadu mengalami kesakitan dan muntah-muntah sebelum dirujuk ke HUSM untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa kemudian tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke wad kecemasan pada 16 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya,” katanya.

Menurutnya, berhubung kejadian itu, polis kini menjalankan siasatan dan menahan reman seorang lelaki berusia 30 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kes berkenaan

Diserang kerana dendam

Oleh SARAH ZULKIFLI
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang pekerja binaan lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila ditetak berkali-kali dari belakang menggunakan senjata tajam oleh kumpulan lelaki yang menyerangnya sehingga menyebabkan ususnya terburai, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa dipercayai warga Indonesia dikenali sebagai Astafi, lewat 30-an, dikatakan melepa siling di tingkat atas tapak pembinaan taman perumahan mewah di Kiara View Mont Kiara, di sini apabila diserang sekumpulan lelaki dari arah belakang.

Mangsa yang cedera parah akibat serangan itu dikatakan turun ke bawah bangunan tapak pembinaan bagi mendapatkan bantuan sebelum ditemui rakan sekerjanya yang segera menghubungi pihak berkuasa.

Beberapa pekerja itu dikatakan cuba menyelamatkan mangsa yang masih hidup, namun keadaan tempat kejadian menyukarkan mereka berbuat demikian.

Rakan mangsa terpaksa menggunakan jengkaut untuk membawanya ke pejabat bagi bantuan kecemasan sebelum semuanya bertempiaran lari sebaik polis tiba di tempat kejadian.

Bagaimanapun, mangsa mati di tempat kejadian ketika menunggu ambulans tiba.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abd Bari Wan Abdul Khalid, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam.

“Polis masih menjalankan siasatan terperinci dan tidak menolak kemungkinan dendam dipercayai motif mangsa dibunuh.

“Ketika polis datang melakukan siasatan di tempat kejadian, beberapa pekerja binaan melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Wan Abd Bari berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Polis meminta sesiapa yang ada maklumat mengenai kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Tony Lunggan di talian 014-6225262 atau hubungi Rakan Cop di talian 03-21159999.

Isteri 6 jam

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lelaki hidung belang kini semakin rakus melampiaskan nafsu dan mampu berlagak seperti ‘pengantin baru’ apabila sindiket dikesan ligat menawarkan pakej ‘isteri enam jam’ yang boleh dilanggan dalam tempoh itu atau 24 jam.

Kesan kepada taktik sindiket itu nyata membimbangkan kerana ia mendapat sambutan menggalakkan lelaki, terutama generasi muda, sehingga ada yang ‘ketagih’ dan sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan.

Perkara itu didedahkan Abdul Malek, 35, yang pernah berdepan situasi ‘kemaruk’ dengan pakej berkenaan sehingga lalai dan kehabisan wang.

Menurut Abdul Malek, setiap minggu dua atau tiga kali dia melanggan wanita menggunakan pakej berkenaan dan berhabis sebahagian wang gajinya

“Untuk melanggan pakej berkenaan bukan murah kerana wanita ditawarkan bukan seperti wanita di Brickfields atau Lorong Haji Taib. Mereka ada kriteria tersendiri, lawa dan muda.

“Jika mahu yang luar negara, harganya antara RM480 hingga RM980 untuk pakej antara enam dan 24 jam. Jika mahu wanita yang dikatakan model lagi mahal,” katanya.

Abdul Malek berkata, dia tertarik dengan pakej itu kerana tempoh untuk bersama wanita dilanggan lebih panjang.

“Dulu tawaran diberi hanya satu atau dua jam, tetapi pakej itu menawarkan sehingga enam dan 24 jam. Macam isteri jadinya. Nak bawa ‘makan angin’ boleh, nak duduk dalam bilik saja pun boleh,” katanya.

Menurut Abdul Malek, tawaran sindiket itu bukan setakat di spa hotel, tetapi turut ditawarkan orang perseorangan.

“Mudah untuk mendapatkan pakej itu sehingga saya menjadi ketagih. Dalam seminggu tak boleh tak pergi. Kesudahannya wang gaji lebih banyak dilaburkan kepada aktiviti itu dan fikiran sering tertumpu kepada wanita yang kerap dilanggan,” katanya yang berusaha meninggalkan tabiat itu.

Abdul Malek berkata, biasanya dia sering mengambil pakej itu di spa dan kadangkala menggunakan khidmat sindiket yang bergerak secara bebas.

“Jika di spa, sindiket memberi pilihan sama ada mahu menggunakan bilik hotel disediakan mereka atau sebaliknya. Jika menggunakan khidmat sindiket bebas, kena cari hotel sendiri.

“Saya biasanya memilih hotel disediakan. Namun jika mahu membawa ‘isteri’ yang disewa, saya lebih senang memilih menginap di hotel bertaraf sederhana,” katanya.

Menurut Abdul Malek, berdasarkan pengamatannya, pakej berkenaan seperti menjadi trend kerana ramai lelaki hidung belang memilihnya.

“Jika saya berkunjung ke lokasi yang menyediakan khidmat itu, kebanyakan pelanggan memilih pakej berkenaan.

“Kebanyakan alasan yang diberi ialah ia sesuatu yang istimewa kerana sebelum ini hanya boleh bersama untuk tempoh satu atau dua jam,” katanya.

Bagi Harun Aziz, 32, sesiapa yang memilih pakej itu pasti akan sentiasa mencari peluang mengulanginya.

Katanya, dia pada mulanya mengakui sekadar ‘suka-suka’ tetapi apabila sudah mencuba buat pertama kali, ia dijadikan umpama rutin kehidupan.

“Ikutkan hati, mahu saja saya memilih pakej itu tujuh kali dalam tempoh seminggu, tetapi memikirkan ‘modalnya’, saya hanya mampu tiga atau empat kali dalam tempoh sebulan.

“Siapa yang tidak mahu dilayan seperti raja, dituruti semua kehendak dan menikmati suasana umpama ‘pengantin baru’,” katanya yang juga pegawai eksekutif syarikat swasta ternama di ibu kota.

Menurut Harun, biasanya tempahan ‘pakej isteri sementara’ itu perlu dibuat melalui panggilan telefon, seterusnya berhubung dengan bapa ayam untuk mendapatkan tawaran pakej.

Jelasnya, bukan semua sindiket membuka tawaran pakej itu secara terbuka kepada pelanggan, sebaliknya hanya diketahui pelanggan tetap premis berkenaan.

“Di sebuah premis spa dan rumah urut yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, pakej membabitkan wanita luar negara yang didakwa belajar di negara ini.

“Harga ditawarkan mahal, paling murah RM600. Bayaran mengikut jam pula paling murah RM250. Namun, bukan setiap masa pakej itu ada dan hanya pelanggan tetap boleh menikmatinya,” katanya.

Akibat terlalu kemaruk melanggan ‘isteri sementara’ sebagai pemuas nafsu, Harun sanggup berhabis wang lebih RM2,000 sebulan, iaitu hampir separuh wang gajinya.

Justeru, tidak hairan jika Harun sering tidak cukup wang akibat ketagihannya, malah menghadapi kesukaran membuang tabiat buruk itu.

Saturday, April 18, 2009

Henti belasah hormat azan

Oleh Zulfa Mohamad



KEPALA BATAS: Sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah agama di Bukit Mertajam yang bertindak membelasah seorang bekas pelajar sekolah itu sempat berhenti sekejap bagi menghormati azan solat Asar sebelum menyambung semula ‘tugas’ mereka sehingga menyebabkan mangsa pitam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang Rabu lalu apabila mangsa, Muhammad I’rfan Taufiq, 15, dipanggil naik ke tingkat atas asrama sekolah itu sebelum ditumbuk, ditendang serta dibaling dengan baldi dan kasut oleh sekumpulan kira-kira 13 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima sekolah berkenaan.

Puncanya, kerana mangsa gagal mendapatkan semula telefon bimbit milik seorang daripada pelajar terbabit yang dirampas ustaz sekolah itu sedangkan mangsa sudah bertukar ke sekolah lain di sini, sejak akhir Februari lalu.

Menceritakan kejadian itu, Muhammad I’rfan berkata, mulanya dia menerima panggilan telefon jam 3 petang daripada seorang rakannya yang meminta dia datang ke sekolah itu bagi menyelesaikan kes telefon bimbit yang dirampas seorang ustaz.

Bagaimanapun, ketika berjumpa ustaz berkenaan untuk menuntut semula telefon bimbit rakannya, Muhammad I’rfan diberitahu hanya waris boleh menuntut alat telekomunikasi berkenaan

“Selepas gagal mendapat balik telefon bimbit itu, saya diajak naik ke asrama dan ada 13 pelajar sudah menunggu.

“Seorang daripada mereka memegang baju sambil mendakwa tidak puas hati dengan saya sebelum tujuh daripada mereka bertindak memukul kepala, badan dan belakang.

“Saya cuba melindungi muka dengan tangan tetapi mereka memukul belakang saya dengan tapak kasut hingga masih ada kesan hari ini,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Menurut Muhammad I’rfan, dia berada dalam ‘tawanan’ kumpulan pelajar itu selama kira-kira 30 minit sebelum mereka berhenti memukulnya kira-kira jam 4.30 petang berikutan azan Asar.

“Namun, selepas azan, mereka menyambung semula dan menendang kaki serta lutut sehingga saya lemah dan hampir pitam. Pada satu ketika, saya sukar bernafas menyebabkan mereka berhenti sekejap tetapi membelasah saya lagi tidak lama kemudian,” katanya.

Kira-kira jam 5 petang, kumpulan pelajar berkenaan berhenti membelasah Muhammad I’rfan dan dia keluar melalui pintu belakang untuk pulang ke rumah neneknya di sini, dengan mukanya bengkak selain mengalami kesakitan seluruh badan.

“Saya pergi ke sekolah itu kerana mereka mengugut akan memukul adik saya yang belajar di sekolah sama tetapi lain pula yang jadi,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Taufiq Musaddad Ahmad, 43, berkata dia membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas pada jam 10.35 malam hari kejadian sebelum membawa Muhammad I’rfan menjalani pemeriksaan di Hospital Kepala Batas.

“Saya kesal kerana kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di sebuah sekolah agama. Muhammad I’rfan belajar di sekolah itu sejak 2007 tetapi saya menukarkannya ke sekolah lain kerana dia mengadu berlaku kejadian buli di asrama,” katanya.

“Akibat kejadian itu, dia tidak boleh menjamah makanan kerana rahangnya sakit. Saya difahamkan, ada mangsa lebih teruk dibuli tetapi enggan membuat laporan polis berikutan keluarganya kurang berada. Saya membuat laporan polis kerana tidak mahu kejadian sama berlaku pada pelajar lain,” katanya.

Nenek dicabul alami trauma

Oleh Abdullah Wahab
Harian Metro


KLANG: Seorang nenek berusia 68 tahun dan rakannya berusia 34 tahun terpaksa menempuh detik hitam apabila menjadi mangsa cabul sebelum dipaksa melakukan seks oral oleh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Raja di sini, semalam.

Malah, lebih menakutkan apabila kejadian itu berlaku hampir tiga jam di ladang terbabit sebelum mangsa ditemui seorang lelaki warga Bangladesh.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, nenek berkenaan bersama rakannya itu menunggu van pekerja di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini sebelum mereka didatangi seorang lelaki menaiki Proton Wira hitam.

Lelaki berusia 30-an terbabit berpura-pura bertanya jalan dan mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa cuba menerangkan lokasi yang dituju lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata lelaki itu kemudian meminta wang daripada mangsa kononnya dia dalam keadaan terdesak, bagaimanapun dua wanita itu tidak mempunyai wang kerana hanya bekerja sebagai pencuci lantai di sebuah syarikat swasta.

“Lelaki terbabit memujuk dan mendesak kedua-dua mangsa supaya masuk dalam kereta kononnya untuk dihantar ke tempat kerja.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa mengikuti arahan lelaki terbabit sebelum lelaki itu membawa mereka mengelilingi bandar Pelabuhan Klang beberapa kali,” katanya di sini, semalam.

Sejurus kemudian, kedua-dua mangsa dibawa semula ke ladang terbabit dan lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau mengugut akan mencederakan mereka sekiranya tidak mengikut arahan.

Mereka dipaksa membuka pakaian sebelum dipaksa melakukan seks oral.

Mohamad, berkata berikutan itu nenek terbabit yang dalam keadaan trauma dan terkejut mengalami tekanan darah tinggi dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak dirogol.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 dan 377 Kanun Keseksaan akibat cabul dan melakukan seks luar tabii,” katanya.

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Rakan Cop di 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Cabul umpan anak sakit

KAJANG: Menggunakan anaknya berusia tiga tahun sebagai umpan selain berpura-pura tidak mengetahui jalan, seorang lelaki cuba menjadikan seorang pelajar berusia 14 tahun sebagai mangsa pemuas nafsunya ketika gadis itu menunggu bas untuk ke sekolah di Bandar Baru Bangi, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa dihampiri lelaki terbabit yang kononnya mendakwa tidak mengetahui jalan sebelum memintanya menunjukkan arah.

Difahamkan, mangsa pada mulanya agak keberatan, namun rayuan lelaki itu yang mengatakan anaknya dalam kesakitan dan tidur di kerusi belakang kereta membuatkan mangsa akur permintaannya.

Lelaki itu juga mendakwa dia tidak berniat buruk dan mahu menghantar anaknya yang sakit itu ke rumah saudaranya di Jalan Reko, namun tidak mengetahui arah.

Difahamkan, mangsa mengekori lelaki itu ke keretanya dan selepas memastikan anak lelaki terbabit berada dalam kereta, mangsa bersetuju mengikutnya.

Namun, ketika dalam perjalanan, lelaki itu tiba-tiba memberhentikan kereta dan mengeluarkan pisau sebelum mengugut mangsa supaya mengikut arahannya.

Menurut sumber, lelaki itu mencabul mangsa dengan meramas buah dadanya.

“Lelaki itu turut cuba merogol mangsa, tetapi terbantut apabila mendapati mangsa dalam keadaan haid.

“Selepas itu, lelaki terbabit meninggalkan mangsa di tepi jalan dan terus memecut keretanya,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 30-an menaiki kereta Perodua Kelisa biru, namun nombor pendaftaran kenderaan itu gagal diperoleh mangsa.

“Selain itu, polis turut mengesan seorang saksi yang ternampak kejadian itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas dia mencabul seorang kanak-kanak berusia lima tahun dengan memasukkan jari ke kemaluan mangsa.

Menurut sumber, kanak-kanak terbabit dihantar ke rumah pengasuh oleh keluarganya di Kajang, namun perubahan sikap mangsa yang enggan dihantar ke situ membuatkan ibunya mengesyaki sesuatu.

“Ibu kanak-kanak itu yang membuat pemeriksaan terkejut apabila kemaluan anaknya didapati mempunyai kesan lebam dan sukar membuang air kecil.

“Dia membawa anaknya itu menjalani pemeriksaan di hospital dan laporan menunjukkan yang kemaluan kanak-kanak itu mempunyai kesan tusukan,” katanya.

Sumber berkata, selepas didesak, anaknya menceritakan yang kemaluannya itu sering dijolok dengan jari oleh seorang lelaki ketika berada di rumah pengasuh.

“Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan seorang lelaki yang juga suami kepada pengasuh terbabit ditahan bagi membantu siasatan, kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dalam dua kes terbabit dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Saturday, April 11, 2009

Buli guna penggelek capati

Harian Metro

IPOH: Bersenjatakan penggelek capati, seorang pembuli jalan raya wanita menyerang seorang lagi wanita kerana melanggar kereta milik rakannya di kawasan Perindustrian Pengkalan, dekat sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian 7.15 malam, Chan Sau Mui, 35, yang juga kerani, cedera di tangan, kaki dan muka selepas dipukul menggunakan penggelek capati oleh wanita berkenaan, manakala tiga lagi lelaki lain turut memukulnya menggunakan tangan.

Chan berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tanjung Tualang, Kampung Gajah, apabila gagal mengawal kereta lalu melanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki di simpang jalan berkenaan.

“Lelaki itu memberhentikan keretanya dan memaksa saya menyerahkan lesen memandu. Kemudian, muncul dua lelaki lain dipercayai kawan pemilik kenderaan terbabit.


“Mereka meluru ke kereta saya lalu memukul tangan kanan dan muka saya sehingga lebam sebelum muncul pula wanita dengan penggelek capati yang turut memukul saya,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA, di sini, semalam.

Dia berkata, pemilik kenderaan terbabit turut merampas kunci kereta dan memintanya membayar ganti rugi di atas kerosakan keretanya dengan segera.

Katanya, dia turut dipaksa keluar dari kereta namun enggan, menyebabkan tangan dan kaki kanan tersangkut di pintu kereta sehingga cedera.

Bagaimanapun, Chan bernasib baik kerana berjaya melepaskan diri selepas mengugut mereka menggunakan minyak wangi yang didakwanya sebagai penyembur lada.

Parang di leher

Oleh SALMAN HAMAT
Harian Metro



PETALING JAYA: Bimbang nyawanya melayang, seorang peniaga hanya mampu menurut arahan empat perompak yang meletakkan parang panjang di lehernya sebelum melarikan wang tunai RM4,300.

Menceritakan semula saat paling menakutkan dalam hidupnya yang berlaku pada jam 2.30 pagi Khamis lalu, di bawah jejambat Lebuhraya Persekutuan berhampiran Bandar Sunway, di sini, Idris Sapian, 50, berkata ketika kejadian dia berhenti untuk membuang air kecil.

Ketika kejadian, dia memandu seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 14, di sini, selepas selesai urusan perniagaan di Klang.

Katanya, ketika berjalan ke kereta sebaik selesai membuang air kecil, dia didatangi empat lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana yang terus meluru ke arahnya.

“Saya mula terfikir mereka adalah perompak dan segera berlari masuk ke dalam kereta. Bagaimanapun, melihat saya cuba menghidupkan enjin, seorang daripada mereka membaling seketul bata, menyebabkan cermin tingkap sebelah penumpang depan pecah.

“Kerana tidak sempat mengelak, tangan kiri saya cedera terkena serpihan kaca dan bata terbabit. Dua daripada perompak yang bersenjatakan parang panjang menarik saya keluar dari kereta dan memberi amaran supaya jangan melawan jika mahu selamat,” katanya.

Idris berkata, penjenayah terbabit bertindak ganas apabila dikatakan memotong poket seluar untuk mendapatkan dompet miliknya, selain memegang kunci keretanya.

“Ketika dua suspek memegang saya, seorang lagi rakannya sibuk menggeledah kereta untuk mencari barang berharga, termasuk wang tunai,” katanya.

Menurut Idris, selepas berpuas hati dengan hasil rompakan itu, empat lelaki terbabit terus beredar dengan melarikan kunci keretanya.

Katanya, dia kemudian menghubungi isterinya untuk memaklumkan kejadian sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way dan mendapatkan rawatan berikutan kecederaan di lengan kiri.

Perompak arah wanita bogel, rakam gambar

JOHOR BAHRU: Dua lelaki bersenjatakan pisau merompak seorang wanita dan mengarahkan mangsa berbogel sebelum gambarnya dirakam menggunakan kamera telefon bimbit.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, mangsa yang juga pemilik rumah kedai berusia 35 tahun di Taman Desa Cemerlang, di sini, menerima panggilan telefon daripada dua lelaki, memaklumkan kononnya mereka berminat melihat premis kosong wanita itu untuk disewa.

Selepas bersetuju, wanita dan lelaki berkenaan mengatur pertemuan di pekarangan premis itu sebelum naik ke ruang atas rumah kedai terbabit.

Bagaimanapun, wanita berkenaan kemudian diacu dengan pisau oleh salah seorang lelaki sebelum mereka bertindak merampas telefon bimbit, kad mesin juruwang automatik (ATM) serta wang bernilai RM200 milik mangsa.

Malah, wanita itu juga diarahkan supaya berbogel sebelum gambarnya dirakam menggunakan kamera telefon bimbit dan diugut supaya menyerahkan nombor pin kad ATM miliknya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata mangsa yang tidak mengalami kecederaan membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Taman Desa Cemerlang.

"Sehubungan itu, polis kini sedang memburu dua penjenayah terbabit dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi talian hotline 07-2212999 atau balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang juruteknik berusia 41 tahun cedera parah selepas ditembak dua kali di bahagian perut oleh dua lelaki di depan rumah ibu mentuanya di Taman Johor, di sini, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Mangsa yang bekerja di Singapura dipercayai ditembak selepas enggan menurut arahan supaya membuka pagar dan membenarkan dua penjenayah terbabit masuk ke dalam rumah itu.

Ketika kejadian, dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi hitam, berhenti di depan rumah milik ibu mentua mangsa sebelum keluar dan melepaskan tembakan amaran supaya pintu pagar dibuka.

Berikutan bimbang dengan keselamatan anak saudara serta ahli keluarga yang lain, mangsa dikatakan melawan sebelum berlaku pergelutan.

Isteri mangsa yang menyedari bunyi tembakan di luar rumah kemudian meluru ke pintu utama dan terkejut apabila suaminya ditembak dua kali di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mangsa dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai cubaan rompak dan usaha memburu suspek sedang dijalankan," katanya.

~Sumber Bharian

Wednesday, April 8, 2009

Pukul kepala junior denda asrama kotor

Harian Metro

JOHOR BAHRU: Gara-gara bilik asrama mereka dikatakan kotor, sekumpulan pelajar junior di Sekolah Menengah Tasek Utara (SMTU) di sini, malam kelmarin mendakwa dipukul di belakang kepala mereka oleh beberapa senior sebagai denda.

Dalam kejadian dipercayai kira-kira jam 10 malam itu, pelajar tingkatan satu hingga tiga itu dipanggil ke bilik beberapa pelajar tingkatan lima di Asrama Pusat Putera (APP) di Jalan Tasek, di sini.

Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, dia bersama 20 rakannya diminta beratur sebelum seorang pelajar senior itu menengking dan memukul belakang kepala.

“Memang perbuatan itu tidak menyebabkan kecederaan, tetapi seorang pelajar tidak patut berbuat demikian terhadap pelajar lain.

“Kami rela dimarahi, tetapi bukan dipukul di kepala beramai-ramai,” katanya.

APP itu menempatkan tidak lebih 200 pelajar tingkatan satu hingga lima.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Sufa’at Tumin, mengesahkan kejadian berkenaan tetapi tidak mahu mengklasifikasikan kes itu sebagai buli, sebaliknya lebih kepada tindakan mengajar pelajar junior.

Ugut bakar dua anak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Harian metro


KUALA LUMPUR: Akibat bapa gagal menjelaskan hutang, dua beradik perempuan berusia 14 dan 16 tahun dikurung dalam rumah oleh kumpulan samseng upahan along sebelum mengugut membakar mereka hidup-hidup.

Samseng terbabit turut memasang rantai kunci pada pintu jeriji rumah berkenaan selain menyimbah minyak tanah.

Tindakan samseng itu berikutan bapa mangsa yang bekerja sebagai akauntan gagal menjelaskan hutang along berjumlah RM82,000.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas bapa mereka yang ketika itu tiada di rumah, membuat laporan polis.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Tung, 47, berkata kejadian itu berlaku berikutan tindakannya meminjam wang daripada 28 along sejak Oktober 2008.

Ini menyebabkan pangsapurinya di Pandan Indah, Ampang di sini kerap dikunjungi along yang mahu mengutip hutang.

“Sebelum ini, pernah tiga along datang 3 Mac lalu untuk mengutip hutang sebelum bertindak ganas memecahkan semua pasu bunga di hadapan pintu.

“Saya bukan tidak mahu membayar hutang itu, namun kadar bunga yang terlalu tinggi menyebabkan jumlah hutang saya meningkat berlipat kali ganda,” katanya yang berjumpa Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong untuk mendapatkan bantuan, kelmarin.

Bagaimanapun, kata Tung, pada tengah hari, dia menerima SMS daripada seorang along bernama Sam memberitahu dia berada di rumahnya untuk mengutip hutang.

Dia berkata, jam 2 petang, dua anak perempuannya, Sandra, 16, dan Susan, 14, tidak dapat keluar rumah kerana jeriji pintu besi rumah dipasang rantai serta dikunci mangga.

Malah, menurutnya, along sengaja meletakkan gam pada lubang kunci pintu jeriji berkenaan menyebabkan ia tidak boleh dibuka.

“Saya tambah panik apabila seorang anak menghantar SMS memberitahu beberapa lelaki berlegar-legar di luar rumah sambil membawa bungkusan aneh. Kumpulan lelaki terbabit kemudian mencurahkan cecair dalam bungkusan itu yang mengandungi minyak tanah ke rumah kami.

“Kejadian itu menyebabkan dua anak saya ketakutan kerana bimbang along membakar rumah kami,” katanya.

Ching yang dimaklumkan berhubung kejadian itu menghubungi Balai Polis Pandan Indah untuk mendapatkan bantuan membebaskan dua remaja perempuan berkenaan.

Difahamkan, seramai 10 anggota polis diketuai Inspektor Goh Lee Fook dari Balai Polis Pandan Indah, bergegas ke rumah mangsa, namun samseng yang diupah along sudah melarikan diri.

Susulan itu, polis menggunakan alat pemotong besi untuk membuka jeriji pintu berkunci itu sebelum kedua-dua mangsa diselamatkan.

Tung membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah berhubung kejadian cubaan membunuh anaknya, semalam.

Duit gaji dirompak, CEO kena belasah

AMPANG: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) yang hendak membayar gaji pekerjanya disamun dua lelaki sebelum dia dibelasah dengan batang paip dan parang sebaik tiba di pejabatnya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang baru pulang dari mengeluarkan wang di bank, hanya mampu menjerit meminta tolong.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang Sabtu lalu, mangsa yang berusia 48 tahun dikatakan baru pulang dari sebuah bank selepas membuat pengeluaran wang bagi membayar gaji pekerjanya.

Menurutnya, mangsa, yang juga CEO sebuah pusat perubatan, dikatakan memandu kereta sebelum berhenti di hadapan pusat perubatan berkenaan yang terletak di Pandan Indah di sini.

Ketika hendak ke pejabatnya tiba-tiba muncul dua lelaki tidak dikenali menghampirinya sebelum memberitahu mereka hanya mahukan wang dibawa mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek bertindak cuba merampas beg yang dimiliki mangsa.

“Geram dengan tindakan mangsa yang enggan menyerah kalah, suspek bertindak mengeluarkan parang dan batang besi sebelum memukul mangsa bertalu-talu,” katanya.

Sumber Harian metro

Mayat hilang separuh hidung

Oleh Salman Hamat
Harian Metro


RAWANG: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila sebahagian hidungnya dikatakan hilang dipercayai dicantas menggunakan senjata tajam oleh penyerangnya selain turut ditetak enam kali di leher dan muka.

Serangan berkenaan menyebabkan mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian.

Pemeriksaan dijalankan polis di sekitar kawasan kejadian menemui objek dipercayai serpihan gigi mangsa kira-kira 15 meter dari tempat dia ditemui mati dalam keadaan mengiring di sebuah bekas kolam ikan berhampiran tapak taman perumahan Desa Anggun, Batu 21, Jalan Rawang-Batu Arang di sini.

Mayat mangsa dipercayai warga Indonesia itu ditemui pekerja binaan yang menjalankan kerja menimbus kolam berkenaan, kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.

Menurut pekerja terbabit yang enggan dikenali itu, dia pada mulanya menyangka mayat terbabit adalah batang kayu berikutan diselaputi lumpur dan sebahagian lagi berada dalam air.

“Ketika kejadian saya berada kira-kira 20 meter dari tempat mayat itu ditemui. Selepas melihat dari jarak dekat saya tergamam seketika apabila objek disangka batang kayu itu sebenarnya mayat manusia.

“Selepas memaklumkan rakan, saya kemudian menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal di sebuah rumah kongsi berhampiran kawasan kejadian.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mati akibat kecederaan di leher dan muka.

“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan polis gagal menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kami sedang menyiasat motif kejadian. Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang suspek ditahan atau menemui senjata digunakan penjenayah,” katanya.

Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Tuesday, April 7, 2009

Abang tagih aksi sumbang

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Harian Metro



KUALA SELANGOR: Seorang gadis berusia 19 tahun tergamam dan sama sekali tidak menyangka abang kandung yang disayanginya tiba-tiba bertukar menjadi ‘abang setan’ apabila membuat permintaan luar biasa mengajaknya melakukan sumbang mahram.

Malah, mangsa terkedu apabila abang kandungnya meraba seluruh tubuhnya ketika gadis itu membonceng motosikal.

Sumber polis berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa yang baru habis bekerja dijemput abangnya di pekan Kuala Selangor untuk pulang ke rumah mereka di Taman Permai, Jeram.

Menurutnya, suspek berusia awal 20-an membawa adiknya pulang dengan motosikal, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Namun, si abang memberi alasan mengantuk dan meminta adiknya menunggang, manakala dia membonceng.

“Sebaik bertukar tempat duduk, si abang bersandar pada belakang adiknya sebelum memeluk pinggang dan meraba bahagian sulit.

“Mangsa yang terkejut kemudian cuba menghalang, tetapi si abang dikatakan berdegil, malah menyuruh adiknya memberhentikan motosikal sebelum mengajaknya melakukan hubungan seks,” katanya.

Menurutnya, mangsa terkejut dengan perbuatan itu kemudian menampar muka sebelum memarahi abangnya.

“Bagaimanapun, lelaki itu dikatakan mengugut mahu mencederakan adiknya jika perbuatannya didedahkan kepada ahli keluarga.

“Mangsa menceritakan perbuatan buruk abangnya kepada tunangnya sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Susulan laporan itu, polis berusaha mengesan suspek yang dipercayai menyembunyikan diri selepas kejadian berkenaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, sepasang suami isteri terkejut apabila anak perempuan mereka yang dihantar untuk dijaga pengasuhnya disyaki menjadi mangsa cabul.

Sumber polis berkata, kejadian itu hanya disedari ibu mangsa apabila mendapati pakaian anak perempuannya berusia lima tahun berlumuran darah.

Ibu mangsa yang berusia 31 tahun terkejut apabila mendapati seluar dalam anaknya mempunyai tompokan darah selain air kencing.

Wanita berkenaan yang tinggal di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, menunggu anaknya pulang dari rumah neneknya sebelum menyoalnya berulang kali.

“Bagaimanapun, sikap anaknya yang berdiam diri menyebabkan wanita berkenaan berang. Seorang saudara terdekat wanita itu mendedahkan apa yang berlaku selepas mangsa menceritakan kisah dialaminya.

“Mangsa mendakwa dipaksa melakukan seks oral selain dirogol anak lelaki pengasuh berusia 14 tahun,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada suaminya yang bekerja di sebuah sekolah memandu sebelum membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis menahan suspek yang bersekolah di tingkatan dua untuk siasatan lanjut,” katanya.

Seterika panas dera junior

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
Harian metro



RAUB: Tiga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong dekat sini, cedera dipercayai didera menggunakan seterika panas oleh sembilan pelajar senior sekolah berkenaan, akhir bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang hari kejadian, mangsa mendakwa dibuli sembilan pelajar tingkatan dua dan tiga berusia antara 14 hingga 15 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata pemeriksaan di Hospital Raub (HR) mengesahkan terdapat beberapa kesan luka pada badan dan tangan ketiga-tiga mangsa.

Selain itu, menurutnya, mangsa mendakwa dipaksa melakukan kerja berat yang tidak sepatutnya dilakukan seperti menyiram pokok bunga di kawasan asrama sekolah berkenaan.

Katanya, polis percaya ada antara pelajar senior terbabit menekap seterika panas ke badan mangsa.

Beliau yang dihubungi semalam, berkata, sembilan pelajar terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman, berkata kejadian itu terbongkar apabila seorang daripada mangsa membuat laporan bersama keluarganya di Balai Polis Dong, Khamis lalu berhubung penderaan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berpunca akibat pertengkaran antara mangsa dengan pembulinya sebelum membawa kepada pergaduhan.

“Sembilan pelajar senior itu dibebaskan dengan jaminan polis Jumaat lalu dan kertas siasatan kes terbabit akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Budak diliwat rakan bapa

Oleh Ibrahim Isa
Harian Metro



BATU PAHAT: Seorang budak lelaki berusia empat tahun yang ditinggalkan bapanya untuk dijaga seorang rakan di rumahnya di Bukit Pasir, menempuh pengalaman menakutkan apabila dia diliwat lelaki berusia 40 tahun itu.

Suspek yang bekerja sebagai kelindan lori menjadikan budak terbabit sebagai pemuas nafsunya setiap kali rakannya pergi ke kebun dan meninggalkan mangsa di rumah.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki tidak berhati perut itu terbongkar apabila mangsa yang terjaga daripada tidur mengadu sakit dubur kepada bapanya, kira-kira 3.30 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata kanak-kanak itu mengadu kepada bapanya mengenai kesakitannya sebelum menceritakan pengalaman ngerinya ketika dijaga lelaki terbabit.


“Mangsa menceritakan ketika bapanya pergi ke kebun kira-kira jam 2 hingga 5 petang Sabtu lalu, suspek meliwatnya.

“Selain itu, mangsa mendakwa lelaki itu turut menyuruhnya melakukan seks oral,” katanya.

Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Bertindak atas laporan berkenaan, polis memberkas suspek berhampiran sebuah pasar raya besar di sini, kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.

Beliau berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan terhadap kecederaannya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Difahamkan, suspek sering mengambil kesempatan terhadap mangsa ketika mereka ditinggalkan berdua, namun mangsa tidak pernah mengadu kepada bapanya

Bakal pengantin dirogol kenalan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Harian Metro


AMPANG: Penantian seorang wanita untuk menempuh alam perkahwinan tidak lama lagi berakhir dengan mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa rogol kenalannya sendiri di rumah sewa lelaki itu di Pandan Terrace, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa dikatakan sedang menunggu teksi di hadapan rumahnya untuk ke tempat kerja sebelum disapa lelaki berusia 30-an itu yang menawarkan untuk menghantarnya ke tempat kerja.

Menurut sumber, pada mulanya mangsa berusia 20-an, menolak pelawaan pemuda berkenaan sebelum lelaki itu memujuknya dengan bersungguh-sungguh sehingga sanggup untuk turun dari keretanya.

“Mangsa yang termakan pujukan itu mengalah dan menerima pelawaan lelaki berkenaan. Ketika dalam perjalanan, suspek berpura-pura kononnya dia tertinggal beberapa dokumen penting sebelum meminta kebenaran mangsa untuk berpatah balik ke rumahnya,” katanya.

Mangsa yang mula meragui tindakan lelaki itu meminta suspek menghantarnya terlebih dulu ke tempat kerja.

Sumber berkata, suspek enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku pertengkaran kecil antara mereka.

“Mangsa ditampar beberapa kali sehingga pengsan oleh pemuda terbabit sebelum dia dibawa pulang ke rumah lelaki itu,” katanya.

Difahamkan, sebaik tiba di rumah lelaki itu, mangsa yang sedar daripada pengsan cuba melarikan diri, tetapi gagal, sebaliknya dia dirogol lelaki itu berulang kali.

“Disebabkan susuk tubuh lelaki itu yang besar, mangsa tidak mampu melawan dan hanya mampu menjerit meminta pertolongan namun tiada siapa mendengar jeritannya,” katanya.

Katanya, sebaik selesai melempiaskan nafsunya itu, pemuda berkenaan menghantar wanita berkenaan ke tempat kerjanya dan mengugut akan mencederakannya jika menceritakan kejadian itu kepada orang lain.

“Bagaimanapun, mangsa menceritakan kejadian itu kepada kakaknya sebelum mereka berdua membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

“Sumber berkata, mangsa kini trauma dan sedih berikutan peristiwa yang menimpa dirinya kerana dia bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Derita 20 sebatan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
Harian Metro

MERLIMAU: “Saya merayu, jangan ustaz, sakit, tapi dia terus rotan saya tanpa henti. Saya hanya mengetap bibir menahan sakit dan menjerit Allahuakhbar! Allahuakhbar!,” kata Mohamad Norharezal Mohd Faizal, 11, yang mendakwa menjadi mangsa dera guru agamanya, pagi Sabtu lalu.

Pelajar sekolah agama swasta di Muar, dekat sini, itu mendakwa dirotan lebih 20 kali oleh ustaz berusia 40-an itu kerana secara tidak sengaja mencederakan rakannya ketika bermain gunting di surau yang dijadikan kelas mengaji al-Quran.

Akibatnya, anak sulung daripada tiga beradik itu bengkak, lebam serta berbirat pada badan, paha kiri, kaki kiri dan kanan, tangan kiri dan belakang punggungnya.

Menceritakan kejadian itu, Mohamad Norharezal berkata, ustaz memarahinya kerana membuatkan seorang rakan cedera apabila gunting yang dibaling ke dinding melantun lalu mengenai jarinya hingga terluka dan berdarah.

Timbalan Menteri berang - Keluarga mangsa buli pula kecewa sekolah lambat beritahu

Oleh HAFIZ ABBAS dan MAZLINA MAJID
berita@kosmo.com.my

MOHD. HAFIZ menunjukkan kesan lebam didakwa akibat dibuli
menggunakan raket tenis di rumahnya di Kampung Chenua, Raub semalam.


KERATAN Kosmo! semalam.

RAUB - Kami terkilan!
Itu luahan keluarga Mohd. Hafiz Suhermi, 13, yang kecewa kerana pihak sekolah lewat memaklumkan anak mereka salah seorang daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong yang didakwa dibuli pelajar senior 29 Mac lalu.

"Sebagai ibu bapa, kami terkilan kerana lewat diberitahu oleh pihak sekolah mengenai kejadian buli menimpa Hafiz," kata Faridah Daud, 42, di sini semalam.

Tambah Faridah, apa yang lebih melukakan hatinya apabila dia dan suami dinasihatkan oleh pihak sekolah supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis.

"Saya dan suami datang ke sekolah itu pada hari Khamis lalu pun kerana Hafiz jemput kami datang ke majlis perjumpaan yang diadakan. Apabila sampai, barulah kami tahu bahawa dia telah dibuli oleh pelajar senior.

"Tanpa teragak-agak, saya mengambil keputusan membawanya ke Hospital Raub untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub," ceritanya.

Setelah laporan dibuat, Faridah memberitahu, anak sulungnya itu sekali lagi dibawa oleh polis ke Hospital Raub untuk pemeriksaan sebelum disahkan mengalami kecederaan koyak tisu leher.

Mohd. Hafiz mendakwa pada hari kejadian, dia dipukul dengan raket tenis oleh pelajar senior terbabit. Kesannya, Mohd. Hafiz dilaporkan mengalami koyak tisu leher selain cedera di tangan, pinggang dan kaki.

Sementara itu, bapa mangsa, Suhermi Abu Bakar, 39, memberitahu, dia tidak akan melayan permintaan sesetengah keluarga suspek yang memintanya untuk menarik balik laporan dibuat.

Dalam pada itu, Suhermi turut melahirkan kebimbangan kerana anaknya kini seakan-akan dipulaukan di sekolah tersebut selepas insiden berkenaan.

Semalam, akhbar melaporkan, gara-gara enggan mengikut arahan pelajar senior supaya membasuh baju, tiga pelajar junior di SMK Dong telah dibuli dengan ganas.

Berikutan itu, polis bertindak menahan sembilan pelajar berumur dalam lingkungan 14 hingga 16 tahun tersebut kerana dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Kementerian Pelajaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sekolah berkenaan sekiranya terbukti cuai dalam mengawal pelajarnya sehingga tercetusnya gejala buli.

Timbalan Menterinya, Datuk Wee Ka Siong yang berang sebaik dimaklumkan mengarahkan Pengarah Pelajaran Pahang menghantar laporan segera mengenai kejadian itu kepadanya.

"Saya sudah tidak tahan mendengar laporan-laporan sebegini, semakin melampau dan menjadi-jadi.

"Jika laporan yang bakal sampai ke tangan saya kelak mendapati pihak sekolah sama ada pengetua, warden atau guru cuai dalam mengawal pelajarnya, kementerian akan kenakan tindakan kepada mereka," tegasnya ketika dihubungi semalam.

Thursday, April 2, 2009

Nyaris ditetak kerana bunyikan hon kereta

KUALA LUMPUR: Biarpun mengetahui dirinya memasuki laluan bertentangan, seorang lelaki dipercayai pembuli jalan raya ‘naik berang’ dan cuba menetak seorang pemandu kereta menggunakan sebilah pisau pemotong daging semata-mata kerana mangsa membunyikan hon kereta, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari di Jalan Prima Setapak 1 di sini, pembuli terbabit bagaimanapun dapat melepaskan geram apabila menoreh kenderaan mangsa menggunakan pisau berkenaan selepas mendapati mangsa yang ketakutan menyorok dalam kereta.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa yang berusia 30-an, seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di sini, melalui jalan berkenaan sebelum mendapati sebuah motosikal ditunggang lelaki terbabit memasuki jalannya.

“Lelaki itu terpaksa membunyikan hon keretanya menyebabkan penunggang motosikal terbabit seolah-olah tidak berpuas hati dengan tindakannya itu,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang bengang dengan tindakan lelaki terbabit memaki hamunnya memberhentikan kereta di tepi jalan di kawasan berkenaan.

“Namun, lelaki terbabit terus memaki hamun mangsa dan sambil memberitahu dia ‘taiko’ di kawasan itu.

“Lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging berkarat dan mengejar mangsa sehingga dia terpaksa memasuki keretanya semula,” katanya.

Sumber Harian Metro

10 tetakan peragut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

SUBANG JAYA: Seorang wanita yang mengandung lapan bulan ditetak tangan kirinya lebih 10 kali ketika cuba menarik beg tangannya daripada dirampas seorang peragut.

Adelinne Yong Yin Yin, 37, bagaimanapun diselamatkan seorang pembantu rumah jiran yang memukul peragut terbabit sambil menjerit meminta tolong menyebabkan suspek dan rakannya melarikan diri.

Amah berkenaan menggunakan sebatang penyapu sampah untuk memukul peragut itu.

Menceritakan kejadian itu, Adelinne berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi Isnin lalu, dia sedang berjalan keluar dari pintu pagar rumahnya menuju ke kereta yang diletakkan di tepi jalan.

“Saya kemudian merasa beg tangan yang diselitkan di tangan kiri cuba ditarik. Saya berpaling ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang lelaki cuba merampas beg tangan berkenaan.

“Namun, saya menguatkan genggaman pada tali beg tangan itu, tapi disentap penjenayah hingga saya terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurut mangsa, peragut terbabit yang langsung tidak bersuara mengeluarkan parang sebelum menetak tangan kirinya.

“Lelaki itu cuba memutuskan tali beg tangan itu. Apabila gagal, dia menetak tangan kiri saya lebih 10 kali.

“Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang kebetulan sedang menyapu sampah di hadapan rumah jiran datang membantu,” katanya.

Yong yang bertugas sebagai Penolong Pengurus Operasi Hotel Saujana, berkata dia melihat pembantu rumah berkenaan bertindak berani melawan peragut terbabit dengan menggunakan penyapu.

“Kedua-dua peragut terbabit segera melarikan diri sebelum saya dibawa abang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya.

“Doktor yang memberi rawatan memberitahu tetakan peragut terbabit menyebabkan otot dan urat tangan saya cedera. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana bayi yang dikandung selamat selepas melalui pemeriksaan imbasan oleh doktor pakar,” katanya yang turut cedera di dagu akibat diseret peragut.

Sejurus kejadian itu, katanya, pihak hospital memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum seorang anggota datang mengambil gambarnya.

“Pada masa ini, keterangan saya belum diambil walaupun saya berada di wad selama empat hari,” katanya.

Dia berkata, kejadian itu benar-benar membuatnya trauma tambahan pula, suami, Aron, 43, yang bertugas sebagai pengurus sebuah pasar raya berada di luar negara.

Ketika ditemui wartawan Harian Metro semalam, Adeline sempat menyampaikan hadiah peribadi kepada pembantu rumah berkenaan sebagai tanda terima kasih kerana menyelamatkan nyawanya.

Pembantu rumah berkenaan, Anik Lestari, 21, berkata, dia ternampak dua lelaki bermotosikal muncul sebelum seorang daripada mereka menarik wanita sarat mengandung itu hingga terjatuh.

“Saya meluru dengan penyapu sampah untuk memukul mereka sambil menjerit meminta tolong. Pada masa itu, saya langsung tidak sedar mereka membawa parang,” katanya yang berasal dari Surabaya, Indonesia.

Jeritan kuatnya itu menyebabkan peragut terbabit panik lalu melarikan diri.

Dia yang bekerja lebih setahun di negara ini memberitahu, mangsa yang berdarah di tangan kiri dipapah masuk ke kawasan perkarangan rumah sebelum abang mangsa menghantarkannya ke hospital.

Bayi dalam plastik hitam

SEREMBAN: Macam binatang. Itu perumpamaan layak diberikan terhadap manusia durjana yang sanggup meninggalkan seorang bayi perempuan berbalut plastik hitam depan sebuah rumah di Taman Senangin, Senawang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, bayi dipercayai berusia kira-kira sebulan itu ditemui seorang wanita yang keluar untuk membuang sampah depan rumahnya sebelum mendapati sesuatu mencurigakan dalam plastik hitam.

Wanita terbabit yang membuat pemeriksaan terkejut dengan penemuan bayi malang itu membawanya masuk ke dalam rumah sebelum merujuk kepada pihak polis.

Harian Metro difahamkan bayi yang tidak diketahui bangsanya itu tidak menangis ketika ditemui.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata bayi berkenaan dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, untuk tindakan lanjut.

“Polis akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk tindakan lanjut terhadap bayi berkenaan,” katanya.

Sumber Harian Metro

Budak lima tahun dicabul di tadika

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

Kanak-kanak terbabit bersama ibunya selepas mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.

KUALA LUMPUR - Sudah tiga minggu seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ini tidak mahu ke sekolahnya di sebuah tadika di Klang seperti takutkan sesuatu.

Kelakuannya yang pelik itu mula disedari oleh ibunya yang hanya ingin dikenali sebagai Maria walaupun telah beberapa kali dipujuk.

Namun setelah didesak, kanak-kanak itu akhirnya memberitahu, dia takut untuk ke sekolah kerana mendakwa telah dicabul sebanyak dua kali oleh seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu tadika tersebut.

Lebih mengejutkan, menurut kanak-kanak itu lagi, dua lagi rakannya turut menjadi mangsa pembantu tersebut apabila mereka sering dibawa masuk ke sebuah bilik dan wanita tersebut dikatakan telah memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mereka.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada 26 April lalu itu turut dilaporkan ke Balai Polis Kapar bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Besar Klang untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dan telah ditahan di hospital terbabit.

Namun, disebabkan bimbang dengan keadaan kanak-kanak tersebut, kedua-dua ibu bapanya enggan membenarkan pihak hospital menahannya menyebabkan mereka terpaksa kembali berjumpa dengan pegawai polis yang menyiasat kes terbabit.

Apa yang mengejutkan, mereka mendakwa telah diminta untuk membatalkan laporan setelah enggan meneruskan pemeriksaan kesihatan di hospital.

Bagaimanapun, peguam keluarga tersebut menasihati agar mereka membuat laporan semula dan akhirnya pembantu tersebut ditahan reman selama enam hari.