Saturday, April 18, 2009

Nenek dicabul alami trauma

Oleh Abdullah Wahab
Harian Metro


KLANG: Seorang nenek berusia 68 tahun dan rakannya berusia 34 tahun terpaksa menempuh detik hitam apabila menjadi mangsa cabul sebelum dipaksa melakukan seks oral oleh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Raja di sini, semalam.

Malah, lebih menakutkan apabila kejadian itu berlaku hampir tiga jam di ladang terbabit sebelum mangsa ditemui seorang lelaki warga Bangladesh.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, nenek berkenaan bersama rakannya itu menunggu van pekerja di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini sebelum mereka didatangi seorang lelaki menaiki Proton Wira hitam.

Lelaki berusia 30-an terbabit berpura-pura bertanya jalan dan mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa cuba menerangkan lokasi yang dituju lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata lelaki itu kemudian meminta wang daripada mangsa kononnya dia dalam keadaan terdesak, bagaimanapun dua wanita itu tidak mempunyai wang kerana hanya bekerja sebagai pencuci lantai di sebuah syarikat swasta.

“Lelaki terbabit memujuk dan mendesak kedua-dua mangsa supaya masuk dalam kereta kononnya untuk dihantar ke tempat kerja.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa mengikuti arahan lelaki terbabit sebelum lelaki itu membawa mereka mengelilingi bandar Pelabuhan Klang beberapa kali,” katanya di sini, semalam.

Sejurus kemudian, kedua-dua mangsa dibawa semula ke ladang terbabit dan lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau mengugut akan mencederakan mereka sekiranya tidak mengikut arahan.

Mereka dipaksa membuka pakaian sebelum dipaksa melakukan seks oral.

Mohamad, berkata berikutan itu nenek terbabit yang dalam keadaan trauma dan terkejut mengalami tekanan darah tinggi dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak dirogol.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 dan 377 Kanun Keseksaan akibat cabul dan melakukan seks luar tabii,” katanya.

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Rakan Cop di 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

0 comments: