Saturday, April 25, 2009

Penjenayah hilang akal

Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my

PARAH...Rosli ditikam di perut dengan botol kaca ketika
cuba membantu seorang warga emas yang disamun.
PARAH...Rosli ditikam di perut dengan botol kaca ketika
cuba membantu seorang warga emas yang disamun.

KUALA LUMPUR: Hasrat bekas guru cuba membantu lelaki warga emas yang disamun sekumpulan lelaki berakhir dengan tragedi apabila dia ditikam dengan kaca di perutnya.

Dalam kejadian 6.45 pagi semalam, Rosli Daud, 49, cedera parah berikutan serpihan kaca tertinggal di dalam perut.

Mangsa yang ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam berkata, ketika kejadian dia berjalan menghantar isterinya, Sumarni Sab’at, 40, ke tempat kerja berhampiran Taman Sri Rampai, Setapak Jaya, di sini.

Menurutnya, ketika itu dia melihat lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an dalam keadaan berlumuran darah di samping dua lelaki bertubuh besar.


Menurutnya, dia yang simpati kemudian meminta penjenayah berkenaan melepaskan warga emas itu yang dipercayai baru disamun dan dipukul.

“Bagaimanapun, seorang daripada penjenayah itu meluru ke arah saya sebelum melepaskan tumbukan tepat ke muka. Akibat tumbukan itu, saya hilang imbangan dan kepala saya turut diketuk dengan botol, menyebabkan saya jatuh.

“Ketika itu seorang lagi penjenayah mengambil serpihan kaca botol itu lalu menikam perut saya. Dalam keadaan darah memancut, saya dan isteri sempat melarikan diri ke kawasan masjid berhampiran.

“Ketika itu saya hanya mampu menutup luka di perut dengan tangan,” katanya.

Rosli berkata, ketika itu lalu seorang lelaki menunggang motosikal bertanya apa berlaku sebelum isteri saya memberitahu mereka diserang.

“Lelaki berkenaan kemudian mencari suspek yang menyerang saya. Malangnya, dia turut dipukul di kepala dengan kayu sebelum motosikal ditunggangnya dilarikan penjenayah.

“Beberapa lelaki lain yang turut ada di masjid kemudian menghantar saya menaiki van ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan jam 7.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Sumarni berkata, kecederaan parah dialami suaminya menyebabkan dia panik dan terkejut kerana penjenayah seolah-olah hilang akal.

“Saya bersyukur kerana pembedahan segera dibuat bagi membuang kaca di dalam perutnya selain menjahit luka itu. Keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya yang membuat laporan polis di pondok polis HKL.

0 comments: