Wednesday, April 8, 2009

Pukul kepala junior denda asrama kotor

Harian Metro

JOHOR BAHRU: Gara-gara bilik asrama mereka dikatakan kotor, sekumpulan pelajar junior di Sekolah Menengah Tasek Utara (SMTU) di sini, malam kelmarin mendakwa dipukul di belakang kepala mereka oleh beberapa senior sebagai denda.

Dalam kejadian dipercayai kira-kira jam 10 malam itu, pelajar tingkatan satu hingga tiga itu dipanggil ke bilik beberapa pelajar tingkatan lima di Asrama Pusat Putera (APP) di Jalan Tasek, di sini.

Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, dia bersama 20 rakannya diminta beratur sebelum seorang pelajar senior itu menengking dan memukul belakang kepala.

“Memang perbuatan itu tidak menyebabkan kecederaan, tetapi seorang pelajar tidak patut berbuat demikian terhadap pelajar lain.

“Kami rela dimarahi, tetapi bukan dipukul di kepala beramai-ramai,” katanya.

APP itu menempatkan tidak lebih 200 pelajar tingkatan satu hingga lima.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Sufa’at Tumin, mengesahkan kejadian berkenaan tetapi tidak mahu mengklasifikasikan kes itu sebagai buli, sebaliknya lebih kepada tindakan mengajar pelajar junior.

0 comments: