Tuesday, April 7, 2009

Budak diliwat rakan bapa

Oleh Ibrahim Isa
Harian Metro



BATU PAHAT: Seorang budak lelaki berusia empat tahun yang ditinggalkan bapanya untuk dijaga seorang rakan di rumahnya di Bukit Pasir, menempuh pengalaman menakutkan apabila dia diliwat lelaki berusia 40 tahun itu.

Suspek yang bekerja sebagai kelindan lori menjadikan budak terbabit sebagai pemuas nafsunya setiap kali rakannya pergi ke kebun dan meninggalkan mangsa di rumah.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki tidak berhati perut itu terbongkar apabila mangsa yang terjaga daripada tidur mengadu sakit dubur kepada bapanya, kira-kira 3.30 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata kanak-kanak itu mengadu kepada bapanya mengenai kesakitannya sebelum menceritakan pengalaman ngerinya ketika dijaga lelaki terbabit.


“Mangsa menceritakan ketika bapanya pergi ke kebun kira-kira jam 2 hingga 5 petang Sabtu lalu, suspek meliwatnya.

“Selain itu, mangsa mendakwa lelaki itu turut menyuruhnya melakukan seks oral,” katanya.

Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Bertindak atas laporan berkenaan, polis memberkas suspek berhampiran sebuah pasar raya besar di sini, kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.

Beliau berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan terhadap kecederaannya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Difahamkan, suspek sering mengambil kesempatan terhadap mangsa ketika mereka ditinggalkan berdua, namun mangsa tidak pernah mengadu kepada bapanya

0 comments: