Saturday, April 11, 2009

Parang di leher

Oleh SALMAN HAMAT
Harian Metro



PETALING JAYA: Bimbang nyawanya melayang, seorang peniaga hanya mampu menurut arahan empat perompak yang meletakkan parang panjang di lehernya sebelum melarikan wang tunai RM4,300.

Menceritakan semula saat paling menakutkan dalam hidupnya yang berlaku pada jam 2.30 pagi Khamis lalu, di bawah jejambat Lebuhraya Persekutuan berhampiran Bandar Sunway, di sini, Idris Sapian, 50, berkata ketika kejadian dia berhenti untuk membuang air kecil.

Ketika kejadian, dia memandu seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 14, di sini, selepas selesai urusan perniagaan di Klang.

Katanya, ketika berjalan ke kereta sebaik selesai membuang air kecil, dia didatangi empat lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana yang terus meluru ke arahnya.

“Saya mula terfikir mereka adalah perompak dan segera berlari masuk ke dalam kereta. Bagaimanapun, melihat saya cuba menghidupkan enjin, seorang daripada mereka membaling seketul bata, menyebabkan cermin tingkap sebelah penumpang depan pecah.

“Kerana tidak sempat mengelak, tangan kiri saya cedera terkena serpihan kaca dan bata terbabit. Dua daripada perompak yang bersenjatakan parang panjang menarik saya keluar dari kereta dan memberi amaran supaya jangan melawan jika mahu selamat,” katanya.

Idris berkata, penjenayah terbabit bertindak ganas apabila dikatakan memotong poket seluar untuk mendapatkan dompet miliknya, selain memegang kunci keretanya.

“Ketika dua suspek memegang saya, seorang lagi rakannya sibuk menggeledah kereta untuk mencari barang berharga, termasuk wang tunai,” katanya.

Menurut Idris, selepas berpuas hati dengan hasil rompakan itu, empat lelaki terbabit terus beredar dengan melarikan kunci keretanya.

Katanya, dia kemudian menghubungi isterinya untuk memaklumkan kejadian sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way dan mendapatkan rawatan berikutan kecederaan di lengan kiri.

0 comments: