Thursday, April 2, 2009

10 tetakan peragut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

SUBANG JAYA: Seorang wanita yang mengandung lapan bulan ditetak tangan kirinya lebih 10 kali ketika cuba menarik beg tangannya daripada dirampas seorang peragut.

Adelinne Yong Yin Yin, 37, bagaimanapun diselamatkan seorang pembantu rumah jiran yang memukul peragut terbabit sambil menjerit meminta tolong menyebabkan suspek dan rakannya melarikan diri.

Amah berkenaan menggunakan sebatang penyapu sampah untuk memukul peragut itu.

Menceritakan kejadian itu, Adelinne berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi Isnin lalu, dia sedang berjalan keluar dari pintu pagar rumahnya menuju ke kereta yang diletakkan di tepi jalan.

“Saya kemudian merasa beg tangan yang diselitkan di tangan kiri cuba ditarik. Saya berpaling ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang lelaki cuba merampas beg tangan berkenaan.

“Namun, saya menguatkan genggaman pada tali beg tangan itu, tapi disentap penjenayah hingga saya terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurut mangsa, peragut terbabit yang langsung tidak bersuara mengeluarkan parang sebelum menetak tangan kirinya.

“Lelaki itu cuba memutuskan tali beg tangan itu. Apabila gagal, dia menetak tangan kiri saya lebih 10 kali.

“Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang kebetulan sedang menyapu sampah di hadapan rumah jiran datang membantu,” katanya.

Yong yang bertugas sebagai Penolong Pengurus Operasi Hotel Saujana, berkata dia melihat pembantu rumah berkenaan bertindak berani melawan peragut terbabit dengan menggunakan penyapu.

“Kedua-dua peragut terbabit segera melarikan diri sebelum saya dibawa abang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya.

“Doktor yang memberi rawatan memberitahu tetakan peragut terbabit menyebabkan otot dan urat tangan saya cedera. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana bayi yang dikandung selamat selepas melalui pemeriksaan imbasan oleh doktor pakar,” katanya yang turut cedera di dagu akibat diseret peragut.

Sejurus kejadian itu, katanya, pihak hospital memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum seorang anggota datang mengambil gambarnya.

“Pada masa ini, keterangan saya belum diambil walaupun saya berada di wad selama empat hari,” katanya.

Dia berkata, kejadian itu benar-benar membuatnya trauma tambahan pula, suami, Aron, 43, yang bertugas sebagai pengurus sebuah pasar raya berada di luar negara.

Ketika ditemui wartawan Harian Metro semalam, Adeline sempat menyampaikan hadiah peribadi kepada pembantu rumah berkenaan sebagai tanda terima kasih kerana menyelamatkan nyawanya.

Pembantu rumah berkenaan, Anik Lestari, 21, berkata, dia ternampak dua lelaki bermotosikal muncul sebelum seorang daripada mereka menarik wanita sarat mengandung itu hingga terjatuh.

“Saya meluru dengan penyapu sampah untuk memukul mereka sambil menjerit meminta tolong. Pada masa itu, saya langsung tidak sedar mereka membawa parang,” katanya yang berasal dari Surabaya, Indonesia.

Jeritan kuatnya itu menyebabkan peragut terbabit panik lalu melarikan diri.

Dia yang bekerja lebih setahun di negara ini memberitahu, mangsa yang berdarah di tangan kiri dipapah masuk ke kawasan perkarangan rumah sebelum abang mangsa menghantarkannya ke hospital.

0 comments: