Saturday, April 18, 2009

Cabul umpan anak sakit

KAJANG: Menggunakan anaknya berusia tiga tahun sebagai umpan selain berpura-pura tidak mengetahui jalan, seorang lelaki cuba menjadikan seorang pelajar berusia 14 tahun sebagai mangsa pemuas nafsunya ketika gadis itu menunggu bas untuk ke sekolah di Bandar Baru Bangi, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa dihampiri lelaki terbabit yang kononnya mendakwa tidak mengetahui jalan sebelum memintanya menunjukkan arah.

Difahamkan, mangsa pada mulanya agak keberatan, namun rayuan lelaki itu yang mengatakan anaknya dalam kesakitan dan tidur di kerusi belakang kereta membuatkan mangsa akur permintaannya.

Lelaki itu juga mendakwa dia tidak berniat buruk dan mahu menghantar anaknya yang sakit itu ke rumah saudaranya di Jalan Reko, namun tidak mengetahui arah.

Difahamkan, mangsa mengekori lelaki itu ke keretanya dan selepas memastikan anak lelaki terbabit berada dalam kereta, mangsa bersetuju mengikutnya.

Namun, ketika dalam perjalanan, lelaki itu tiba-tiba memberhentikan kereta dan mengeluarkan pisau sebelum mengugut mangsa supaya mengikut arahannya.

Menurut sumber, lelaki itu mencabul mangsa dengan meramas buah dadanya.

“Lelaki itu turut cuba merogol mangsa, tetapi terbantut apabila mendapati mangsa dalam keadaan haid.

“Selepas itu, lelaki terbabit meninggalkan mangsa di tepi jalan dan terus memecut keretanya,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 30-an menaiki kereta Perodua Kelisa biru, namun nombor pendaftaran kenderaan itu gagal diperoleh mangsa.

“Selain itu, polis turut mengesan seorang saksi yang ternampak kejadian itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas dia mencabul seorang kanak-kanak berusia lima tahun dengan memasukkan jari ke kemaluan mangsa.

Menurut sumber, kanak-kanak terbabit dihantar ke rumah pengasuh oleh keluarganya di Kajang, namun perubahan sikap mangsa yang enggan dihantar ke situ membuatkan ibunya mengesyaki sesuatu.

“Ibu kanak-kanak itu yang membuat pemeriksaan terkejut apabila kemaluan anaknya didapati mempunyai kesan lebam dan sukar membuang air kecil.

“Dia membawa anaknya itu menjalani pemeriksaan di hospital dan laporan menunjukkan yang kemaluan kanak-kanak itu mempunyai kesan tusukan,” katanya.

Sumber berkata, selepas didesak, anaknya menceritakan yang kemaluannya itu sering dijolok dengan jari oleh seorang lelaki ketika berada di rumah pengasuh.

“Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan seorang lelaki yang juga suami kepada pengasuh terbabit ditahan bagi membantu siasatan, kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dalam dua kes terbabit dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

0 comments: