Monday, April 20, 2009

Dua wanita ‘mata puaka’ kebas barang kemas RM12,000

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh tidak sampai seminit, seorang suri rumah mendakwa dipukau menggunakan ilmu ‘mata puaka’ beberapa wanita tidak dikenali hingga menyebabkan mangsa hilang ingatan lalu menyerahkan semua barang berharga dimiliki secara sukarela.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30 tahun mendakwa dipukau selepas ditenung dan ditegur dua wanita yang mendekatinya ketika itu dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari tadika.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang menunggu anaknya yang masih mengikuti pembelajaran di sebuah tadika di Vista Damansara, di sini.

Menurutnya, mangsa yang berdiri di kaki lima kedai tiba-tiba dihampiri dua wanita tidak dikenali yang menyapa dari arah belakang.

“Seorang daripada wanita terbabit menegur mangsa sambil bertanya sama ada mangsa mengenalinya sebelum ini selain turut merenung mata mangsa.

“Sebaik pertanyaan itu diajukan, mangsa yang ditenung mendakwa tiba-tiba hilang ingatan dan tidak sedar apa yang berlaku pada dirinya,” katanya.

Menurutnya, dua wanita terbabit dipercayai mengarahkan mangsa pulang ke rumah dan mengambil semua barang kemas dimiliki.

“Mangsa yang dipukau kemudian segera pulang ke rumahnya di Damansara Damai sebelum mengambil semua barang kemas seperti cincin dan rantai emas yang disimpan dalam bilik tidur.

“Selepas mengumpul semua barang berharga dimiliki itu, mangsa dikatakan memandu kenderaannya menuju ke sebuah kedai serbaneka 24 jam yang terletak di sebuah stesen minyak di Damansara Damai,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menyerahkan semua barang kemas miliknya yang bernilai RM12,000 kepada kedua-dua penjenayah wanita terbabit yang kemudian segera menghilangkan dari lokasi kejadian.

“Difahamkan mangsa hanya tersedar dipukau beberapa minit selepas suspek meninggalkannya. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Damansara,” katanya.

Kejadian pukau itu kes terbaru selepas seorang gadis berusia 24 tahun menjadi mangsa perbuatan itu apabila dipukau seorang lelaki yang berpura-pura bertanya jalan pada mangsa sebelum melarikan telefon bimbit dan wang tunai mangsa.

Sumber Harian Metro

0 comments: