Sunday, April 19, 2009

Penyamun tak faham bahasa

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Gara-gara tidak fasih berbahasa Melayu, seorang pelajar mengalami pengalaman menakutkan dalam hidupnya hingga terpaksa berpura-pura pengsan sebelum dilepaskan sekumpulan enam penyamun ketika disamun dalam perjalanan pulang dari sekolahnya.

Ini kerana pelajar terbabit dikatakan cuba merayu tetapi rayuannya dipercayai tidak difahami kumpulan penjenayah terbabit, menyebabkannya terus dipukul sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

Bapa mangsa, Lai Eng Hee, 42, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9 malam pada 15 Mac lalu, anaknya, Lai Sin Fei, 18 dan seorang rakannya menunggu bas berhampiran sebuah sekolah menengah di Stulang Laut, di sini.

Menurutnya, tiba-tiba sebuah van berhenti di depan anaknya sebelum dua lelaki turun dan menarik remaja itu ke dalam kenderaan itu.

“Rakan anak saya lari meninggalkan kawasan itu manakala anak saya terpaksa menuruti kehendak dua lelaki yang menariknya ke dalam van.


“Apabila di dalam van, dia mendapati ada enam lelaki, iaitu dua duduk di depan dan empat di belakang.

“Mereka mengatakan sesuatu kepada anak saya tetapi dia tidak faham, menyebabkan empat lelaki berkenaan memukul kepala dan badannya,” katanya ketika ditemui semalam.

Lai berkata, anaknya kemudian menyerahkan semua barangan berharga dan dompet kepada lelaki itu, selepas mereka berulang kali mengatakan sesuatu kepadanya.

Katanya, anaknya yang tidak fasih bahasa Melayu cuba merayu dan bertutur dalam bahasa Inggeris dan Cina, malangnya kumpulan lelaki terbabit pula tidak faham percakapan anaknya.

Menurutnya, selepas ditumbuk dan ditendang berulang kali, anaknya berpura-pura pengsan kerana bimbangkan keselamatannya.

“Melihat dia ‘pengsan’, kumpulan lelaki berkenaan memberhentikan van dan meninggalkan anak saya di tepi jalan di kawasan berhampiran.

“Selepas memastikan keadaan selamat, baru anak saya meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi saya.

“Kejadian itu menyebabkan anak saya kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, kad mesin juruwang automatik (ATM), kad sekolah, wang tunai sebanyak RM40, telefon bimbit, pakaian sekolah dan peralatan lukisan,” katanya.

Lai berkata, berikutan itu dia membuat laporan di Balai Polis Sentral pada 16 Mac lalu dan berharap polis dapat menjejaki kumpulan penyamun berkenaan.

Menurutnya, anaknya masih cedera di kepala, tangan serta kaki dan bimbang kejadian sama berulang kepada pelajar lain di kawasan itu.

“Kumpulan penyamun terbabit nampaknya nekad dan kejam kerana terus menarik anak saya ke dalam van sebelum membelasahnya untuk mendapatkan barangan berharga.

“Nasib baik anak saya lelaki dan terfikir untuk berpura-pura pengsan... saya tidak tahu apa akan jadi jika anak saya perempuan,” katanya.

0 comments: