Wednesday, April 22, 2009

Pelajar kolej diugut dengan pistol jadi habuan dua lelaki ‘lalok’

Sumber Harian Metro

SUBANG JAYA: Bimbang dengan ugutan ditembak mati dengan pistol dari jarak dekat, seorang gadis yang juga penuntut kolej swasta terpaksa merelakan dirinya diperkosa bergilir-gilir sebelum dirompak dua penjenayah ‘lalok’ yang khayal di bawah pengaruh dadah.

Dalam kejadian tragis itu, mangsa yang berusia 17 tahun turut diculik lebih dua jam oleh suspek yang dikesan berkeliaran mencari mangsa menggunakan Perodua Kancil.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun dikatakan memandu kereta bersendirian sebelum memasuki kawasan meletak kenderaan tidak jauh dari bangunan kolejnya itu.

Menurutnya, mangsa ketika itu masih berada dalam kenderaan dihampiri dua lelaki yang menaiki Perodua Kancil.


“Suspek yang memberhentikan kenderaan tidak jauh daripada kereta mangsa kemudian mendekatinya yang ketika itu baru membuka pintu kereta.

“Pada masa sama, seorang daripada suspek mengeluarkan sepucuk pistol sebelum mengacukannya ke arah mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tergamam dengan kejadian itu ditarik masuk ke dalam kereta suspek sebelum dilarikan dari kawasan itu.

Difahamkan, mangsa penuntut baru di kolej itu dilarikan sejauh kira-kira dua kilometer sehingga sampai di sekitar kawasan Puchong, dekat sini.

“Sebaik sampai di kawasan terbabit, mangsa diarah masuk ke sebuah rumah kedai. Mangsa kemudian diperkosa bergilir-gilir oleh suspek yang berusia sekitar 20-an dan 40-an.

“Selepas puas memperkosa mangsa, suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan semua barang berharga dimiliki termasuk wang dan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, penjenayah bagaimanapun tidak puas hati dengan jumlah rompakan yang terlalu kecil sebelum mengugut mangsa supaya membuat pengeluaran wang di bank.

“Mangsa dibawa suspek menuju ke sebuah mesin juruwang automatik (ATM) sebelum diarah membuat pengeluaran wang menggunakan kad ATM.

“Mangsa kemudian menyerahkan wang simpanannya berjumlah lebih RM1,000 kepada suspek sebelum dibawa menaiki Perodua Kancil ke destinasi tidak dinyatakan,” katanya.

Difahamkan, mangsa ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu sebelum mangsa menghubungi keluarga bagi meminta bantuan.

0 comments: