Monday, April 20, 2009

Budak tiga tahun sendirian tepi sungai cuba diliwat

KUALA TERENGGANU: Polis memburu seorang lelaki dipercayai cuba menculik dan meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun selepas melarikannya dari rumahnya di Kampung Buluh Hilir, Bandar Permaisuri, Setiu, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Sheikh Othman Abdul Hamid, berkata mangsa didapati hilang kira-kira jam 5.20 pagi pada 11 April lalu selepas tidur bersama ibunya dan tiga kakaknya berusia antara enam hingga 10 tahun di ruang tamu rumah mereka.

“Ketika kejadian ayah mangsa tiada di rumah. Ibu mangsa berusia 37 tahun yang nyenyak tidur tiba-tiba terjaga mendengar tangisan anaknya, bagaimanapun terkejut mendapati dia hilang.

“Ibu mangsa bergegas ke dapur dan mendapati pintu terbuka, sementara tingkap dapur pecah diceroboh seseorang untuk memasuki rumahnya,” katanya.

Menurutnya, selepas pemeriksaan wanita itu mendapati seluar panjang dan lampin pakai buang mangsa dibuang suspek di lantai dapur rumahnya.

“Ibu mangsa mengejutkan jiran berdekatan sebelum bersama mencari mangsa tetapi usaha mereka gagal.

“Wanita yang cemas itu membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Permaisuri, dekat sini, pada jam 6.20 pagi hari sama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sheikh Othman berkata, ketika memberi keterangan di balai polis berkenaan, seorang penduduk kampung datang memberitahu ibu mangsa menemui anaknya di tepi sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 7.20 pagi.

Beliau berkata, budak itu ditemui memakai tuala kecil dan berjalan bersendirian di tebing sungai berkenaan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut selama dua hari di hospital berkenaan mendapati doktor mengesahkan terdapat kesan merah pada kemaluan mangsa sementara duburnya mengalami luka kecil,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Sekyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menculik dan Seksyen 377C/511 kerana cubaan meliwat.

Sehingga semalam, suspek belum dapat dikesan tetapi percaya polis akan dapat menahannya dalam masa terdekat.

0 comments: