Wednesday, April 8, 2009

Ugut bakar dua anak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Harian metro


KUALA LUMPUR: Akibat bapa gagal menjelaskan hutang, dua beradik perempuan berusia 14 dan 16 tahun dikurung dalam rumah oleh kumpulan samseng upahan along sebelum mengugut membakar mereka hidup-hidup.

Samseng terbabit turut memasang rantai kunci pada pintu jeriji rumah berkenaan selain menyimbah minyak tanah.

Tindakan samseng itu berikutan bapa mangsa yang bekerja sebagai akauntan gagal menjelaskan hutang along berjumlah RM82,000.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas bapa mereka yang ketika itu tiada di rumah, membuat laporan polis.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Tung, 47, berkata kejadian itu berlaku berikutan tindakannya meminjam wang daripada 28 along sejak Oktober 2008.

Ini menyebabkan pangsapurinya di Pandan Indah, Ampang di sini kerap dikunjungi along yang mahu mengutip hutang.

“Sebelum ini, pernah tiga along datang 3 Mac lalu untuk mengutip hutang sebelum bertindak ganas memecahkan semua pasu bunga di hadapan pintu.

“Saya bukan tidak mahu membayar hutang itu, namun kadar bunga yang terlalu tinggi menyebabkan jumlah hutang saya meningkat berlipat kali ganda,” katanya yang berjumpa Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong untuk mendapatkan bantuan, kelmarin.

Bagaimanapun, kata Tung, pada tengah hari, dia menerima SMS daripada seorang along bernama Sam memberitahu dia berada di rumahnya untuk mengutip hutang.

Dia berkata, jam 2 petang, dua anak perempuannya, Sandra, 16, dan Susan, 14, tidak dapat keluar rumah kerana jeriji pintu besi rumah dipasang rantai serta dikunci mangga.

Malah, menurutnya, along sengaja meletakkan gam pada lubang kunci pintu jeriji berkenaan menyebabkan ia tidak boleh dibuka.

“Saya tambah panik apabila seorang anak menghantar SMS memberitahu beberapa lelaki berlegar-legar di luar rumah sambil membawa bungkusan aneh. Kumpulan lelaki terbabit kemudian mencurahkan cecair dalam bungkusan itu yang mengandungi minyak tanah ke rumah kami.

“Kejadian itu menyebabkan dua anak saya ketakutan kerana bimbang along membakar rumah kami,” katanya.

Ching yang dimaklumkan berhubung kejadian itu menghubungi Balai Polis Pandan Indah untuk mendapatkan bantuan membebaskan dua remaja perempuan berkenaan.

Difahamkan, seramai 10 anggota polis diketuai Inspektor Goh Lee Fook dari Balai Polis Pandan Indah, bergegas ke rumah mangsa, namun samseng yang diupah along sudah melarikan diri.

Susulan itu, polis menggunakan alat pemotong besi untuk membuka jeriji pintu berkunci itu sebelum kedua-dua mangsa diselamatkan.

Tung membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah berhubung kejadian cubaan membunuh anaknya, semalam.

0 comments: