Sunday, April 19, 2009

Diserang kerana dendam

Oleh SARAH ZULKIFLI
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang pekerja binaan lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila ditetak berkali-kali dari belakang menggunakan senjata tajam oleh kumpulan lelaki yang menyerangnya sehingga menyebabkan ususnya terburai, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa dipercayai warga Indonesia dikenali sebagai Astafi, lewat 30-an, dikatakan melepa siling di tingkat atas tapak pembinaan taman perumahan mewah di Kiara View Mont Kiara, di sini apabila diserang sekumpulan lelaki dari arah belakang.

Mangsa yang cedera parah akibat serangan itu dikatakan turun ke bawah bangunan tapak pembinaan bagi mendapatkan bantuan sebelum ditemui rakan sekerjanya yang segera menghubungi pihak berkuasa.

Beberapa pekerja itu dikatakan cuba menyelamatkan mangsa yang masih hidup, namun keadaan tempat kejadian menyukarkan mereka berbuat demikian.

Rakan mangsa terpaksa menggunakan jengkaut untuk membawanya ke pejabat bagi bantuan kecemasan sebelum semuanya bertempiaran lari sebaik polis tiba di tempat kejadian.

Bagaimanapun, mangsa mati di tempat kejadian ketika menunggu ambulans tiba.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abd Bari Wan Abdul Khalid, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam.

“Polis masih menjalankan siasatan terperinci dan tidak menolak kemungkinan dendam dipercayai motif mangsa dibunuh.

“Ketika polis datang melakukan siasatan di tempat kejadian, beberapa pekerja binaan melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Wan Abd Bari berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Polis meminta sesiapa yang ada maklumat mengenai kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Tony Lunggan di talian 014-6225262 atau hubungi Rakan Cop di talian 03-21159999.

0 comments: