Wednesday, April 8, 2009

Mayat hilang separuh hidung

Oleh Salman Hamat
Harian Metro


RAWANG: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila sebahagian hidungnya dikatakan hilang dipercayai dicantas menggunakan senjata tajam oleh penyerangnya selain turut ditetak enam kali di leher dan muka.

Serangan berkenaan menyebabkan mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian.

Pemeriksaan dijalankan polis di sekitar kawasan kejadian menemui objek dipercayai serpihan gigi mangsa kira-kira 15 meter dari tempat dia ditemui mati dalam keadaan mengiring di sebuah bekas kolam ikan berhampiran tapak taman perumahan Desa Anggun, Batu 21, Jalan Rawang-Batu Arang di sini.

Mayat mangsa dipercayai warga Indonesia itu ditemui pekerja binaan yang menjalankan kerja menimbus kolam berkenaan, kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.

Menurut pekerja terbabit yang enggan dikenali itu, dia pada mulanya menyangka mayat terbabit adalah batang kayu berikutan diselaputi lumpur dan sebahagian lagi berada dalam air.

“Ketika kejadian saya berada kira-kira 20 meter dari tempat mayat itu ditemui. Selepas melihat dari jarak dekat saya tergamam seketika apabila objek disangka batang kayu itu sebenarnya mayat manusia.

“Selepas memaklumkan rakan, saya kemudian menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal di sebuah rumah kongsi berhampiran kawasan kejadian.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mati akibat kecederaan di leher dan muka.

“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan polis gagal menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kami sedang menyiasat motif kejadian. Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang suspek ditahan atau menemui senjata digunakan penjenayah,” katanya.

Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

0 comments: