Monday, April 20, 2009

Suami cemburu suntik dadah

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my

SEREMBAN: Bahana cemburu gila, seorang suami tergamak menyuntik dadah pada isterinya bagi mengelak wanita itu terlalu aktif dan keluar rumah.

Bagaimanapun, tindakan gila lelaki terbabit bukan saja menyebabkan si isteri menderita, malah menjadi ketagihan dadah.

Isteri yang menjadi mangsa kekejaman suaminya itu memiliki rupa paras yang cantik menyebabkan lelaki terbabit tidak dapat menahan cemburu hingga tergamak melakukan perbuatan itu.

Kejadian malang menimpa wanita itu antara beberapa kes ‘pelik’ yang dilaporkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).


Penasihat Undang-Undang KPWKM, Ahmad Razif Mohd Sidek, berkata tindakan itu dilakukan lelaki berkenaan untuk mengongkong isterinya daripada keluar rumah menemui rakan, terutama lelaki.

Beliau berkata, lelaki terbabit sanggup menyuntik dadah ke tubuh isterinya kerana tidak mahu wanita itu terlampau aktif.

“Perbuatan itu bagaimanapun membuatkan isterinya gian dadah. Kami menerima laporan kes suami menyuntik dadah ke tubuh isterinya daripada ahli keluarga mangsa.

“Disebabkan di luar bidang kuasa KPWKM untuk mengendalikan kes itu, ia dirujuk kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan,” katanya dalam ceramah mengenai Definisi Keganasan dan Undang-Undang Berkaitan pada Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam kes berasingan, seorang suami menggunakan taktik menabur tepung di depan rumah sebelum keluar bekerja.

“Dia berbuat demikian bagi mengesan tapak kaki isterinya atau ada orang lain datang ke rumahnya ketika ketiadaannya.

“Dalam kes itu, kami memanggil pasangan suami isteri terbabit menjalani sesi kaunseling,” katanya.

Menurut Ahmad Razif, pihaknya turut menerima aduan mengenai isteri yang dikurung suami disebabkan sikapnya yang cemburu.

Wanita itu dikurung bagi mengelak dia keluar ketika suami tiada di rumah.

Ketiga-tiga aduan terbabit antara kes diklasifikasi sebagai penderaan fizikal dan emosi, selain penderaan fizikal seperti menampar, menumbuk dan menendang.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak tersalah tafsir keganasan hanyalah berlaku dalam bentuk fizikal saja,” katanya.

Beliau berkata, keganasan juga boleh berlaku dalam bentuk mental dan emosi yang kesannya lebih bahaya dan berpanjangan.

“Secara purata kami menerima dua kes membabitkan keganasan rumah tangga dalam sebulan dan percaya ada kes yang tidak dilaporkan.

“Isteri tidak melaporkan perbuatan itu disebabkan beberapa faktor, termasuk tidak mempunyai kesedaran dan bimbangkan masa depan,” katanya.

0 comments: