Wednesday, April 22, 2009

Sekolah dibakar

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Sukar dipercayai apabila sekumpulan penyamun yang gagal membuka peti besi simpanan sebuah sekolah di Sri Muda di sini, bertindak membakar pejabat sekolah, sekali gus menyebabkan dokumen penting hangus terbakar.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin itu, empat penyamun dipercayai memasuki perkarangan sekolah dan mengikat dua pengawal keselamatan sebelum naik ke tingkat satu.

Sejurus kemudian mereka cuba membuka peti simpanan, namun percubaan beberapa kali penyamun terbabit gagal menyebabkan mereka membakar pejabat itu sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata polis menerima laporan jam 7.05 pagi sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bergegas ke tempat kejadian.“Siasatan awal tidak menemui sebarang peralatan yang digunakan untuk membakar pejabat itu.

“Kita sedang menyiasat punca kejadian dan akan mengambil keterangan daripada dua pengawal keselamatan untuk mengesan suspek,” katanya, semalam.

Difahamkan, dua pengawal keselamatan sekolah itu berjaya melepaskan ikatan selepas lebih dua jam sebelum menghubungi polis.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati kesan terbakar jelas kelihatan dengan ratusan fail penting dan peralatan pejabat hangus dijilat api.

Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa sekolah berkenaan bermasalah kerana kebanyakan pelajarnya dilaporkan pernah merosakkan kenderaan guru dan harta benda sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Dr Zahri Aziz ketika dihubungi berkata, kumpulan penyamun itu membakar fail yang dipercayai mengandungi maklumat peribadi pelajar termasuk disiplin.

“Saya ke sekolah berkenaan pada hari kejadian bersama polis. Tinjauan saya di tempat kejadian pada hari sama mendapati tidak semua fail terbakar.

“Jumlah wang yang disimpan dalam peti besi juga tidak diketahui, namun mengikut peraturan Jabatan Pelajaran, sekolah tidak dibenarkan menyimpan lebih RM500,” katanya.

Ditanya sama ada guru mengesyaki pelajar berhubung kejadian itu, Dr Zahri berkata perkara itu dalam siasatan polis dan beliau tidak berani syak sesiapa.

“Jabatan Pelajaran juga belum menerima sebarang laporan daripada pihak sekolah mengenai masalah disiplin manakala guru juga masih mampu mengawal keadaan di sekolah,” katanya.

0 comments: