Saturday, April 18, 2009

Henti belasah hormat azan

Oleh Zulfa Mohamad



KEPALA BATAS: Sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah agama di Bukit Mertajam yang bertindak membelasah seorang bekas pelajar sekolah itu sempat berhenti sekejap bagi menghormati azan solat Asar sebelum menyambung semula ‘tugas’ mereka sehingga menyebabkan mangsa pitam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang Rabu lalu apabila mangsa, Muhammad I’rfan Taufiq, 15, dipanggil naik ke tingkat atas asrama sekolah itu sebelum ditumbuk, ditendang serta dibaling dengan baldi dan kasut oleh sekumpulan kira-kira 13 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima sekolah berkenaan.

Puncanya, kerana mangsa gagal mendapatkan semula telefon bimbit milik seorang daripada pelajar terbabit yang dirampas ustaz sekolah itu sedangkan mangsa sudah bertukar ke sekolah lain di sini, sejak akhir Februari lalu.

Menceritakan kejadian itu, Muhammad I’rfan berkata, mulanya dia menerima panggilan telefon jam 3 petang daripada seorang rakannya yang meminta dia datang ke sekolah itu bagi menyelesaikan kes telefon bimbit yang dirampas seorang ustaz.

Bagaimanapun, ketika berjumpa ustaz berkenaan untuk menuntut semula telefon bimbit rakannya, Muhammad I’rfan diberitahu hanya waris boleh menuntut alat telekomunikasi berkenaan

“Selepas gagal mendapat balik telefon bimbit itu, saya diajak naik ke asrama dan ada 13 pelajar sudah menunggu.

“Seorang daripada mereka memegang baju sambil mendakwa tidak puas hati dengan saya sebelum tujuh daripada mereka bertindak memukul kepala, badan dan belakang.

“Saya cuba melindungi muka dengan tangan tetapi mereka memukul belakang saya dengan tapak kasut hingga masih ada kesan hari ini,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Menurut Muhammad I’rfan, dia berada dalam ‘tawanan’ kumpulan pelajar itu selama kira-kira 30 minit sebelum mereka berhenti memukulnya kira-kira jam 4.30 petang berikutan azan Asar.

“Namun, selepas azan, mereka menyambung semula dan menendang kaki serta lutut sehingga saya lemah dan hampir pitam. Pada satu ketika, saya sukar bernafas menyebabkan mereka berhenti sekejap tetapi membelasah saya lagi tidak lama kemudian,” katanya.

Kira-kira jam 5 petang, kumpulan pelajar berkenaan berhenti membelasah Muhammad I’rfan dan dia keluar melalui pintu belakang untuk pulang ke rumah neneknya di sini, dengan mukanya bengkak selain mengalami kesakitan seluruh badan.

“Saya pergi ke sekolah itu kerana mereka mengugut akan memukul adik saya yang belajar di sekolah sama tetapi lain pula yang jadi,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Taufiq Musaddad Ahmad, 43, berkata dia membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas pada jam 10.35 malam hari kejadian sebelum membawa Muhammad I’rfan menjalani pemeriksaan di Hospital Kepala Batas.

“Saya kesal kerana kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di sebuah sekolah agama. Muhammad I’rfan belajar di sekolah itu sejak 2007 tetapi saya menukarkannya ke sekolah lain kerana dia mengadu berlaku kejadian buli di asrama,” katanya.

“Akibat kejadian itu, dia tidak boleh menjamah makanan kerana rahangnya sakit. Saya difahamkan, ada mangsa lebih teruk dibuli tetapi enggan membuat laporan polis berikutan keluarganya kurang berada. Saya membuat laporan polis kerana tidak mahu kejadian sama berlaku pada pelajar lain,” katanya.

0 comments: